Ucapan oleh S. M. Mohamed Idris, 10 Oktober 2015
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut serta dalam Minggu Tindakan Hijau bersama dengan 40 pertubuhan masyarakat sivil di 27 negara di Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Latin. Minggu Tindakan Hijau ialah kempen global untuk mempromosikan penggunaan lestari.
Setiap tahun pada Oktober, pertubuhan di seluruh dunia mengambil tindakan bersama untuk mempromosikan matlamat bersama. “Makanan dan Pertanian Organik untuk semua” merupakan fokus kempen bagi Minggu Tindakan Hijau pada 2013-2016. Pengeluaran lestari memerlukan penggunaan lestari. Jika anda memakan lebih banyak bahan organik, para pengeluar akan menghasilkan lebih banyak bahan organik!
Di Malaysia, promosi pertanian berdasarkan kepada monokultur intensif dan input agrokimia yang tinggi telah meningkatkan kebimbangan yang serius terhadap kehilangan biodiversiti pertanian, kemerosotan kualiti tanah dan air, sisa bahan kimia dalam tanaman makanan dan risiko kesihatan kepada pengguna dan pekerja ladang.
Sebagai tindak balas kepada kesan sampingan seperti itu, CAP mencadangkan penyelesaian dengan pertanian bebas-kimia yang akan meningkatkan pengeluaran makanan dengan kos dan kesan yang lebih rendah, tanpa menyebabkan bahaya kepada alam sekitar atau mengancam kesihatan awam. Pertanian bandar bebas-kimia juga akan memastikan kejaminan dan keselamatan makanan.
Sempena Minggu Tindakan Hijau, CAP menganjurkan karnival untuk mempromosikan makanan dan pertanian organik melibatkan pengguna, petani, wanita, pelajar dan kumpulan komuniti. Makanan, buahan dan sayuran organik juga turut dijual oleh pengusaha pertanian organik yang telah mendapat bimbingan pertanian organik daripada CAP.
Kami juga turut mengadakan latihan untuk petani dengan kerjasama Jabatan Pertanian Pulau Pinang di mana demonstrasi kaedah membuat kompos, menyediakan bahan penghalau makhluk perosak dan penggalak pertumbuhan dengan bahan semulajadi akan dilaksanakan. Anak pokok mambu, jarak akan diedarkan kepada petani untuk ditanam sebagai sempadan tanaman bagi menghalau serangga perosak.
Sebagai tambahan, kami juga mempunyai bahan permulaan yang terdiri daripada pasu, tanah, buku panduan, biji benih, anak pokok herba, kompos cacing, bahan penghalau makhluk perosak, penggalak pertumbuhan dan pasu menegak untuk pertanian bandar untuk mempeloporkan kempen menanam makanan sendiri.
Kami berharap Kerajaan Malaysia akan memberikan sokongan yang lebih kuat kepada aktiviti pertanian bandar dan pertanian bebas-kimia serta menjadikan kaedah pertanian lestari ini sebagai arus perdana untuk mencapai potensi sepenuhnya sistem makanan tempatan organik.
Turut sertalah dalam kempen kami
“Ke Arah Masa Depan Bebas-Toksik: Makanan dan Pertanian Organik untuk Semua”