Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang memberi pampasan kepada nelayan-nelayan yang terjejas sumber pendapatan akibat pencemaran bauksit yang berlaku di negeri itu.
Pemberian pampasan tersebut perlu disegerakan kerana masalah itu telah mengancam sumber ekonomi golongan ini serta membebankan kehidupan keluarga mereka.
Sehubungan itu CAP dan SAM meminta Jabatan Perikanan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuat kajian dan penilaian jumlah kerugian yang dialami oleh nelayan terbabit di samping memastikan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan memulihkan seluruh kawasan sungai dan laut yang tercemar oleh sisa bahan tersebut.
Selain Zon A tempat nelayan pantai mencari rezeki yang teruk diancam pencemaran ini, tiga batang sungai iaitu Sungai Pengorak, Sungai Riau dan Sungai Mabok berada dalam keadaan amat berbahaya kerana airnya disahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengandungi aluminium, arsenik dan merkuri.
Manakala kawasan pantai yang mengalami pencemaran laut yang serius ialah di Balok dari Sungai Pengorak hingga ke Pantai Batu Hitam. Lebih kurang 300 nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan ikan di kawasan berkenaan telah terjejas mata pencarian mereka.
CAP dan SAM bimbang jika kesan pencemaran yang melibatkan kawasan perikanan di negeri ini tidak diatasi dengan berkesan, pelbagai spesies hidupan laut mungkin pupus pada masa akan datang dan ia boleh menyebabkan nelayan-nelayan yang terlibat kehilangan sumber pendapatan.
Justeru, pihak kerajaan bukan saja perlu memastikan kualiti air sungai dan laut berada pada tahap yang selamat, tetapi juga dasar laut terselamat dari masalah mendapan sisa bahan bauksit ini.
Berhubung isu perlombongan bauksit di negeri ini yang mencetuskan bantahan banyak pihak berikutan berbagai kesan buruk yang berlaku akibat kegiatan tersebut, CAP dan SAM menggesa operasi tersebut dihentikan segera bukannya sementara seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Perlombongan bauksit ini tidak wajar diteruskan kerana kegiatan tersebut telah terbukti merosakkan alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk.
Kenyataan Media, 5 Januari 2016