Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang untuk mengetahui bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan penggunaan unit pirolisis mudah alih untuk pelupusan sisa pepejal yang dijana akibat bencana banjir baru-baru ini. Media melaporkan bahawa Ketua Setiausaha KASA telah menyatakan bahawa kelulusan khas akan diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada penyedia perkhidmatan yang mempunyai fasiliti dan kepakaran.
Pirolisis ialah sejenis teknologi penunuan atau insinerator kerana teknologi ini memanaskan bahan buangan pada suhu tinggi, dan menghasilkan sisa dalam bentuk gas, pepejal dan cecair. Hasil sampingan toksik yang sama boleh dilepaskan daripada unit pirolisis mudah alih seperti juga daripada insinerator lain.
Bergantung kepada input sisa ke dalam sesuatu unit pirolisis, dioksin dan furan, logam berat, bahan zarah, karbon monoksida, hidrogen klorida, sulfur dioksida, dan banyak lagi gas boleh dilepaskan. Selain daripada itu akan terhasil bahan cemar toksik dalam bentuk abu, dan sisa buangan cecair. Kebanyakan bahan pencemar ini adalah karsinogenik dan mengancam kesihatan awam walaupun pada tahap yang sangat rendah.
Ada syarikat yang mendakwa bahawa teknologi pirolisis adalah “bebas pencemaran” atau mempunyai “pelepasan sifar”, tetapi dakwaan ini telah terbukti berulang kali sebagai tidak benar. Ada juga syarikat yang mendakwa bahawa teknologi mereka bukan insinerator. Hakikatnya ialah gas toksik yang terhasil adalah melalui proses penunuan atau pembakaran.
Global Alliance for Incinerator Alternatives (GAIA) melaporkan bahawa banyak cadangan untuk fasiliti rawatan sisa, termasuk teknologi arka plasma, pirolisis, dan gasifikasi gagal mendapat kelulusan akhir untuk beroperasi apabila tuntutan syarikat itu tidak melepasi penelitian awam dan kerajaan.
Ini membawa kepada persoalan sama ada unit pirolisis mudah alih yang diluluskan oleh KASA telah mendapat kelulusan terlebih dahulu untuk beroperasi. Di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) 2015, pembinaan loji rawatan terma adalah aktiviti yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Perintah tersebut. Jabatan Alam Sekitar mesti menjelaskan kepada orang ramai sama ada laporan EIA untuk unit pirolisis yang dicadangkan telah diluluskan.
Kami menggalakkan orang ramai untuk mengasingkan sisa buangan banjir kepada yang boleh dibaiki, digunakan semula, dikitar semula, dikompos atau dilupuskan. Kementerian telah menasihatkan mangsa banjir untuk mengasingkan sisa elektronik yang akan diangkut keluar oleh Kementerian dan kerajaan Negeri.
Kami menggesa KASA, JAS dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk membatalkan rancangan untuk menggunakan unit pirolisis mudah alih atau mana-mana teknologi terma atau penunuan kerana ia akan mendedahkan orang awam kepada pelepasan toksik, dan juga membazirkan sumber.
Siaran Media, 30 Disember 2021