Kurang tidur melemahkan sistem imun, membawa kepada selesema, flu atau jangkitan lain. Kajian menunjukkan sedikit kekurangan tidur mengurangkan paras sel darah putih dan keberkesanan sistem imun.
Satu kajian mendapati jika anda menghalang tikus daripada tidur hanya 8 jam dan kemudian mencabar tubuhnya dengan bahan asing, tindak balas antibodi menjadi lemah.
Tikus yang tidak cukup tidur mengalami kemerosotan imuniti terhadap jangkitan virus selesema dalam paru-paru; ia juga mengurangkan kemampuan untuk menghasilkan semula interferon dan bahan melawan jangkitan penting lain.
Kajian terhadap manusia juga menunjukkan kekurangan beberapa jam tidur boleh mengganggu corak biasa tindak balas sistem imun.
Sel pembunuh semula jadi dalam sistem imun kita akan terjejas akibat kurang tidur. Kajian mendapati mereka yang berjaga sehingga 3 pagi sebelum tidur mengalami 30% pengurangan dalam bilangan sel pembunuh semula jadi pada keesokan hari dan menekan aktiviti dalam sel pembunuh semula jadi yang masih ada.
Penekanan fungsi imun ini mengakibatkan tubuh lebih terdedah kepada virus misalnya virus penyebab selesema. Memandangkan sel imun ini juga melindungi tubuh daripada tumor, beberapa penyelidik percaya bahawa kekurangan tidur yang kronik boleh meningkatkan risiko kanser.
Bagi mereka yang mengalami insomnia kronik (ditakrifkan sebagai masalah tidur yang berlarutan sehingga 4 minggu atau lebih lama), atau mereka yang menghalang tidurnya secara berkala dipercayai menjadi “lebih mudah terdedah kepada virus, bakteria, atau jangkitan kulat”, kata James Krueger, Ph.D., pakar neurobiologi di Washington State University.
Dalam kajian lain dari Penn State University dan National Institute of Child Health and Human Development di US National Institutes of Health, kehilangan tidur didapati menjejaskan hormon imun lelaki dan wanita yang sihat yang tidur selama 6 jam setiap malam selama seminggu.
Mereka mengalami paras hormon imun yang tinggi, yang boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko diabetes, aterosklerosis, tekanan darah tinggi dan osteoporosis.
Sistem imun yang lemah juga bermaksud bahawa luka dan kecederaan akan mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Selain itu, banyak tidur sewaktu dijangkiti penyakit terbukti membantu pemulihan dengan lebih cepat.
Itulah sebabnya kita menjadi amat mengantuk apabila demam atau mendapat jangkitan, dan bukanlah luar biasa untuk tidur lebih lama ketika seseorang itu sakit.
Daripada Panduan CAP Cara Tidur Jejaskan Tubuh & Minda
Boleh didapati di sini >http://pengguna.org.my/index.php/utama/buku/product/view/3/47https://consumer.org.my/ms/product/cara-tidur-jejaskan-tubuh-dan-minda/