CAP-SAM Gesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk Tidak Menandatangani Perjanjian dengan Konsortium SRS yang Diketuai Oleh Gamuda

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah dengan sekeras-kerasnya dan kecewa dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang masih terus dengan Pertandingan Rekabentuk Pelan Induk (Masterplan Design Competition – MDC) untuk pembangunan tiga pulau buatan manusia di bawah Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR). Sebulan yang lepas, Ketua Menteri mengumumkan perjanjian rasmi antara Kerajaan Negeri dan rakan penyampai projek (Project Delivery Partner – PDP), SRS Consortium Sdn Bhd, akan ditandatangani pada Januari tahun ini.

Kerajaan Negeri sedang meneruskan usaha-usaha ini seolah-olah semua kelulusan akan diberikan dan sebarang cabaran undang-undang terhadap projek itu akan diputuskan dengan berpihak kepada Kerajaan Negeri tanpa menghiraukan bantahan oleh pihak yang berkepentingan seperti Unit Nelayan Sungai Batu dan pertubuhan masyarakat sivil. Ini seperti mengejek penyertaan masyarakat sivil dalam membuat keputusan berhubung perkara yang melibatkan kepentingan awam dan proses perundangan untuk memastikan perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial.

Wakil Unit Nelayan Sungai Batu telah menfailkan permohonan pada Julai tahun lepas kepada Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk mencabar kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR). Rayuan itu masih belum didengar dan diputuskan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) juga hanya memberikan kelulusan bersyarat bagi Projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas. Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke berkata bahawa selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai, satu lagi permohonan kelulusan akhir bagi skim keretapi perlu diserahkan kepada pihak kementerian untuk kelulusan akhir di bawah Seksyen 84(5) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Sehingga kini, masih tiada pengumuman kelulusan akhir bagi projek itu.

Pihak berkuasa mestilah telus dalam membuat keputusan mereka dan memberikan alasan kenapa mereka menolak bantahan pertubuhan masyarakat sivil. Contohnya, projek LRT akan menelan belanja antara RM8 bilion hingga RM10 bilion tetapi autonomous rail rapid transit atau bas rapid transit akan menelan kos hanya sebahagian kecil daripada kos LRT. Kumpulan masyarakat sivil telah menyerahkan fakta dan angka mengenai sistem alternatif yang berkos rendah tetapi Kementerian Pengangkutan telah memberikan kelulusan bersyarat kepada pembiayaan sistem yang tidak mampan. Kenapa? Orang awam berhak untuk mengetahui alasannya.

Nelayan Sungai Batu telah mencabar kelulusan EIA atas pelbagai alasan, termasuk bahawa kelulusan EIA oleh JAS adalah pramatang memandangkan EIA masih tidak lengkap dan tidak mengambilkira syarat yang dikenakan oleh Kementerian Pertanian dan projek ini juga menjejaskan kewajipan Malaysia di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD). Ini adalah satu alasan yang besar dan perkara ini boleh dibawa ke pengadilan yang lebih tinggi sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan ia boleh mengambil masa banyak bulan.

Oleh sebab itu, apakah rasional bagi menandatangani perjanjian rakan penyampai projek yang baharu dengan Konsortium SRS yang diketuai oleh Gamuda? Adakah ia untuk mempengaruhi keputusan mahkamah dengan merayu bahawa perjanjian telah ditandatangani dan kesannya sekiranya ia dicabuli? Adalah amat tidak bertanggungjawab sekali di pihak kerajaan untuk mendedahkan dirinya sendiri terhadap saman undang-undang dalam keadaan di mana projek PTMP bernilai RM47 bilion tidak dapat diteruskan.

Kami menggesa Kerajaan Negeri untuk tidak menandatangani perjanjian dengan Konsortium SRS yang diketuai oleh Gamuda dan sebaliknya melantik firma perunding lalu lintas bebas untuk mengkaji PTMP SRS dan sistem pengangkutan alternatif yang dicadangkan oleh pertubuhan masyarakat sivil dan untuk membuat cadangannya.

Kami juga menggesa Kementerian Pengangkutan untuk tidak memberikan kelulusan kepada projek LRT memandangkan kosnya yang terlampau tinggi berbanding mod pengangkutan alternatif lain yang lebih murah, dan beban kewangan yang akan ditanggung oleh generasi masa kini dan masa depan.

 

Kenyataan Akhbar, 21hb Januari 2020