Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pertanian & Industri Makanan dan Lembaga Racun Makhluk Perosak pada 25 September 2020 menggesa supaya diharamkan glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate kerana kesan toksiknya ke atas kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.
Glyphosate, dikategorikan sebagai kemungkinan karsinogen iaitu boleh menyebabkan barah kepada manusia, sering dikaitkan dengan masalah kesihatan. Adalah didapati bahawa mereka yang tinggi pendedahannya kepada racun rumpai ini lebih berisiko mengalami sejenis kanser yang dipanggil non-Hodgkin limfoma.
Bukti-bukti ini amat membimbangkan memandangkan glyphosate merupakan racun rumpai yang paling banyak digunakan dalam sejarah manusia. Racun rumpai berasaskan glyphosate yang paling biasa ialah Roundup, dikeluarkan oleh Monsanto, yang telah dibeli oleh Bayer pada 2018.
Secara keseluruhannya dilaporkan bahawa kira-kira 8.6 bilion kilogram racun rumpai berasaskan glyphosate disembur di seluruh dunia sejak 1974. Sebagai tambahan, penggunaan glyphosate telah meningkat 15 kali ganda sejak tanaman kejuruteraan genetik diperkenalkan pada 1996, majoriti daripadanya adalah tanaman kejuruteraan genetik toleran glyphosate.
Kebimbangan mengenai kesan kesihatan glyphosate memuncak apabila Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan racun rumpai ini sebagai kemungkinan karsinogen kepada manusia pada 2015. Ianya bertambah runcing dengan peningkatan bukti bahayanya kepada manusia dan saman undang-undang terhadap pengeluarnya, Monsanto.
Meta-analisis yang menilai semua kajian ke atas manusia yang telah diterbitkan mendapati bukti yang menarik bahawa mereka yang terdedah kepada racun rumpai berasaskan glyphosate mempunyai 41% peningkatan risiko mendapat non-Hodgkin limfoma (NHL), dengan penyelidik-penyelidik Zhang et.al merumuskan bahawa terdapat “hubungan menarik” antara dua faktor itu.
Monsanto dan pemilik Jermannya Bayer AG menghadapi lebih daripada 9,000 tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat yang dikemukakan oleh mereka yang menderita akibat NHL yang menuduh racun rumpai berasaskan glyphosate keluaran Monsanto yang menyebabkan penyakit mereka.
Pada Mac 2019, Juri Persekutuan memutuskan bahawa Monsanto bertanggungjawab bagi kanser yang dialami oleh seorang lelaki dari California dan memerintahkan supaya syarikat tersebut membayar US$80 juta kepadanya. Juri memutuskan bahawa reka bentuk Roundup adalah “defektif”, produk itu kurang memaparkan amaran kanser, serta Monsanto cuai dan gagal untuk memberi amaran kepada plaintif akan risiko NHL.
Sebagai pengguna, kita mungkin memikirkan bahawa kita selamat kerana kita tidak terdedah secara langsung kepada glyphosate ketika penyemburan racun rumpai ini. Walaupun begitu, kita terdedah kepada sisa/residu glyphosate dalam atau pada tanaman, terutamanya tanaman kejuruteraan genetik (GE) yang memasuki melalui rantaian makanan. Sisa glyphosate tidak disingkirkan sama ada dengan membasuh mahupun terurai ketika memasak.
Laman sesawang Jabatan Biokeselamatan Malaysia mendedahkan bahawa 40 tanaman kejuruteraan genetik diluluskan bagi makanan, makanan haiwan dan pemprosesan di mana 11 daripadanya adalah toleran kepada glyphosate. Pengguna mestilah tidak mengandaikan bahawa kelulusan makanan kejuruteraan genetik toleran racun rumpai atau produk makanan yang diluluskan oleh badan pengawal selia adalah selamat dari segi kesihatan.
Memorandum CAP kepada pihak berkuasa juga mendedahkan penemuan bahaya glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate kepada kesihatan tanah, lebah, amfibia serta peningkatan kadar perkembangan kekebalan antibiotik dalam bakteria.
Berdasarkan bukti saintifik mengenai bahaya glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate yang terdedah kepada kesihatan manusia dan alam sekitar, banyak pihak berkuasa tempatan, begitu juga dengan kerajaan di kira-kira 40 negara, telah mengeluarkan larangan secara jelas ke atas glyphosate, mengenakan sekatan atau mengeluarkan kenyataan akan niat untuk mengharamkan atau menyekat racun rumpai berasaskan glyphosate.
Memandangkan ketoksikannya, Malaysia perlu segera mengambil langkah untuk mengharamkan racun rumpai berasaskan glyphosate dan sebarang makanan dan bahan makanan yang dihasilkan menggunakan glyphosate, termasuklah makanan dan bahan makanan hasil kejuruteraan genetik toleran glyphosate.
Jabatan Biokeselamatan Malaysia perlu meneliti dan membatalkan kelulusan bagi makanan dan produk makanan kejuruteraan genetik toleran glyphosate selaras dengan bukti bahaya yang semakin meningkat daripada glyphosate dan racun rumpai berasaskan glyphosate.
Nota: Kertas Taklimat bertajuk “The Impacts of Glyphosate on Human and Environment Health” dipapar di laman sesawang: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2020/09/CAP-Briefing-Paper_Impacts-of-Glyphosate-on-Human-Environmental-Health_1_.pdf
Kenyataan Akhbar, 30 September 2020