Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu kepada Perdana Menteri (PM) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan supaya mengambil langkah membatalkan projek penambakan di Selatan Pulau Pinang (PSR) yang membazir dan akan menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan serta menjejas komuniti nelayan.
CAP mengalu-alukan kenyataan PM baru-baru ini bahawa beliau bimbang mengenai projek PSR dan bersedia untuk meneliti bantahan terhadapnya [NST, 28 April 2023].
Projek PSR ini akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar, keterjaminan makanan, iklim, komuniti nelayan, dan demografi Pulau Pinang. Ini bercanggah dengan rangka kerja dasar MADANI, di mana salah satu tonggaknya ialah menggalakkan pembangunan mampan.
Pada mulanya, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP memberi justifikasi projek penambakan mega ini perlu untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) memandangkan Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dikuasai oleh Barisan Nasional tidak menyokongnya.
Keadaan ini kini telah berubah sama sekali di mana kita memahami bahawa Kerajaan Perpaduan bersedia untuk menyediakan dana yang diperlukan bagi membiayai penambahbaikan sistem pengangkutan yang sedia ada untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
Kami ingin tahu mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang begitu bertegas untuk meneruskan projek penambakan ini walaupun kesan ekologi dan sosialnya yang sangat buruk.
Berdepan dengan kritikan kuat terhadap projek penambakan itu, kerajaan negeri kini mewajarkan projek PSR dengan mendakwa bahawa Pulau Pinang memerlukan lebih banyak tanah untuk pembangunan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Dakwaan ini tidak berasas dan bercanggah dengan realiti di lapangan. Hanya di seberang jambatan kedua di Batu Kawan, lebih 3,000 ekar tanah tersedia bagi pertumbuhan ekonomi. Ia mempunyai semua kemudahan dan berdekatan serta bersambung dengan baik ke Pelabuhan Butterworth dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Ketua Menteri sendiri baru-baru ini mengakui lebih 12,000 hektar tanah di Seberang Perai boleh digunakan untuk pembangunan. Selain itu, beberapa kawasan perindustrian di Pulau Pinang kurang digunakan. Kerajaan negeri sepatutnya memberi tumpuan untuk menarik pelaburan di sana dan bukannya mencurahkan wang ke laut bagi projek yang bermasalah ini.
Penambakan mega ini akan memburukkan lagi krisis iklim. Melaksanakan projek itu memerlukan 4,500 ekar laut yang merupakan penyerap karbon penting, untuk ditambak dengan pasir dan tanah. Selain itu, ia akan menghasilkan 3.2 juta tan pelepasan karbon setahun, yang melanggar komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.
Malaysia telah mengambil langkah untuk mengurangkan intensiti karbon terhadap KDNK sebanyak 45% menjelang 2030 berbanding pada tahap 2005. Apakah keperluan yang mendesak sehingga kita bersedia untuk melanggar perjanjian antarabangsa? Adakah ia memberikan manfaat kepada rakyat? Sudah tentu tidak.
Di samping itu, jumlah pasir yang diperlukan bagi projek itu ialah 190 juta meter padu, yang akan diperolehi daripada perairan Pulau Pinang dan Perak. Ini bersamaan dengan isipadu pasir yang boleh mengisi 75,000 kolam renang bersaiz Olimpik, seterusnya merosakkan kawasan di mana pasir itu dilombong!
Kami menegaskan bahawa projek itu akan mengakibatkan kemusnahan kepada kawasan perikanan penting di Pulau Pinang yang menyediakan pendapatan bagi lebih 3,000 orang dan keluarga mereka, dan makanan seperti ikan, udang, ketam dan hidupan laut lain untuk pengguna.
Malah, dalam surat pada 25 Jun 2019, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang bahawa Penambakan Selatan Pulau Pinang akan “menyebabkan kesan kekal dan sampingan ke atas ekosistem dataran lumpur, kawasan penangkapan ikan, kawasan pendaratan penyu, dan beberapa kawasan terumbu karang di Pulau Rimau… Kemusnahan kekal ini akan memberi kesan negatif yang ketara kepada sumber perikanan, perikanan dan keterjaminan bekalan makanan negara”. Meskipun terdapat amaran ini, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) untuk projek penambakan ini telah diluluskan. Kelulusan ini mempersoalkan kebebasan dan objektiviti proses EIA.
Projek tiga pulau itu juga jika berjaya dilaksanakan akan membawa kepada perubahan demografi yang besar dengan komuniti nelayan tempatan dan mereka yang berada dalam bahagian B40 akan dipindahkan untuk mencari perlindungan di tempat yang lain. Tempat mereka ini akan diambil alih oleh penduduk tempatan dan warga asing yang kaya dari China, Hong Kong dan Barat. Adakah dengan memihak kepada golongan elit kaya tempatan dan asing ini selaras dengan prinsip MADANI?
Bagi semua sebab di atas, CAP merayu kepada PM dan Kerajaan Perpaduan untuk tidak menyokong projek PSR dan memperuntukkan dana dan jaminan. Anggaran kos bagi penambakan ialah RM16 bilion dan ini boleh digunakan dengan lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan terpinggir, menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik serta meningkatkan lalu lintas.
Politik dan kronisme tidak boleh dibiarkan mendahului kepentingan dan kebajikan rakyat, keadilan sosial serta alam sekitar kita.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 5 Mei 2023