Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut apabila Kabinet telah memutuskan untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang kontroversi itu walaupun Ahli Parlimen bersedia untuk membahaskannya di dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung pada masa ini.
Kajian kami terhadap analisis kos-manfaat (CBA) terkini yang ditugaskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) daripada PriceWaterhouseCoopers (PwC) mengesahkan kebimbangan CAP sejak sekian lama bahawa terdapat kos yang jauh lebih banyak berbanding manfaat dalam perjanjian yang jangkauannya terlalu jauh ini akan memberi kesan kepada setiap aspek ekonomi dan masyarakat.
MITI sebelum ini telah berjanji kepada Parlimen bahawa laporan CBA itu akan dibuka untuk perbincangan di peringkat Parlimen, tetapi kemudiannya berubah fikiran dengan mengatakan laporan itu akan disiarkan di laman sesawangnya. Dan kini, apabila negara berada di ambang pilihan raya umum, Kabinet tanpa sebarang keraguan telah bergerak untuk meratifikasi CPTPP dan bergegas menyerahkan instrumen perundangan itu kepada sekretariat CPTPP di New Zealand.
Kenyataan MITI pada 5 Oktober mendakwa bahawa eksport Malaysia diunjurkan mencecah USD 354.7 bilion tetapi gagal juga untuk mendedahkan bahawa import akan menjadi lebih tinggi dengan menyertai CPTPP, sekali gus memburukkan lagi imbangan dagangan barangan Malaysia. Kajian oleh pakar ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa kita boleh mengimport sebanyak USD 2.4 bilion setahun lebih banyak daripada eksport. PwC CBA juga mendapati bahawa dengan menyertai CPTPP akan meningkatkan lagi import ke Malaysia lebih daripada peningkatan eksport, walaupun China dan United Kingdom turut menyertai perjanjian itu.
Selain itu, Malaysia juga bersetuju untuk mengurangkan tarif kepada sifar ke atas 100% barangan. Ini bermakna kehilangan hasil tarif kira-kira USD 1.6 bilion setahun. Kehilangan pekerjaan juga dijangka dengan peningkatan import, contohnya dalam sektor pembuatan automotif dan keluli. Sebaliknya, Jepun bersetuju di bawah CPTPP untuk menghapuskan tarif ke atas 95% importnya dan Kanada dan Vietnam hanya perlu menghapuskan tarif ke atas 97% daripada import mereka. Negara-negara tersebut telah melindungi produk “sensitif” mereka daripada persaingan import tetapi Malaysia membuka pintunya.
Malaysia telah pun mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan tiga negara destinasi eksport utama, iaitu Jepun, Singapura dan Australia, yang menyumbang 84% daripada eksportnya ke negara-negara CPTPP. Dengan CPTPP, eksport kereta Jepun ke Malaysia akan meningkat, mengatasi sebarang peningkatan dalam eksport Malaysia ke Jepun.
Dengan CPTPP, pemerolehan kerajaan dan perusahaan milik kerajaan (termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan) perlu diliberalisasikan secara meluas dengan sekatan yang ketat terhadap mana-mana dasar kerajaan untuk membeli daripada pengeluar dan pembekal domestik. Ini bertentangan dengan pelan pemulihan ekonomi untuk “Beli Barangan Malaysia” bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
Sejauh mana undang-undang, dasar dan arahan negara perlu diubah untuk membuka ekonomi Malaysia kepada pihak CPTPP yang lain tidak diakui oleh MITI. Beberapa Akta Parlimen telah dipinda, terutamanya undang-undang buruh, yang boleh dilakukan tanpa CPTPP jika kerajaan komited terhadap hak pekerja. CPTPP mengenakan kewajipan undang-undang di luar undang-undang – dasar, arahan, garis panduan dan lain-lain perlu diselaraskan untuk membolehkan perniagaan asing beroperasi dengan lebih bebas di Malaysia dan mengambil bahagian ekonomi yang lebih besar. Setahu CAP, Kerajaan tidak mempunyai senarai semua perkara yang perlu diubah.
