Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penggunaan etilena oksida sebagai fumigant oleh industri makanan.
Gesaan itu dibuat berikutan laporan terbaharu oleh Jabatan Kesihatan Taipei yang menemui dua jenis mi segera mengandungi etilena oksida iaitu bahan yang mendorong kanser.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu mendapati satu kelompok “Mee Kari Putih Ah Lai” dari Malaysia dan satu kelompok mi “Indomie: Perisa Ayam Istimewa” dari Indonesia yang kedua-duanya mengandungi etilena oksida, sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia.
Jabatan itu berkata ujian mendedahkan bahawa etilena oksida dikesan dalam kedua-dua mi dan paket perisa produk Malaysia tetapi hanya dalam paket perisa produk Indonesia.
Ini bukan kali pertama etilena oksida dikesan dalam mi segera. Pada Oktober lalu Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan bahawa sisa etilena oksida telah dikesan dalam beberapa perisa Mi Sedaap, produk Indonesia.
Pada Ogos 2022, Kementerian Kesihatan juga telah menarik balik produk aiskrim Häagen-Dazs perisa vanila kerana didapati tercemar dengan etilena oksida.
Penemuan etilena oksida baru-baru ini dalam mi segera hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar seperti makanan diproses dan bahan ramuan makanan lain di pasaran yang boleh tercemar dengan karsinogen.
Etilena oksida ialah bahan gas dengan pelbagai aplikasi yang berpotensi, kerana sifatnya yang sangat reaktif. Ia telah digunakan dalam industri makanan sebagai fumigant kerana keupayaannya untuk membasmi kuman tanpa menggunakan rawatan haba.
Pengasapan makanan dan kawasan penyimpanan makanan dengan etilena oksida telah dihentikan di banyak bahagian dunia, termasuk EU yang melarang penggunaan etilena oksida sejak 1991.
Oleh kerana sifatnya yang sangat toksik, etilena oksida dikelaskan sebagai mutagen sel kuman, karsinogen dan toksin reproduktif.
Meskipun ketoksikannya beberapa negara seperti Kanada, Amerika Syarikat dan India masih membenarkan penggunaan etilena oksida sebagai fumigant dalam aplikasi yang berkaitan dengan makanan, termasuk kontena pengangkutan dan di gudang. Oleh itu, pencemaran silang produk oleh etilena oksida adalah perkara biasa terutamanya semasa penyimpanan dan pengangkutan.
Kajian menunjukkan bahawa produk makanan, termasuk herba, rempah-ratus, kacang, biji koko, koko, kek koko, kismis, sayur-sayuran kering dan gam sering dirawat dengan etilena oksida.
Memandangkan ketoksikan etilena oksida dan kerap berlaku dalam produk makanan di pasaran Malaysia. Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa agar Kementerian Kesihatan supaya:
Melarang penggunaan etilena oksida sebagai fumigant oleh industri makanan.
Uji bahan ramuan makanan yang diproses dan bahan makanan bagi kehadiran etilena oksida terutamanya yang datang dari negara yang masih menggunakannya.
Laporan berulang kali mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa luar negara jelas menunjukkan bahawa pemantauan keselamatan makanan kita tidak mencukupi.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 27 April 2023