CAP terima Anugerah Merit Ibnu Khaldun dari UIAM
Presiden CAP, S.M. Mohd Idris menerima anugerah dari Menteri Pendidikan, YAB Dr Maszlee Malik. Di sebelah kanan ialah Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, Rektor UIAM.
Pada 10 November 2018, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menerima Anugerah Merit Ibnu Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global dari Menteri Pendidikan, YAB Dr. Maszlee Malik, yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
CAP menerima penghargaan itu berdasarkan sumbangannya dalam memperjuangkan hak pengguna, kepentingan mereka yang kurang bernasib baik dan terpinggir dalam masyarakat di samping menggalakkan pembangunan lestari selama hampir 50 tahun.
Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, ini merupakan julung-julung kali pihak Universiti memberi anugerah kepada sebuah pertubuhan.
Anugerah yang amat bermakna itu diterima oleh Presiden CAP, Encik S.M. Mohd Idris, dalam majlis Konvokesyen ke 34 UIAM.
Berikut kami siarkan petikan kata-kata mengenai Anugerah untuk CAP.
Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global
Diinspirasi oleh perawakan universal Ibnu Khaldun dan ideanya mengenai tali persaudaraan, perpaduan dan hubungan antara budaya dan alam sekitar, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) telah memperkenalkan Anugerah Merit Ibn Khaldun sebagai menghormati legasi kesarjanaannya.
Anugerah ini bertujuan mengetengahkan nilai pertubuhan dalam lingkungan komuniti dan merangsang pencapaiannya sebagai model peranan yang positif bagi kedua-dua badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam memberikan khidmat masyarakat. Anugerah ini memperakui mereka yang bergerak ke arah menggalakkan pembangunan lestari dalam komuniti, dan berusaha sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Penerima Anugerah Merit Ibn Khaldun 2018
Penerima Anugerah Merit Ibn Khaldun 2018 adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Pemilihan CAP merupakan perakuan terhadap sumbangannya dalam memperjuangkan hak pengguna, kepentingan golongan kurang bernasib baik dan rakyat yang terpinggir dalam komuniti, dan usaha menggalakkan pembangunan lestari selama hampir 50 tahun.
Usaha CAP ke arah menggalakkan pembangunan lestari menerusi penglibatan, khidmat nasihat, kempen demonstrasi, pemantauan dan penyelidikan selain bekerjasama dan menjalin rangkaian hubungan dengan NGO lain dan jabatan kerajaan, membawa banyak manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan dan seluruh dunia amnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, ruang lingkup kegiatan CAP telah meluas. Kegiatan mereka kini bukan sekadar meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan pengguna dan/atau bertindak sebagai kumpulan pendesak. Antara kegiatan yang dijalankan kini termasuklah memantau alam sekitar; mempromosikan pendidikan, latihan dan peningkatan keupayaan alam sekitar; melakukan demonstrasi; memberi khidmat nasihat melalui perkongsian dengan agensi lain; dan menjalin kerjasama serantau dan antarabangsa berhubung hak pengguna dan perlindungan alam sekitar. Penglibatan CAP dalam bidang pengurusan praktikal berupaya menggerakkan tindakan individu atau komuniti dan berkempen ke arah tanggungjawab lebih besar di pihak kerajaan dan sektor korporat.
Sejarah Penubuhan dan Sumbangan CAP
Sejak penubuhannya pada 1970, CAP telah memperjuangkan hak dan kepentingan penduduk dari segenap lapisan terutama mereka yang kurang bernasib baik dan terpinggir dalam masyarakat. Ia menggalas tanggungjawab untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi, baik orang perseorangan, komuniti mahupun alam semula jadi.
Moto ‘bersuara kepada golongan bawahan’ sebati dengan pertubuhan bebas yang tidak mementingkan keuntungan ini. Keprihatinan utamanya ialah menjamin hak pengguna untuk mendapatkan makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, kemudahan tandas dan kebersihan, pengangkutan awam, pendidikan dan persekitaran yang bersih. Kesemuanya dilakukan pada waktu kesedaran seumpamanya masih terlalu rendah.
CAP menjalankan kajian dalam beberapa bidang dan mengumpulkan bukti untuk menyokong dakwaannya di samping menyediakan maklumat kepada penggubal dasar dalam merumus dasar pengguna serta membuat keputusan yang bermaklumat, serta mengadakan program kesedaran untuk mendidik rakyat.
