CAP Puji Pengharaman Minuman Keras Oleh DBKL

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur daripada menjual minuman keras berkuatkuasa 30 September 2021.

Sokongan kami terhadap pengharaman itu disebabkan banyak alasan berdasarkan bukti. Kami menggesa kerajaan supaya:

  • Mengehadkan bilangan lesen yang dikeluarkan bagi kedai yang dibenarkan untuk menjual alkohol.
  • Mestilah terdapat siasatan awam jika seseorang itu memohon untuk mendapatkan lesen alkohol dan jiran kedai yang dicadangkan perlu diberikan notis untuk melihat jika mereka bersetuju dengan cadangan itu.
  • Menaikkan denda kepada kedai yang menjual alkohol yang melanggar undang-undang. Penjual, restoran dan peruncit memerlukan lesen untuk menghidangkan alkohol. Bagaimanapun, peruncit tidak memerlukan lesen untuk menjual bir dalam tin atau botol. Oleh itu, untuk memintasnya, kafe dan penjual lain boleh menjual bir dan menyediakan pembuka botol untuk membolehkan pelanggan mereka untuk menghidangkan sendiri dan meminumnya di premis walaupun diharamkan untuk berbuat demikian.
  • Haramkan meminum minuman keras di tempat awam. Pada masa ini tidak menjadi satu kesalahan untuk minum di tempat awam seperti taman, taman permainan, dan pantai sehingga memabukkan yang menyebabkan gangguan dan kekacauan. Contohnya, pesalah di Singapura boleh didenda sehingga S$10,000 (kira-kira RM30,410), jika sabit kesalahan.
  • DBKL juga mengharamkan penjualan minuman keras “di hadapan balai polis, rumah ibadat, sekolah dan hospital.” Agak pelik apabila ia perlu dalam lingkungan 300 meter dari institusi ini.

Pada 2001, Institut Kajian Alkohol (IAS) mendapati lebih ramai remaja di Malaysia mengambil minuman alkohol pada usia yang lebih awal. Kajian menunjukkan 45% golongan belia berusia 18 tahun mengambil alkohol dengan kerap. Pengguna alkohol dalam penduduk umum pada 2019 meningkat kepada 11.8% daripada 8.4% pada 2015.

Dalam kajian terbaharu di bawah Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, 45.8% rakyat Malaysia minum alkohol mengikut nafsu, mengalahkan United Kingdom yang angka minum alkohol mengikut nafsu ialah 27%. Satu daripada 10 terlibat dalam Heavy Episodic Drinking (HED) yang bermaksud seseorang itu mengambil 6 atau lebih minuman alkohol sekali duduk setiap minggu.

Pengambilan alkohol dikaitkan dengan banyak penyakit tidak berjangkit seperti penyakit berkaitan kardiovaskular, sirosis hati dan kanser. Ia juga dikaitkan dengan kemalangan kenderaan bermotor, pergaduhan, keganasan rumahtanggadan serangan seksual. Dalam keluarga berpendapatan rendah, pengambilan alkohol menghalang keluarga ini daripada perbelanjaan untuk makanan dan keperluan lain. Lebih-lebih lagi, menurut laporan kira-kira 30% kemalangan jalan raya disumbangkan oleh memandu ketika mabuk.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kematian disebabkan oleh alkohol di Malaysia sungguh mengejutkan: 17.6% lelaki dan 10.9% wanita akibat kecederaan lalu lintas di jalan raya; 16.8% lelaki dan 16.2% wanita akibat sirosis hati; dan 2.2% lelaki dan 0.6% wanita akibat kanser.

Malangnya, Malaysia tidak mempunyai sistem pemantauan alkohol kecuali untuk kesihatan (seperti apabila seseorang itu mempunyai masalah kesihatan berkaitan alkohol pergi ke kemudahan kesihatan) dan kesan sosial (seperti laporan polis mengenai tingkah laku ganas).

Pada 2008, Thai Beverage, pengeluar minuman keras terbesar di Thailand, berusaha untuk di senaraikan di Bursa Saham Thailand dan gagal selepas kira-kira 250 aktivis antialkohol mengadakan bantahan di depan Bursa Saham, menuntut pihak berkuasa mengubah peraturan pasaran untuk menghentikan firma berkaitan alkohol daripada disenaraikan.

Pada hakikatnya, Thai Beverage telah mencuba sekali lagi sebelum pada 2004 dengan membawa semua operasinya di bawah satu syarikat, bagaimanapun, ia juga gagal kerana golongan sami dan aktivis antialkohol menentangnya, dengan berkata bahawa ia akan menggalakkan pengambilan alkohol di Thailand.

Rakyat Thailand membantah pengambilan alkohol kerana ia mengakui sebagai faktor penyumbang dalam banyak masalah kesihatan dan sosial. Jika rakyat Thailand sendiri boleh menyedari bahaya pengambilan alkohol dan mahu mengekang pengambilan alkohol, rakyat Malaysia juga boleh melakukan perkara yang sama.

Kami mahu mengulangi sekali gesaan kami sejak berdekad bahawa penjualan alkohol perlu dikawal dengan lebih ketat kerana ia menyebabkan begitu banyak kesengsaraan kepada ramai orang di seluruh dunia. Alkohol dikategorikan dalam kumpulan dadah psikoaktif yang sama seperti kokain, LSD, nikotin dan ganja.

 

Kenyataan Akhbar, 24 November 2020