MITI secara konsisten memperkecilkan pencerobohan besar terhadap kedaulatan negara dalam menerima hak bagi pelabur asing untuk menyaman kerajaan secara langsung jika kepentingan keuntungan mereka terjejas oleh tindakan kerajaan, malah tindakan yang sah. Perjanjian pelaburan dua hala yang lalu dengan peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) ini mempunyai skop yang lebih sempit berbanding CPTPP. Negara lain yang terperangkap dalam kes ISDS baru-baru ini terpaksa membayar pampasan berbilion-bilion dalam prosiding timbang tara swasta yang tidak telus, memintas mahkamah negara dan akauntabiliti awam.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menerima ISDS dalam perjanjian perdagangan mereka, walaupun mereka adalah peneraju dalam mendorong ISDS dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), pendahulu kepada CPTPP. Terdapat perubahan dalam kalangan banyak kerajaan mengenai ISDS yang menjadikan CPTPP ketinggalan zaman.
Malah PwC CBA menyatakan ini: “Kos kepada Kerajaan disebabkan oleh kemungkinan tuntutan ISDS . . . Dari segi risiko penurunan, Kerajaan mungkin perlu menyediakan dan memperuntukkan sumber untuk bertindak balas terhadap kemungkinan tuntutan ISDS”. Adalah memalukan bagi Kerajaan untuk membawa negara ini ke jalan yang tidak menentu dalam masa pergolakan ekonomi dan hutang negara yang tinggi, dengan mendedahkan negara kepada tuntutan ISDS.
Sementara itu, CBA dalam banyak bidang memandang rendah kesan negatif dan tidak menggambarkan teks CPTPP sebenar, dan sebaliknya mengenai perjanjian perdagangan bebas hipotetikal yang berbeza dalam pelaksanaan pemodelannya. Dalam mendakwa bahawa KDNK, pelaburan, upah dan hasil cukai Malaysia akan meningkat, CBA menggunakan andaian yang tidak realistik seperti guna tenaga penuh di Malaysia, dan tiada perubahan dalam hasil kerajaan walaupun hasil tarif hilang kerana CPTPP memerlukan Malaysia menghapuskan semua tarifnya ke atas import dari negara CPTPP lain.
CBA sendiri mengakui bahawa anggaran manfaat ini adalah berdasarkan ‘pada tahap tertentu’ pada ‘intuisi. Contohnya, parameter termasuk NTM (langkah bukan tarif) yang sukar untuk diukur’.
CBA juga mengakui bahawa ia mempunyai andaian atau ciri “yang mungkin tidak sepenuhnya mewakili ciri dunia sebenar”.
Oleh sebab itu, adalah sukar untuk dipercayai bahawa MITI bergantung pada CBA yang bermasalah itu yang bagaimanapun menunjukkan banyak kos yang tinggi untuk menyimpulkan bahawa “amat jelas bahawa manfaat terakru daripada ratifikasi CPTPP jauh melebihi sebarang potensi kos yang mungkin timbul”. Beban akhirnya akan jatuh kepada rakyat untuk membayar kos keputusan yang tidak bertanggungjawab ini untuk meratifikasi CPTPP. Sehubungan itu, CAP menggesa penarikan diri daripada CPTPP sebelum ia berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 7 Oktober 2022
Nota kepada Editor:
Kajian yang dirujuk mengenai perdagangan dalam imbangan barangan untuk Malaysia mengenai penyertaan CPTPP adalah seperti berikut:
CPTPP: Implications for Malaysia’s Merchandise Trade Balance Rashmi Banga (https://papers.ssrn.com/sol3/papers.cfm?abstract_id=3354836)
Laporan PwC CBA boleh didapati di sini: https://fta.miti.gov.my/miti-fta/resources/CPTPPA/25072022_CPTPP_Cost_Benefit_Analysis_Final_Report_-_for_publication.pdf