CAP Menggesa Kerajaan Malaysia untuk TIDAK menandatangani TPPA – Perjanjian Yang Akan Merompak Masa Depan Kita

Teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akhirnya dikeluarkan pada 5 November 2015. Ianya selepas hampir lima tahun Malaysia menyertai rundingan tersebut, di mana Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah secara konsisten menggesa pendedahan teks. Ia adalah tidak patut untuk kerajaan merunding suatu perjanjian yang akan memberi kesan ketara kepada kehidupan semua rakyat Malaysia, secara rahsia untuk sekian lama.

Namun, kedua-dua analisis kos-faedah dan analisis kepentingan negara yang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah janjikan untuk jalankan dan dedahkan, hanya akan dikeluarkan dalam masa dua minggu lagi. Ikrar untuk berbuat demikian sebenarnya dibuat lebih dua tahun lalu. Kami tidak faham kenapa kerajaan gagal untuk mengemukakan dokumen-dokumen ini – sekurang-kurangnya dalam bentuk awal – dan ini sepatutnya telah dilaksanakan dan diumumkan sebelum memasuki rundingan.

Terdapat lebih daripada 6100 muka surat yang membentuk teks TPPA. Analisis terperinci teks akan mengambil sedikit masa, tetapi kami sudah boleh menunjukkan beberapa kesan buruk kepada Malaysia.

  • Bab Harta Intelek TPPA akan membolehkan syarikat-syarikat farmaseutikal untuk mengekalkan harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan mereka untuk tempoh yang lebih lama dan mengekang bekalan murah, setara generik. Kebimbangan utama adalah obligasi baru bagi Malaysia memberikan pasaran eksklusif untuk lima tahun bagi ubat-ubatan biologik (berasal dari protein yang diasingkan daripada tumbuhan, haiwan dan mikroorganisma), walaupun tidak ada paten, dengan itu menghalang ‘bioserupa’ (biosimilars) yang lebih murah daripada memasuki pasaran. Banyak ubat-ubatan kanser adalah merupakan biologik, termasuk ubat kanser payudara Herceptin. Ubat berjenama ini kosnya sejumlah RM136,000 bagi keseluruhan rawatan, meletakkan ia di luar capaian kebanyakan rakyat Malaysia. Biosimilars yang lebih murah sangat-sangat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, dan TPPA akan menghalang ubat itu daripada memasuki pasaran lebih awal.
  • Bab Pelaburan direka untuk melindungi dan menggalakkan pelabur dan pelaburan mereka. Regim penyelesaian pertikaian pelabur-negeri (investor-state dispute settlement ISDS) ini makin berat-sebelah memihak kepada kepentingan korporat multinasional yang besar, memberi mereka hak-hak yang banyak untuk mencabar langkah-langkah kerajaan. Sebaliknya, tidak ada mekanisme yang setara bagi pelabur yang sama untuk dipertanggungjawabkan sekiranya tindakan mereka menjejaskan alam sekitar atau jika mereka melakukan pencabulan hak asasi manusia. Beban tindakan undang-undang seperti itu terhadap kerajaan boleh menjadi amat berat, memandangkan sebelumnya pelabur telah mendapati keputusan yang memberi tuntutan berjuta-juta dollar. Yang lebih membimbangkan ialah potensi bahawa ancaman seperti tuntutan mahkamah boleh menghalang kerajaan daripada mengawal selia untuk kepentingan kesihatan awam dan alam sekitar kita. Walaupun TPPA mengikut nilai muka mengandungi peruntukan yang membolehkan negara untuk mengekalkan hak-hak mereka untuk mengawal selia kesihatan dan kepentingan awam, hak-hak ini perlu dilaksanakan konsisten dengan obligasi pelaburan lain kerajaan terhadap pelabur. Keputusan akhirnya adalah satu kerugian bagi rakyat Malaysia amnya.
  • Bab Harta Intelek juga mengandungi kewajipan bagi Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (International Convention for the Protection of New Varieties of Plants 1991 – UPOV 91). UPOV 1991 sebenarnya bukan untuk kepentingan petani kecil dan menghendaki Malaysia untuk mengubah undang-undang dan dasar kita agar mematuhi peruntukan UPOV 1991 yang tidak baik. Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang sedia ada membolehkan petani kecil untuk bertukar-tukar benih dalam kalangan mereka sendiri dan untuk menjual benih itu di bawah syarat-syarat tertentu. UPOV 91 tidak akan membenarkan ini. Menukar undang-undang Malaysia untuk mematuhi UPOV 91 akan memberi syarikat-syarikat benih monopoli yang lebih lama; melarang petani bertukar-tukar dan menjual benih yang mereka telah simpan, dan singkirkan perlindungan biokeselamatan dan peruntukan anti-biopiracy.
  • Bab perusahaan milik kerajaan (state-owned enterprises) mewujudkan satu rangka kerja yang akan mempunyai kesan jangka panjang bagi operasi syarikat/perusahaan berkaitan kerajaan pada masa hadapan. Rangka kerja ini akan menimbulkan banyak kekangan terhadap bagaimana syarikat kerajaan dibenarkan beroperasi pada masa akan datang dan ini akan memberi impak besar ke atas ekonomi politik dan pembangunan sosial Malaysia.
  • Penyokong TPPA telah mendakwa bahawa ia akan melindungi pekerja di Malaysia dan menggalakkan kebajikan dan kepentingan mereka. Ini termasuk keperluan gaji minimum, waktu kerja, dan perdagangan barangan yang dibuat oleh buruh paksa. Namun, TPPA gagal untuk menampung isu yang paling besar: selain hak untuk mewujudkan kesatuan bebas, semua peruntukan lain untuk melindungi atau menggalakkan hak-hak pekerja tidak mempunyai ‘gigi’ dalam erti penguatkuasaan yang tegas dan berkesan. Jadi apa yang ramai fikirkan akan berperanan sebagai pelindung dan pendorong pekerja di negara TPPA pada akhirnya hanya mempunyai satu gigi. Untuk memburukkan lagi keadaan, Bab Pelaburan boleh digunakan untuk mencabar hak-hak pekerja, sebagai contoh, Mesir telah didakwa di bawah ISDS kerana menaikkan gaji minimum.

Terdapat banyak kebimbangan lain berkaitan TPPA. Sebagai contoh, peruntukan hak cipta WTO-plus bermakna kos bahan-bahan pendidikan mahal untuk lebih lama. Terdapat juga kesan kepada peraturan biokeselamatan Malaysia yang telah digubal untuk melindungi kita daripada potensi kesan buruk daripada organisma yang diubahsuai secara genetik (GMO), dan keupayaan kita untuk mencegah biopiracy sumber biologi kita yang kaya.

Oleh itu, sekali lagi, CAP mengulangi panggilan kami kepada kerajaan Malaysia untuk tidak menandatangani TPPA.

 

Surat Kepada Pengarang, 9 November 2015