Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya melarang laman sesawang e-dagang di negara ini daripada menjual produk kosmetik yang diharamkan.
Dalam satu tinjauan dalam talian kami dapati 9 krim muka yang diharamkan dijual secara dalam talian oleh Lazada, Shopee dan Carousell. Produk ini adalah di dalam senarai pemberitahuan produk kosmetik yang dibatalkan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara produk diharamkan yang boleh didapati ialah FS Turmeric Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream, Deluxe Beauty E Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness, Deeja Cosmetics Laika Cream, Dnars Gold Lifthing Serum (Night), Deeja Wrinkle Cream, Fjura- Face Polish Treatment, Dnars Golden Cream dan Sparkle Moon Night Cream.
Terdapat produk yang diharamkan sejak 2019 disebabkan produk tersebut mengandungi merkuri dan bahan kimia berbahaya lain yang dilarang dalam kosmetik. Di samping ia dijual secara berasingan krim muka ini juga dijual dalam satu set dengan produk kosmetik lain daripada jenama yang sama seperti sabun dan pelembap.
Produk kosmetik pencerah kulit yang mengandungi merkuri mendedahkan risiko bahaya kepada pemakainya. Merkuri dalam produk pencerah yang mampu meresap melalui kulit bukan sahaja boleh merosakkan kulit malah buah pinggang dan sistem saraf.
Mengikut satu tinjauan di beberapa buah negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, 41 peratus responden dari Malaysia dilaporkan menggunakan krim pencerah kulit. Ketika ditanya kenapa mereka menggunakannya, 61 responden berkata, memiliki kulit yang lebih cerah membuatkan mereka kelihatan lebih muda. Tinjauan di atas dan beberapa tinjauan lain mendapati ramai wanita menggunakan produk tersebut dalam tempoh yang lama, sesetengahnya sehingga 20 tahun.
Krim muka dengan kandungan merkuri yang tinggi mendakwa ia mampu mencegah atau memulihkan jeragat dan jerawat serta memberikan raut wajah yang camtik menawan. Produk sebegini sering disapu ke sebahagian besar kulit, dibiarkan berjam-jam pada kulit dan digunakan berulangkali selama berminggu-minggu, berbulan malah bertahun lamanya.
Penggunaan krim yang mengandungi merkuri dengan kerap boleh menimbulkan masalah ruam, kulit berubah warna dan kulit bertompok. Keracunan merkuri yang kronik boleh berpunca daripada sentuhan kulit dengan sebatian merkuri dalam tempoh yang lama. Sakit perut yang teruk, muntah, mulut berwarna kekelabuan dan cirit-birit berdarah diperhatikan berlaku dalam kes-kes di mana merkuri diserap dengan banyaknya.
Keracunan merkuri juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar dan lapisan kebiruan terlihat pada gusi. Di kalangan wanita, janin mungkin turut terjejas memandangkan merkuri boleh meresap melalui uri.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyebut tentang kerosakan sel mungkin berlaku di tempat merkuri terkumpul dalam kadar yang secukupnya. Merkuri juga adalah bahan yang mudah menimbulkan kesan alahan dengan radangan sering dialami selepas pengguna memakainya.
Kebanyakan merkuri dalam produk pencerah kulit memasuki alam sekitar menerusi air sisa buangan dan bakteria mungkin menukarnya menjadi methyl mercury, iaitu sebatian yang lebih beracun. Methyl mercury terkumpul dalam ikan, dengan itu boleh masuk ke dalam diet manusia. Jumlah merkuri yang digunakan dalam produk pencerah kulit adalah kecil berbanding sumber-sumber lain pencemaran merkuri, tetapi ia masih menyumbang kepada pendedahan merkuri di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya:
- Menguatkuasakan dengan segera pengharaman produk ini dengan mengambil tindakan terhadap laman sesawang e-dagang dengan mengenakan denda dan mengeluarkan senarai produk bagi produk kosmetik yang diharamkan.
- Memantau dengan teliti semua kosmetik lain yang mengandungi bahan berbahaya yang diharamkan tetapi masih dijual secara meluas di pasaran, termasuklah platform membeli-belah secara dalam talian.
- Menguatkuasakan dengan tegas pengharaman terhadap produk berbahaya.
Sementara itu, pengguna seharusnya mengelak dari menggunakan bahan kimia pemutih. Mereka seharusnya menerima warna kulit semula jadi, dan menentang diskriminasi dan prejudis berdasarkan warna kulit.
Kenyataan Akhbar, 28 September 2021