DIA MEMILIKI HATI EMAS

Uma Ramaswamy Iyer, 65, adalah pejuang hak pengguna yang berdedikasi dan bersemangat yang berkhidmat dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selama hampir 35 tahun. Beliau merupakan setiausaha peribadi kepada Allahyarham Presiden CAP, S M Mohd Idris selama hampir 32 tahun. Selepas kematiannya, dia terus memegang jawatan ini di bawah Presiden baharu, Encik Mohideen Abdul Kader, sehinggalah kematiannya baru-baru ini.

Uma terlibat dalam bidang penting di dalam kerja pentadbiran CAP, dan bertanggungjawab ke atas siaran akhbar kami untuk satu tempoh masa yang agak lama. Sehingga kematiannya, beliau merupakan Ketua Bahagian Aduan yang menasihati dan memperjuangkan keadilan untuk pengguna dalam pelbagai perkara.

Beliau adalah tonggak kekuatan kepada pertubuhan — seorang yang boleh melakukan pelbagai tugas dengan cekap, yang sanggup mengorbankan masanya sendiri atas nama kerja. Bekerja secara senyap di belakang tabir, dia memastikan suara dan cadangan CAP sampai kepada pihak berkuasa dan hasil penyiasatan serta maklumat kami sampai kepada orang ramai.

Sentiasa menjadi orang pertama yang membetulkan sesuatu perkara, dia bersuara dengan yakin dan berani tentang apa sahaja yang dianggapnya tidak adil atau salah, memberikan semak dan imbang yang baik dalam setiap perkara yang kami lakukan. Dia membawa pendekatan yang sama ini kepada bidang kerja penting CAP dalam jagaannya. Kuat dan bertekad, dia bijak dan mempunyai pendirian “ayuh, buat” yang membolehkan segala kerja berjalan dengan lancar.

Seorang pekerja yang sangat berdisiplin, dia akan hadir di pejabat sejam sebelum orang lain untuk memulakan kerja dengan lebih awal. Dia percaya pada pengurusan masa yang baik dan sentiasa menepati masa dengan tepat membuatkan kakitangan yang lewat rasa bersalah. Tetapi di sebalik sikapnya yang tegas, dia mempunyai sifat riang. Jenakanya dengan wajah yang selamba boleh membuatkan seseorang yang serius tersenyum. Dia juga mempunyai bakat terpendam, dia boleh menyanyi dan menghiburkan semua.

Uma seorang yang berjiwa mulia dan memiliki hati emas yang menyentuh begitu ramai orang. Kepada rakan, rakan sekerja, keluarga dan semua umat manusia, dia pembawa kasih sayang, keprihatinan, bantuan dan harapan, seringkali dengan cara dan pada masa yang anda tidak jangkakan. Bersikap murah hati, dia sering memberi wang dan makanan kepada mereka yang memerlukan dan kelaparan, termasuk orang yang tidak dikenali. Dia memberi dengan murah hati untuk amal. Pada majlis dan acara yang melibatkan kakitangan, dia memastikan semua orang dapat menjamah makanan. Pada waktu rehat makan tengah hari, jika ada yang tiada makanan, dia akan memastikan perut mereka tidak kosong.

Dia sangat baik dan prihatin terhadap orang lain, dan amalan ini mengiringnya sehingga nafasnya yang terakhir. Pada hari-hari terakhirnya di ketika dia sangat lemah, dia sanggup meluangkan masa untuk menghubungi dan bertanya khabar rakan sekerja yang tidak sihat yang menjalani kemoterapi. Tidak terkira banyaknya contoh amalan sebegini dalam hidupnya; tidak ada ungkapan “mementingkan diri sendiri” dalam kamus hidupnya.

Kita kehilangan sebutir bintang yang bersinar. Namun seperti bintang yang telah gugur dan   meninggalkan sinarnya, legasi Uma dengan semangat juangnya yang kuat, keberanian dan keterbukaannya, pendekatannya yang serius terhadap kerja, kebaikan dan empatinya, serta caranya yang mesra dan suka menolong serta melindungi dan mengambil berat tentang orang lain akan sentiasa memberi inspirasi kepada kita untuk bersikap altruistik dalam perkhidmatan dan kemanusiaan dalam kehidupan.

Terima kasih Uma atas kerja baik, kasih sayang, masa dan kebaikan yang telah anda berikan kepada kami, yang akan terus hidup dan bersinar selama-lamanya. Tenanglah di sana, rakan dan kawan yang dikasihi. Anda amat dirindui dan akan sentiasa diingati.