CAP Menggesa Larangan Import Sisa Plastik Untuk Melindungi Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kita

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa larangan import sisa plastik untuk melindungi kesihatan awam dan persekitaran kita. Gesaan ini dibuat lanjutan  pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bahawa levi RM15 akan dikenakan untuk setiap 1 tan sisa plastik selepas 23 Oktober apabila pembekuan permit yang diluluskan (Approved Permits – AP) ke atas import sisa plastik berakhir.

CAP sangat kecewa dengan kerajaan Malaysia kerana ia tidak prihatin mengenai keberatan masalah ini. Setelah mengetahui China telah memberi notifikasi kepada WTO pada tahun lalu mengenai hasrat negara tersebut untuk mengenakan larangan ke atas import sisa plastik, dan menjangkakan masalah ini akan melanda ke Malaysia, pada 25 Julai 2017 CAP telah menulis kepada beberapa Kementerian dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk mengenakan larangan ke atas import sisa plastik.

JPSPN memberi maklumbalas bahawa pihak Jabatan telah merangka satu peraturan khusus berhubung pengurusan sisa pepejal import dan akan menguatkuasakan kawalan pengimportan yang lebih ketat termasuk ke atas premis dan lesen pengimport. Walau bagaimanapun, langkah-langkah kawalan dan penguatkuasaan tersebut terbukti tidak mencukupi berdasarkan keadaan pencemaran semasa dan pertumbuhan kilang-kilang kitar semula haram di beberapa kawasan di Malaysia. Kerajaan sekarang berpandangan masalah alam sekitar dapat dibendung dengan mengenakan levi. Pendapat kami adalah bertentangan. Pengeluaran dan perdagangan sisa plastik global telah berkembang pesat sejak beberapa dekad ini. Walau bagaimanapun, kebanyakan plastik ini digunakan sekali dan mempunyai sedikit atau tiada nilai kitar semula, yang kemudian dihantar untuk pemprosesan dalam kilang kitar semula. Sehingga Januari 2018, China merupakan penerima utama sisa plastik dunia, dan terpaksa membakar atau melupuskan sisa residual dari negara-negara lain yang tidak dapat dikitar semula.  Ini telah membawa kepada pencemaran alam sekitar yang serius dan menjejaskan kesihatan komuniti di dalam kawasan yang memproses sisa plastik yang diimport. China telah bertindak balas terhadap panggilan untuk membersihkan aktivitinya dengan mengharamkan pengimportan sisa plastik dan memberi tumpuan kepada kutipan dan kitar semula sisa plastik yang dihasilkan di dalam negara.

Memandangkan China telah menutup sempadannya kepada sisa asing, kami mendapati bahawa jumlah besar sisa plastik telah tiba di pelabuhan di negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia di mana kilang-kilang haram untuk mengitar semula sisa plastik telah berkembang pesat. Kami faham dari laporan-laporan bahawa banyak syarikat kitar semula haram, kebanyakannya dari China beroperasi tanpa permit, membakar sisa baki yang tidak dapat dikitar semula atau membuangnya secara haram.

Bahaya plastik kepada alam sekitar dan kesihatan manusia adalah ketara. Plastik kini terdapat di semua sistem air. Plastik dalam bentuk lengkap menimbulkan ancaman besar kepada kehidupan marin dan dalam bentuk pecahan (iaitu mikroplastik dan nanoplastik) ia memasuki rantaian makanan dan akhirnya berkumpul di dalam badan manusia. Apabila dibakar, plastik melepaskan pencemar organik yang berkekalan, pelbagai pelepasan gas toksik, dan gas rumah hijau. Apabila kawalan dan perlindungan yang betul tidak dilaksanakan, bukan sahaja masyarakat jiran tetapi pekerja kitar semula juga terdedah kepada keadaan kerja yang berbahaya dan tidak adil, dan berisiko membahayakan nyawa dan kesihatan mereka.

Kita tidak lagi boleh membenarkan bahan berbahaya seperti sisa plastik dari negara-negara lain dibawa ke Malaysia untuk diproses, dilambak atau dibuang. Kos dan beban kepada kesihatan awam dan alam sekitar jauh melebihi hasil yang akan diperoleh oleh kerajaan Malaysia daripada levi yang dikenakan ke atas import sisa plastik. Negara kita sudah mempunyai sisa plastik yang dijana di dalam negeri yang perlu dikitar semula dengan selamat. Oleh itu, kami menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan untuk berhenti mengeluarkan AP untuk mengimport sisa plastik. Pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan yang tegas untuk memastikan tidak ada lagi premis haram yang beroperasi. Pihak berkuasa juga harus mencari jalan untuk menguruskan sisa plastik sedia ada yang telah dibuang di negara kita.

Malaysia bukan tapak lambakan.  Haramkan pengimportan sisa plastik.   

 

Kenyataan Media, 26 September 2018