CAP Menggesa Kerajaan Pulau Pinang Untuk Tidak Mengambil Laluan Insinerator

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kecewa bahawa kerajaan Pulau Pinang sedang mempertimbangkan teknologi insinerator (penunuan) untuk melupuskan sisa perbandaran di Negeri ini. CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk bergerak ke arah sisa sifar dan tidak mengambil laluan insinerator.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Jagdeep Singh Deo dilaporkan menyatakan bahawa pendirian sebelumnya yang diambil oleh Pulau Pinang adalah “tidak” kepada insinerator, tetapi dengan kemajuan teknologi terkini, kerajaan percaya ia selamat digunakan. 

Pandangan kerajaan adalah tidak tepat kerana insinerator yang paling maju pun masih mengeluarkan ribuan pencemar yang mencemari udara, tanah, dan air yang seterusnya memasuki bekalan makanan dan selanjutnya rantaian makanan. Selain daripada pelepasan udara toksik, teknologi insinerator akan menghasilkan abu yang sangat toksik.

Menggunakan insinerator juga bermakna pembaziran berlaku kerana sumber-sumber berharga boleh digunakan semula, terutamanya kerana ada sisa yang sesuai untuk dipisahkan dari punca, dikompos dan dikitar semula.

Jagdeep dilaporkan berkata bahawa negeri Pulau Pinang telah mencatatkan kadar kitar semula sebanyak 43% pada tahun lepas, mencapai kadar 33% di bahagian pulau dan 47% di Seberang Perai. Ini adalah petunjuk yang baik untuk mengalihkan sisa daripada dilupuskan, dan oleh itu kerajaan Pulau Pinang harus mempunyai sasaran pengalihan yang lebih tinggi dan bercita-cita untuk mencapai sasaran dengan lebih cepat.

Ini boleh dilakukan melalui pengkomposan sisa organik yang merangkumi sekurang-kurangnya 50% daripada jumlah sisa yang dihasilkan. Sisa organik yang termasuk sisa dapur, sisa kebun boleh dikompos dengan mudah dan dengan itu dialihkan dari sisa buangan yang perlu dilupuskan.

Selama bertahun-tahun, CAP dan beberapa komuniti telah berjaya menunjukkan daya maju pengkomposan sisa organik di rumah, sekolah, institusi dan ladang. Beberapa sekolah di Pulau Pinang dengan bimbingan CAP telah mengunakan sisa makanan kantin untuk dijadikan kompos dan seterusnya sebagai baja dalam kebun sayur yang telah dimulakan di sekolah.

Di Seberang Perai, terdapat beberapa inisiatif untuk menangani sisa makanan dan sisa organik pada skala yang berbeza-beza. Gary Teoh di Auto-City Juru mengumpul dan menukarkan sisa makanan dari restoran menjadi kompos manakala di Pasar Awam Bagan Ajam, sisa dari pasar dan sisa makanan juga dijadikan kompos.

Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mengkaji inisiatif-inisiatif yang berbeza ini yang telah mengubah sisa menjadi sumber, bukan membakar sisa dan menyumbang kepada pelepasan gas dan abu toksik yang memudaratkan kesihatan rakyat dan alam sekitar.

Jagdeep dilaporkan berkata kos memindahkan sisa kepada insinerator adalah sekurang-kurangnya “empat kali” lebih tinggi daripada mengangkutnya ke tapak pelupusan. Bayaran tipping semasa di tapak pelupusan Pulau Burung, berhampiran Nibong Tebal, adalah RM22.22 satu tan. Mengapakah pembayar cukai perlu dibebani untuk membayar kos untuk insinerator walaupun terdapat kaedah yang lebih murah, berdaya maju dan terbukti?

Insinerator dan lain-lain teknologi pelupusan sisa yang mencemarkan adalah penyelesaian yang tidak logik untuk krisis sisa yang dihadapi. Negara-negara maju yang sebelum ini bergantung kepada insinerator telah beralih dari teknologi ini, dan kini menjajakan teknologi mereka ke negara-negara membangun. Banyak negara kini beralih ke Sisa Sifar dan melabur dalam strategi pengurusan sisa jangka panjang, termasuk membubarkan insinerator mereka.

Kita memerlukan rakyat yang lebih sedar tentang kepenggunaan dan meminimumkan penjanaan sisa; kerajaan perlu mengharamkan produk yang tidak mampan dan menyediakan sistem pengumpulan sampah dan pengurusan yang cekap; dan korporat perlu mengurangkan secara drastik pengeluaran dan penggunaan plastik guna tunggal, dan mereka-bentuk semula untuk menumpukan pada produk dan sistem penyampaian mesra alam dan mampan.

Tidak kepada Insinerator! Beralih Ke Arah Sisa Sifar!

 

Kenyataan Akhbar, 28 Julai 2019