Cukai Gula Perlu Meliputi Semua Makanan Tinggi Gula

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong gesaan yang dibuat oleh Menteri Kewangan bahawa pengeluar minuman perlu merendahkan kandungan gula dalam produk mereka untuk mengelakkan daripada membayar cukai gula.

Bagaimanapun, dalam usaha mereka untuk merendahkan kandungan gula, pengeluar minuman tidak seharusnya dibenarkan untuk menggunakan bahan gantian yang lebih berbahaya berbanding gula, contohnya penggunaan bahan pemanis tidak berkhasiat seperti aspartame. Atau menggunakan Sirap Jagung Tinggi Fruktosa (HFCS) yang lebih berbahaya berbanding gula dan ia digunakan sebagai gantian yang lebih murah bagi gula dalam minuman ringan.

Pada masa ini duti eksais yang dikenakan ke atas minuman manis ialah 40 sen seliter, ia hanya ke atas dua kategori minuman manis berbungkus sedia diminum. Memandangkan matlamat kerajaan dalam memperkenalkan cukai ini adalah untuk mengawal obesiti, diabetes dan masalah kesihatan lain, ia perlu memberikan tumpuan kepada mengenakan cukai bagi semua makanan tinggi gula dan termasuklah semua minuman yang ditambah gula.

Menghadkan cukai kepada hanya minuman ringan mungkin mendorong pengguna kepada sumber gula alternatif yang bertentangan dengan matlamat mengenakan cukai. Terdapat banyak lagi makanan lain seperti aiskrim dan biskut yang masih boleh membawa kepada pengambilan gula berlebihan dan mendorong pengguna menjadi ketagih kepada gula.

Kos penjagaan kesihatan penyakit berkaitan obesiti amat besar di Malaysia, dengan anggaran AS$1 hingga AS$$2.1 bilion, demikian menurut kajian pada 2017 oleh Asia Roundtable on Food Innovation for Improved Nutrition. Ini bermakna kira-kira 10 hingga 19 peratus daripada jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan Malaysia. Perlu diingat bahawa mestilah terdapat inisiatif lain yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi menangani masalah obesiti dan NCD yang boleh dikeluarkan selaras dengan cukai gula.

Dalam satu kajian terbaru, penyelidik dari Universiti Sorbonne Paris Cite, melaporkan bahawa pengambilan hanya segelas kecil minuman bergula sehari – 100 ml, kira-kira sepertiga tin soda biasa membawa kepada peningkatan 18% dalam keseluruhan risiko kanser dan 22% peningkatan dalam risiko bagi kanser payudara.

Memandangkan kepada keadaan kesihatan rakyat pada masa kini, CAP menggesa kerajaan supaya:

  • Mengenakan peraturan pemasaran yang lebih ketat ke atas produk tinggi gula terutama sekali melibatkan makanan kanak-kanak.
  • Memperkenalkan maklumat pemakanan mandatori pada label kandungan gula minuman sedia diminum, biskut dan makan lain yang tinggi kandungan gulanya dengan bilangan kandungan sudu teh gula.
  • Menjalankan kempen untuk mendedahkan risiko pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gulanya.
  • Makanan tidak sihat yang tinggi kandungan lemak, gula, garam dan bahan penambah seharusnya tidak digalakkan dengan memperkenalkan cukai ke atas makanan seperti itu.
  • Mendidik rakyat Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes.
  • Memperkenalkan sistem lampu isyarat lalu lintas pada label makanan untuk menunjukkan paras gula, garam dan lemak yang tidak sihat. Ini akan memberikan pengguna panduan dan petunjuk mudah mengenai jumlah bahan ramuan ini.
  • Mengharamkan mesin minuman/makanan layan diri di sekolah, hospital dan tempat awam lain.

Mengenakan cukai sahaja tidak cukup untuk mengawal ketagihan kepada gula dan pendekatan yang lebih holistik akan menjadi kunci dalam mewujudkan rakyat yang lebih sihat.

 

Surat Kepada Pengarang, 18 Julai 2019