CAP: Tindakan Mogok oleh Doktor Secara Moralnya Tidak Wajar

CAP merasa amat bimbang apabila sekumpulan 8,000 doktor kontrak yang kini berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan mengancam untuk meletak jawatan secara beramai-ramai dan melancarkan ‘mogok’ di seluruh negara pada bulan depan. Satu akaun media sosial yang dikenali sebagai “Mogok Doktor Malaysia” telah muncul baru-baru ini.

Menurut laporan media, tuntutan kumpulan itu termasuklah penyerapan semua Pegawai Perubatan (MO) kontrak ke jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga; kenaikan gaji pokok dan kadar atas-panggilan (on-call); dan penyelesaian bagi masalah kekurangan pakar, Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Latihan Siswazah (House Officers).

Mereka juga mahukan tempoh perkhidmatan wajib bagi pegawai perubatan dikurangkan secara automatik kepada tiga tahun tanpa permohonan; mengurangkan waktu atas-panggilan dan waktu bekerja Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Latihan Siswazah; dan waktu atas-panggilan tidak boleh melebihi enam kali sebulan dan waktu kerja tidak melebihi 60 jam seminggu.

Sementara itu kerajaan telah berjanji untuk meneliti perkara berkenaan. Dari semasa ke semasa kerajaan telah memberikan maklum balas dan bertindak terhadap isu yang dibangkitkan dan permintaan oleh pekerja penjagaan kesihatan dengan memberikan jaminan bahawa semua rungutan itu akan diteliti dan seterusnya diselesaikan berdasarkan keupayaan ekonomi negara.

Isu-isu yang berkaitan dengan tuntutan doktor kontrak adalah rumit kerana ia akan mengambil sedikit masa untuk menyelesaikannya. Memandangkan janji oleh kerajaan sekarang bahawa mereka akan menyelesaikan masalah doktor kontrak maka seharusnyadiberikan sedikit masa untuk menyelesaikan masalah itu. Mereka tidak seharusnya mengambil keputusan terburu-buru seperti mengugut untuk meletak jawatan secara beramai-ramai dan melancarkan mogok di seluruh negara.

Doktor kontrak seharusnya memberikanpertimbangan bahawa dianggarkan bahawa lebih daripada 70 peratus penduduk Malaysia tidak mempunyai sebarang cara perlindungan kewangan tambahan bagi rawatan perubatan, selain daripada perlindungan penjagaan kesihatan yang dibiayai oleh cukai sedia ada yang disediakan oleh kerajaan.

Bagi pesakit, mogok akan menimbulkan banyak masalah seperti kehilangan kerja (jika bekerja), membazir wang bagi pengangkutan, kelewatan untuk rawatan, penderitaan berpanjangan, kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada kesihatan, gangguan ubatan berbahaya dan kematian.

Di samping itu, mogok itu jugamelanggar kontrak sosial yang tersirat antara doktor dan pesakit dan menafikan pengisytiharan perkhidmatan, kod dan prinsip etika yang diisytiharkan secara terbuka oleh doktor.

Mogok itu juga akan turut menjejaskan segmen penduduk yang paling lemah dan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak kecil. Oleh sebab itu, adakah beretika bagi doktor untuk melakukan mogok untuk keuntungan material?

Dalam amalan doktor perubatan diletakkan amat dekat dengan emosi manusia yang sangat intim, kerapuhan, kekuatan dan kelemahan pesakit dalam hidup dan mati. Sebagai saksi kepada situasi yang begitu kuat, imej doktor sebagai tokoh utama dalam apa yang diistilahkan sebagai hubungan penyembuhan berisiko tercalar dalam kes mogok oleh doktor. Visi doktor sebagai penyembuh yang tidak mementingkan diri sendiri akan menjadi lebih jelas.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Surat Kepada Pengarang, 30 Mac 2023