Dalam setahun CAP mengendalikan antara 3,000-4,000 aduan orang ramai membabitkan isu-isu seperti produk pengguna berkualiti rendah, pencemaran benda asing dalam makanan, khidmat penghantaran dan mampu milik serta perumahan berkualiti. Ia telah berjaya menyelesaikan hampir 100,000 kes sejak penubuhannya, dan ini bukanlah perkara biasa bagi sebuah NGO dengan dana yang terbatas. Kini CAP mempunyai sekitar 300 ahli. Salah satu rakan sekutunya ialah Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang ditubuhkan dengan matlamat utamanya untuk melindungi alam sekitar.
CAP, dalam usaha berkhidmat kepada pengguna di Malaysia, berjaya melahirkan kesedaran mengenai perlindungan pengguna dan menjalankan tanggungjawab ini secara profesional, seiring dengan standard perlindungan pengguna antarabangsa. CAP, dalam mengetengahkan perubahan digital dan global di peringkat global, bersungguh-sungguh dalam memastikan suara pengguna sekuat suara kerajaan dan perbadanan yang berinteraksi dengan mereka. Pencapaian matlamat ini akan memastikan semua orang menyedari manfaat dunia global dan digital yang kian meningkat. Ketika syarikat sering memperolehi capaian global yang besar, CAP mendidik pengguna agar berfikir dengan lebih meluas dan bertindak bersama demi memastikan perlindungan ke atas pengguna tidak diabaikan.
Pasukan dinamik CAP dengan kakitangan seramai 35 orang diketuai oleh Haji S.M.Mohamed Idris, 92 tahun, seorang veteran yang lantang bersuara dan komited dalam mendukung keperluan menggalakkan pembaharuan pendidikan ke arah memupuk perpaduan negara dan menurunkan kadar kemiskinan, ketaksamaan dan polarisasi. CAP bersama rakan sekutunya Sahabat Alam Malaysia dan Rangkaian Dunia Ketiga (TWN) berdedikasi untuk bekerjasama ke arah melahirkan masyarakat yang bersemangat, dinamik, adil dan saksama, dengan menggesa ke arah pembentukan dasar dan institusi yang relevan yang berakar umbi dalam kepelbagaian tradisi, nilai, budaya dan kepercayaan penduduk. Berdasarkan asas ini, CAP telah memberi sumbangan yang besar dengan memperjuangkan hak pengguna, keadilan sosial dan integriti persekitaran yang ia telah bantu menerajuinya dalam sejarah Malaysia kebelakangan ini.
CAP menerbitkan akhbar Utusan Konsumer dwi-bulanan dalam empat bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Ia menjadi wacana penting dalam menyebarkan maklumat berharga berdasarkan kajian dan bukti kepada rakyat di seluruh negara. Sebahagian daripada pencapaian CAP yang diperakui termasuklah:
- Sejak mula penubuhannya, CAP telah membantu meningkatkan kesedaran pengguna akan kepentingan hak-hak mereka untuk mendapatkan produk berkualiti dan membuat pilihan bermaklumat ketika hendak membeli barangan keperluan.
- Dari tahun 1975, ia membantu masyarakat nelayan yang terjejas mata pencarian mereka akibat kegiatan pencerobohan dan pencemaran berhampiran Kuala Juru.
- Pada 1982, pendedahan berterusan CAP mengenai isu-isu kemerosotan alam membawa kepada penubuhan Kementerian Alam Sekitar untuk memberi tumpuan kepada cara menangani masalah pencemaran dan meningkatkan kualiti alam sekitar di Malaysia.
- Membantu meningkatkan faedah sosial, kebajikan dan keadaan bekerja para pekerja di negara ini.
- Sejak tahun 80-an, CAP menjalankan kajian dan membuat pendedahan mengenai 20 jenis ubatan berbahaya yang selama ini dipasarkan di Malaysia yang akhirnya diharamkan oleh Kementerian Kesihatan.
- Sekitar tahun 1990-an, CAP melancarkan kempen Selamatkan Bukit Bendera bersama kumpulan masyarakat sivil lain dan menyelamatkan Bukit Bendera dari pembangunan yang memusnahkan, justeru membantu memelihara alam sekitar.
- Pada 1994, menubuhkan Rangkaian Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWA) untuk mempertahankan kebajikan dan kepentingan komuniti nelayan pesisir pantai.
- CAP secara berterusan bekerjasama dengan pihak sekolah di seluruh Malaysia dengan menubuhkan Persatuan Pengguna demi memastikan permulaan awal dalam pendidikan kesedaran kepenggunaan dan alam sekitar bagi rakyat Malaysia.
