Dasar sisa plastik ‘kuda trojan’ Australia memarakkan perdagangan toksik merentasi Asia

(Gothenburg, Sweden): International Pollutants Elimination Network (IPEN) menerbitkan siri kajian yang mendedahkan bagaimana dasar sisa baharu Australia mendorong pelaburan secara besar-besaran dalam pemerosesan sisa plastik kepada bahan api, dan eksport negara itu mengancam pengurusan sisa di negara ASEAN. Situasi ini berlaku walaupun Australia telah mengumumkan ia akan menghentikan eksport sisa tidak diproses pada 2020, selepas China dan negara Asia Tenggara lain mengharamkan import sisa plastik, bermula 2018.

Jane Bremmer, Penyelaras Kempen bagi Zero Waste Australia, berkata: “Australia sebenarnya menjenamakan semula sisa plastik sebagai bahan api yang berasal dari sampah (refuse-derived fuel – RDF), agar ia boleh meneruskan perdagangan mengeksport sisa.”

NGO ini menambah bahawa pendirian Australia melemahkan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Rentas Sempadan Sisa Berbahaya dan Pelupusannya, serta komitmen perubahan iklim global.

Seterusnya Bremmer berkata: “Kami bimbang mengenai dasar sisa plastik ‘kuda trojan’ Australia dan kemampuan negara Asia Tenggara untuk mengendalikan dengan selamat sisa plastik sebagai bahan api yang dikenali sebagai RDF, yang berasal dari sampah. Kami juga ingin menjelaskan bahawa pembakaran RDF tidak boleh dianggap hijau, atau sumber elektrik atau tenaga rendah karbon. RDF akan bersaing dan menggantikan tenaga boleh diperbaharui yang bersih di Australia dan rantau Asia Pasifik. Lagipun kekurangan standard antarabangsa atau rangka kerja peraturan bagi pengeluaran, perdagangan dan penggunaan RDFmerupakan ancaman kepada kesihatan, alam sekitar dan hak asasi manusia, khususnya di negara membangun.”

Siasatan IPEN

Untuk memahami dengan lebih baik status pengurusan sisa di seluruh rantau ini, IPEN dan pertubuhan yang terlibat dalam rangkaianIPEN telah menyiasat:

  • Dasar Australia berhubung pengurusan dan eksport sisa, dalam kajian bertajuk Australian Refuse-Derived Fuel: Fuel product or plastic waste export in disguise?;dan
  • Keupayaan Indonesia, Malaysia, dan Filipina untuk menguruskan sisa residu termasuk sisa import, dan rangka kerja peraturan dan undang-undang berkaitanyang mengawal penggunaan RDF.

Kajian pertama menjelaskan bagaimana undang-undang sisa baharu yang diperkenalkan di Australia baru-baru ini mendorong desakan bagi infrastruktur bahan api sisa plastik, dan mendedahkan beberapa kebimbangan terutamanya rancangan untuk membiayai dan menggalakkan eksport RDF untukdibakar di negara-negara di Asia Tenggara, dengan helah bahawa ianya bersih dan tenaga yang boleh diperbaharui. Laporan kajian ini juga merangkumi penilaian ketoksikan dan kesan RDF ke atas kesihatan dan alam sekitar.

Sebagai tambahan, IPEN menunjukkan bahawa Undang-undang Sisa Berbahaya Australia (Pindaan) yang diluluskan pada Jun 2021 gagal untuk merujuk kepada Pindaan Pengharaman Basel (Basel Ban Amendment) yang baharu. Hakikatnya, kerajaan Australia mahu mengekalkan hak perundangan domestik untuk melonggokkan sisa ke negara jiran yang miskin.

Laporan kajian Indonesia, Malaysia, dan Filipina menunjukkan potensi ketara, tetapi masih belum dapat diukur, risiko berkaitan penggunaan RDF. Sisa plastik campuran dalam RDF menunjukkan kandungan pelbagai bahan tambah bahan kimia toksik termasuk pencemar organik yang tegar, logam berat, dan bahan kimia pengganggu endokrin. Apabila dibakar sebagai bahan api RDF ia boleh menjana dioksin dan furan yang amat toksik yang boleh mencemar rantaian makanan tempatan. Secara keseluruhannya, IPEN berkata kajian menunjukkan bahawa import RDF adalah tidak adilkerana membebankan dan memberikan kesan sampingan kepada komuniti tempatan, alam sekitar dan kesihatan mereka.

