Wabak Covid-19 dianggap penyakit yang amat serius sehingga negara-negara di seluruh dunia mengambil langkah drastik untuk membendungnya. Namun terdapat satu lagi pembunuh di sekeliling kita yang setiap tahun meragut nyawa dalam jumlah yang lebih besar berbanding Covid-19 iaitu diabetes mellitus.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 200 juta penduduk di seluruh dunia menghidap diabetes dan setiap tahun, tujuh juta lagi menghidapinya. Pada 2019 terdapat lebih daripada 500,000 kematian akibat diabetes membabitkan golongan berusia 60 tahun dan lebih muda di Asia Tenggara. Menurut Buletin Perangkaan Sosial 2019 Malaysia, diabetes merupakan salah satu daripada punca utama kematian pada 2018.
Menurut perangkaan terkini dari WHO, pada 2016 sejumlah 4,710 penduduk Malaysia mengalami kematian yang dikaitkan dengan diabetes, sementara 13,150 warga negara ini meninggal dunia disebabkan paras gula yang tinggi dalam darah. Angka ini jauh lebih tinggi daripada jumlah kematian disebabkan Covid 19 di Malaysia.
Diabetes merupakan masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian. Di seluruh dunia, kelaziman menghidap diabetes semakin meningkat disebabkan pelbagai faktor seperti pertumbuhan penduduk, peningkatan jangka hayat, penghijrahan ke bandar dan semakin ramai yang mengalami obesiti dan kurang bersenam.
Di Malaysia, di sebalik pelaksanaan pelbagai kempen mengenai diabetes namun kelazimannya terutama Diabetes Jenis 2 sudah mencecah ke tahap epidemik. Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), seorang dalam lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menderitai diabetes. Hakikatnya kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3 peratus, berbanding cuma 1-2 peratus pada 1960.
Kajian menunjukkan bagi setiap dua pesakit diabetes yang dikenal pasti, terdapat seorang lagi yang tidak menyedari bahawa dirinya mempunyai diabetes (lebih teruk lagi, tidak mendapatkan rawatan) sehinggalah berlaku komplikasi yang sukar untuk dipulihkan. Lebih buruk lagi, diabetes Jenis 2 tidak lagi merupakan penyakit bagi golongan umur pertengahan atau tua kerana kanak-kanak semuda 10 tahun juga ada yang menghidapinya (kedua-dua diabetes Jenis 1 dan Jenis 2)
Doktor mendapati pesakit muda diabetes biasanya bertubuh gemuk (obes) dan ianya berpunca daripada memakan terlalu banyak makanan yang kurang menyihatkan dan menjalani gaya hidup santai. Menurut satu tinjauan, diabetes Jenis 2 lebih banyak berlaku kepada mereka yang berusia di antara 18 hingga 29 tahun. Namun kanak-kanak yang berusia 10 tahun ke bawah juga kini menghidapinya.
Diabetes sangat berbahaya kerana ia mampu menjejaskan organ-organ penting pesakit seperti jantung, ginjal, saraf dan mata. Jika tidak dikawal dengan baik, diabetes boleh menimbulkan pelbagai komplikasi. Paras gula darah yang tinggi selepas beberapa lama, disertai dengan ciri-ciri sindrom metabolik boleh merosakkan saluran darah, yang sebaliknya boleh merosakkan banyak organ dalam tubuh. Sungguhpun timbul pelbagai komplikasi, seperti kegagalan ginjal atau kebutaan, yang boleh menjejaskan pesakit diabetes, komplikasi pada bahagian kakilah yang paling banyak berlaku.
Di serata dunia, setiap:
· 10 saat dua orang menghidap diabetes
· 10 saat seorang mati akibat diabetes
· 30 saat anggota kaki terpaksa dipotong.
Obesiti merupakan salah satu penyumbang utama kepada diabetes. Jumlah penghidap diabetes yang tinggi di negara ini tidak menghairankan kerana Malaysia mencatatkan paling ramai penduduk bertubuh gemuk di Asia, dengan kadar mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes lebih dari 50 peratus.
Kemudahan mengunjungi tempat makan 24 jam sehari di negara ini secara tidak langsung menyemai tabiat gemar makan pada larut malam. Mengambil makanan pada lewat malam dikaitkan dengan pertambahan berat badan. Kemunculan restoran makanan segera yang tumbuh bak cendawan, dengan menghidangkan makanan yang tidak menyihatkan, turut menyumbang kepada masalah obesiti. Makanan segera yang kaya dengan lemak dan garam bersama minuman ringan yang manis menarik selera kanak-kanak. Pengambilan makanan seumpamanya secara berterusan meningkatkan risiko menghidap diabetes.
Diabetes merupakan penyakit kronik yang sebenarnya boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapnya, boleh memperlahan atau mencegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan dengan lebih baik.
Memandangkan kadar diabetes yang membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa agar:
· Mengharamkan penggunaan Sirap Jagung Tinggi Fruktosa (HFCS), pengganti murah dan tidak sihat bagi gula yang diproses dalam produk makanan.
· Mengarahkan pengeluar supaya mengelak atau mengurangkan gula dalam produk mereka.
· Meminda undang-undang pelabelan untuk memastikan pengeluar menukar label mereka dengan mencatatkan secara jelas kandungan gula dalam makanan mereka dengan menunjukkan bilangan sudu teh gula di dalamnya.
· Menghentikan iklan makanan yang tinggi kandungan gulanya dan lain-lain makanan atau minuman tidak berkhasiat di TV.
· Mengharamkan penjualan makanan remeh di kantin sekolah dan makanan penjaja dalam jarak yang ditentukan di sekitar kawasan sekolah agar kanak-kanak tidak tertarik untuk membeli makanan yang tidak sihat.
· Memulakan tindakan mengeluarkan mesin makanan remeh dan minuman manis dari kawasan hospital, lapangan terbang dan sekolah. Sebaliknya sediakan air minuman dalam dispenser air di tempat-tempat tersebut.
· Melancarkan kempen besar-besaran dalam media massa untuk mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes.
· Melancarkan kempen besar-besaran untuk menggalakkan pengguna lebih kerap bersenam untuk mengelak dari menjadi obes.
· Menghentikan pemberian lesen 24 jam kepada tempat-tempat makan.
· Pengguna perlu kurangkan gula dengan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang diproses khususnya minuman ringan – yang turut dikenali sebagai “kandi cecair” di Barat.
Surat kepada Pengarang, 10 Jun 2020