- Berjaya melobi kerajaan agar memperkenalkan undang-undang baharu untuk melindungi pengguna, pembeli rumah, penyewa dan alam sekitar; dan untuk menggubal semula serta menguatkuasakan undang-undang yang sudah ketinggalan zaman seperti yang termaktub dalam pindaan kepada Akta Relif (Pindaan) Spesifik 1992 untuk melindungi penyewa daripada diusir oleh tuan tanah tanpa perintah mahkamah.
- Secara berterusan menggalakkan kesedaran dengan menganjurkan kempen membabitkan pelbagai isu kesihatan awam, termasuk keselamatan makanan, produk, harga ubatan dan anti-merokok.
- Menyediakan bantuan berterusan kepada penghuni yang diancam oleh pembangunan yang memusnahkan dan cerun bukit yang mengancam nyawa dan harta benda.
- Menganjurkan persidangan mengenai Penyahjajahan Universiti dalam usaha untuk membentuk semula institusi pembelajaran yang lebih relevan di masa depan demi menggalakkan interaksi dengan masyarakat yang kini diistilahkan sebagai ‘Quadruple Helix’ dalam kalangan ahli akademi.
- Sahabat Alam Malaysia menunjukkan bukti kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Perubahan Cuaca dan Alam Sekitar (MESTECC) bagi mempercepatkan siasatan ke atas operasi Lynas Corporation Bhd di Gebeng, Pahang dan mengambil segala langkah untuk menutup kilang itu dan memindahkan semua sisa termasuk produk yang diperbuat daripada sisa yang boleh membahayakan kesihatan awam dan alam sekitar.
CAP turut menerima penghormatan dianugerahkan Right Livelihood Award, anugerah antarabangsa yang “menghormati dan menyokong mereka yang menawarkan jawapan praktikal dan contoh teladan kepada cabaran segera yang dihadapi oleh manusia. Hadiah itu diperkenalkan pada 1980 oleh filantropi Jerman-Sweden Jakob von Uexkull dan dihadiahkan kepada mereka yang telah memberi sumbangan kepada perlindungan alam sekitar, hak kemanusiaan, pembangunan lestari, kesihatan, pendidikan dan keamanan. Pada 2014, presiden CAP, Haji S. M. Mohamed Idris menerima Anugerah Tun Razak, yang memperakui perkhidmatan yang diberikan oleh CAP kepada komuniti.
Komitmen CAP kepada Komuniti
Di sebalik menerima pelbagai penghargaan yang mencerminkan kejayaan dalam usaha melindungi pengguna, CAP begitu komited dalam membentuk kesedaran bagi perlindungan pengguna, meningkatkan jalan sedia ada dalam menangani masalah pengguna, menggalak dan melindungi hak pengguna serta memperjuangkan hak alam sekitar; untuk meneruskan misi mulia mereka dalam mengendalikan aduan pengguna untuk menuntut hak mereka yang dicabuli; membantu penduduk dan komuniti yang berdepan dengan masalah pencemaran, penebangan hutan dan pembangunan cerun bukit; membantu keluarga, sekolah dan persatuan menanam sayuran dan buahan organik dengan menggunakan model pertanian organik CAP. Ia telah meneruskan kegiatan pemuliharaan Bukit Bendera dan alam semula jadi, perlindungan pantai, sumber air dan sumber pesisir pantai, dan selanjutnya melindungi warisan budaya.
CAP berusaha keras ke arah memajukan pelan-pelan bagi memastikan makanan mencukupi, mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan, dan mendapatkan ubatan dan khidmat kesihatan yang lebih murah; memperluaskan peranan memantau inflasi dan tingkah laku komersial yang tidak bertanggungjawab, yang menyebabkan berlaku peningkatan dalam harga produk pengguna; membantu dan menyokong pertubuhan pekerja, petani dan komuniti nelayan, persatuan penduduk, dan pertubuhan perlindungan alam sekitar dalam menuntut hak mereka yang telah terjejas; menjalin rangkaian dan kerjasama yang aktif dengan pertubuhan masyarakat sivil lain untuk menggalakkan penglibatan yang aktif dan efektif di dalam semakan Pelan Struktur Pulau Pinang, Pelan Induk Pengangkutan, projek Penambakan Laut, Pelan Tempatan dan beberapa pelan lain; menggalakkan litigasi tindakan berkepentingan awam dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baharu untuk melindungi pengguna dan alam sekitar.
CAP begitu komited dalam menyentuh kehidupan segenap lapisan masyarakat jauh melampaui hak dan perlindungan pengguna ke arah memajukan Matlamat Pembangunan Lestari (2016-2030). Pada hakikatnya ini telah berperanan dalam membentuk idea sejak penubuhannya sebagai sumbangan untuk masa depan umat manusia.