Ulasan daripada rakan kongsi IPEN mengenai import RDF Australia

Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition Filipina berkata: “Penemuan laporan ini menunjukkan bahawa penggunaan RDF semakin meningkat di Filipina. Ia menyumbang kepada cabaran dan isu perdagangan sisa negara yang sedia ada. Negara membangun di ASEAN terus menjadi tempat longgokan dan pembuangan sisa bagi negara maju dan dunia perindustrian. Ini bukan hanya memburukkan lagi risiko kesihatan dan alam sekitar tetapi juga menambahkan krisis sisa yang dihadapi oleh negara seperti Filipina.”

Mageswari Sangaralingam, Pegawai Penyelidik Kanan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), berkata: “Walaupun kerajaan Australia mengumumkan pengharaman eksport sisa pada 2020, ia amat mengecewakan kami kerana negara itu terus mengeksport sisa sebagai ‘produk bahan api’. Australia mengelak pengharaman eksport sisanya sendiri dengan menghantar produk ‘tenaga daripada sisa’ ini ke rantau lain.”

Yuyun Ismawati, Pengasas Bersama Yayasan Nexus 3, Indonesia, memberi amaran bahawa: “Indonesia yang tergesa-gesa untuk melabur dalam pelbagai kemudahan RDF membawa ancaman pencemaran utama. Menunjukkan industri pembakaran RDF sebagai jaguh pencemaran iklim melalui pembakaran bersama dan kunci penyelesaian kepada pengurusan sisa negara dan krisis tenaga adalah melampau dan tidak boleh diterima.”

Kesimpulan dan saranan IPEN

IPEN berkata laporannya menunjukkan bagaimana Australia, dan industri pengurusan sisa, membiayai dan menggalakkan RDF sebagai sinki atau penenggelam besar bagi sisa plastik akan datang, dan bagaimana eksport RDF mengancam komuniti di seluruh rantau Asia Pasifik, walaupun kerajaan berusaha untuk mengharamkan import sisa plastik. Selanjutnya, kumpulan itu berkata rangka kerja dasar sisa Australia menggalakkan pembakaran sisa mendahului kitar semula yang membawa kepada kesan negatif terhadap aspirasi ekonomi sirkular dan komitmen perubahan iklim.

Saranan IPEN untuk menangani bahan api sisa plastik/perdagangan RDF termasuklah:

  • Pengharaman import sisa, termasuk derivatif sisa seperti RDF (ini termasuklah rundingan semula perjanjian perdagangan yang memudahkan pergerakan produk sisa – ini perlu dilakukan berasaskan kesatuan dan kerjasama ASEAN);
  • Pengharaman eksport bahan api sisa plastik negara dan perdagangan RDF lain;
  • Menyenaraikan RDF dan bahan api sisa plastik yang sedemikian sebagai bahan berbahaya dalam Konvensyen Basel;
  • Penggantungan segera penggunaan RDF dalam semua fasiliti di seluruh rantau ASEAN;
  • Potensi tinggi RDF untuk menjana dioksin berklorin dan bromin memerlukan penilaian saintifik yang telus dan teliti terhadap kesan kesihatan dan alam sekitar daripada pembakaran RDF;
  • Tanur simen, dandang perindustrian, dan industri penggunaan tenaga tinggi yang lain seharusnya melampaui keseluruhan paradigma pembakaran sisa dan bergerak pantas kepada penggantian dengan bahan api bersih, seperti hidrogen mesra alam untuk menggantikan bahan api fosil.

Untuk maklumat selanjutnya mengenai kajian dan penemuannya sila rujuk https://ipen.org/news/plastic-waste-fuels, dan penjelasan mengenai RDF lihat Ringkasan Eksekutif di https://ipen.org/documents/plastic-waste-fuels-summary

###

Editor dan wartawan, sila hubungi Bjorn Beeler, IPEN: bjornbeeler@ipen.org atau Jane Bremmer, Zero Waste Australia/NTN: acejane@bigpond untuk mengatur temu bual dengan pengarang laporan dan untuk maklumat tambahan.

@toxicsfree

IPEN (International Pollutants Elimination Network), rangkaian kesihatan alam sekitar global dengan lebih 600 pertubuhan di lebih 125 negara, berusaha untuk menghapuskan dan mengurangkan bahan paling berbahaya untuk menempa masa depan bebas toksik.

 

Kenyataan Media, 1 Mac 2022