CAP: Sayuran dan beras tercemar racun makhluk perosak di pasaran

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, Dr. Jayabalan dan Hatijah Hashim pada sidang akhbar “Sayuran dan beras tercemar racun makhluk perosak di pasaran.”

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna supaya berhati-hati dengan jumlah racun makhluk perosak yang tinggi dikesan dalam sayuran dan beras yang dijual di pasaran.

Dalam kajian itu sejumlah 112 sampel sayuran dan 20 sampel beras diuji bagi kehadiran racun makhluk perosak. Daripada 98 sampel atau 87.5% sayuran dan 11 sampel atau 55% daripada beras didapati mengandungi racun makhluk perosak.

Sampel itu dibeli daripada pelbagai kedai seperti pasar raya, pasar raya besar, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit di sekitar Pulau Pinang. Ia kemudiannya diuji bagi racun makhluk perosak di Korea.

Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim memegang sayuran yang mengandungi paras racun makhluk perosak yang tinggi.

Kajian dilakukan dengan bantuan daripada Wonjin Institute for Occupational and Environmental Health (WIOEH), serta sokongan daripada Financial Industry Public Interest Foundation (FIPIF), Korea.

Kebanyakan sayuran yang diuji adalah daripada kebun di Ara Kuda yang merupakan kawasan penanaman utama sayuran di Pulau Pinang. Sayuran yang ditanam di sini juga dibekalkan ke negeri sekitarnya iaitu Kedah, Perlis dan Perak.

Bayam

Daripada hasilnya didapati jumlah racun makhluk perosak yang tinggi dan berlebihan digunakan dalam sayuran yang diuji. Selain itu, didapati terdapat juga racun makhluk perosak yang diharamkan oleh negara Kesatuan Eropah (EU) digunakan di Malaysia. Apa yang paling mengejutkan ialah kehadiran sehingga 35 sebatian dalam satu sayuran.

Pada masa ini di Malaysia peraturan berkaitan sisa racun makhluk perosak dalam tanaman adalah di bawah Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985. Hanya racun makhluk perosak yang dinyatakan dalam Jadual (bersama dengan MRL) dibenarkan ada di dalam tanaman masing-masing.

Selain menggunakan racun makhluk perosak yang berlebihan, petani juga menggunakan racun makhluk perosak yang diharamkan atau tidak dibenarkan ada di dalamnya. Hasil ujian itu juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa tanaman didapati mengandungi racun makhluk perosak yang tidak dibenarkan ada di dalamnya. Contohnya, racun makhluk perosak Abamectinyang hanya dibenarkan untuk digunakan dalam buahan seperti tembikai, timun dan tomato, ditemui dalam daun saderi dan daun bawang.Carbofuran yang dibenarkan hanya dalam beras ditemui dalam beberapa sayuran berdaun. (Carbofuranakan diharamkan bermula Mei 2023). Sampel itu juga didapati mengandungi racun serangga seperti Malathion dan Metaflumizone.     

Daun salad
Bayam separuh merah

Kajian itu juga mendedahkan bahawa kerajaan kita menggalakkan penggunaan racun makhluk perosak memandangkan petani diberikan bantuan kewangan untuk membelinya. Di samping itu, racun makhluk perosak haram juga boleh diperolehi petani. Ia juga didapati bahawa ramai petani tidak menyedari akan bahaya racun makhluk perosak dan tidak mengamalkan prosedur keselamatan yang diperlukan seperti memakai peralatan perlindungan keselamatan. Biasanya pekerja asing yang tidak dilatih dalam prosedur dibayar untuk menggunakan racun makhluk perosak. Kami juga mendapati tidak terdapat tempat simpanan yang sempurna bagi menyimpan racun makhluk perosak. Kadangkala ia disimpan dalam bilik stor yang sama dengan peralatan dan makanan. Bekas racun makhluk perosak dibuang merata-rata walaupun terdapat beberapa tempat yang telah ditetapkan untuknya.

Berdasarkan kepada keadaan di atas, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya:

Daun ketumbar
Daun bawang
  • Melakukan ujian secara tetap terhadap barangan makanan di pasaran bagi paras kandungan racun makhluk perosak.
  • Mengumumkan hasilnya supaya pengguna boleh mengelakkan barangan makanan yang didapati mengandungi racun makhluk perosak.
  • Menguatkuasakan dengan tegas Jadual Enam Belas (Peraturan 41) Peraturan Makanan 1985.
  • Menguatkuasakan dan memantau amalan pertanian yang baik.
  • Mengadakan program pendidikan bagi petani untuk mendidik mereka mengenai bahaya penggunaan racun makhluk perosak.

Sementara itu, pengguna dinasihatkan supaya menuntut amalan pengeluaran makanan yang lebih baik melalui kuasa penggunaan mereka.

CAP amat memandang serius perkara ini dan dengan itu menggalakkan pengguna supaya menanam sayuran organik mereka sendiri.

Daun sup
Kailan
Kobis bulat
Kobis Cina

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kobis Panjang
Sawi bunga

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sawi

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  

 

Kenyataan Akhbar, 1 Mac 2023