World Alliance for Mercury-Free Dentistry (Perikatan Dunia untuk Pergigian Tanpa Merkuri) yang dianggotai Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan momentum yang semakin meningkat untuk fasa keluar penggunaan amalgam pergigian. Bahagian pertama Persidangan Pihak Konvensyen Minamata mengenai Merkuri (COP4) keempat telah berlangsung dalam talian dari 1-5 November 2021.
Konvensyen Minamata memerlukan Pihak untuk menghentikan penggunaan amalgam pergigian secara berperingkat. Bahan tampalan amalgam mengandungi kira-kira 50% merkuri. Langkah seterusnya ialah bersedia untuk penghapusan berperingkat global, dan terdapat pergerakan untuk menghapuskan produk toksik dan pencemar ini secara berperingkat pada bahagian kedua COP4 yang akan berlangsung secara fizikal di Bali pada 21-25 Mac, 2022.
Banyak negara telah menghentikan penggunaan amalgam secara berperingkat, sekurang-kurangnya untuk kanak-kanak dan populasi lain yang terdedah. Tetapi amalgam masih digunakan di Malaysia, malahan dalam kalangan kanak-kanak. Majlis Pergigian Malaysia juga telah menyatakan sokongan terhadap pengurangan penggunaan tampalan amalgam pergigian secara berfasa seperti yang dinyatakan di dalam Position Statement on the Use of Dental Amalgam 2020.
Kerajaan Malaysia telah memaklumkan kepada CAP bahawa pihak kerajaan telah memutuskan untuk terus menyokong pengurangan penggunaan tampalan amalgam seperti yang terkandung di dalam Annex A, Konvensyen Minamata, tetapi tidak menetapkan sasaran masa buat masa ini.
Kini di COP4, rantau Afrika[i] mencadangkan pindaan kepada Konvensyen Minamata yang secara amnya akan menghentikan penggunaan amalgam secara berperingkat dalam empat langkah, manakala Kesatuan Eropah[ii] mencadangkan pindaan untuk menamatkan penggunaan amalgam pada kanak-kanak, wanita hamil dan ibu yang menyusukan (selaras dengan peraturan EU semasa). Sebagai persediaan untuk perbincangan mengenai amalgam pergigian pada bahagian kedua COP4, Sekretariat Konvensyen Minamata dan WHO telah menerbitkan dokumen mengenai isu tersebut.
Berdasarkan input daripada Pihak dan pihak berkepentingan lain, Sekretariat Minamata telah menyediakan nota dengan maklumat terkini tentang alternatif bebas merkuri untuk amalgam pergigian. Ia menyatakan bahawa tampalan gigi tanpa merkuri “mempunyai sifat mekanikal yang memuaskan dan memerlukan penyediaan rongga yang kurang daripada komposit,” “sudah digunakan secara meluas,” dan “perbezaan harga dalam memulihkan gigi dengan alternatif adalah agak kecil.”[iii]
WHO, bagi pihaknya, membentangkan Report of the Informal Global WHO Consultation with Policymakers in Dental Public Health (2021), yang menyimpulkan bahawa “Hasil perundingan dengan pembuat dasar dalam kesihatan awam pergigian menyerlahkan bahawa fasa menurun dan juga fasa-keluar daripada penggunaan amalgam pergigian boleh dicapai, terutamanya kerana alternatif bebas merkuri yang berkesan, kos efektif dan mudah digunakan semakin tersedia.”[iv]
Dalam tinjauan oleh WHO, 14% negara melaporkan bahawa mereka telah menghentikan penggunaan amalgam pergigian secara berperingkat, dan di rantau Eropah dan Amerika, sebanyak dua pertiga negara sama ada telah menghentikan penggunaan amalgam pergigian secara berperingkat atau dijangka akan melakukannya menjelang 2025. Dalam persediaan untuk penghapusan amalgam secara am, WHO menambah simen ionomer kaca, alternatif bebas merkuri kepada amalgam, ke Senarai Ubat Penting pada bulan Oktober.
“Kami menggesa semua pihak untuk mempertimbangkan maklumat baharu ini yang mengesahkan bahawa alternatif bebas merkuri kepada amalgam adalah berkesan, tersedia dan berpatutan,” nasihat Dr. Graeme Munro-Hall, Ketua Pegawai Pergigian Perikatan Dunia untuk Pergigian Bebas Merkuri, sebuah gabungan lebih daripada 50 organisasi dari semua wilayah berusaha untuk menamatkan penggunaan amalgam. Dr. Munro-Hall menambah, “Kita perlu mengikuti sains dan fasa keluar amalgam.”
Presiden Pusat Kesihatan Persekitaran Afrika, Dominique Bally berkata, “Menghentikan penggunaan amalgam secara berperingkat adalah penting terutamanya bagi negara membangun di mana kita tidak mempunyai infrastruktur untuk mengumpul, mengangkut dan menyimpan sisa merkuri daripada amalgam. Sumber yang ada akan digunakan dengan paling cekap dan menjimatkan kos jika kami beralih kepada alternatif bebas merkuri.”
Siddika Sultana, Pengarah Pusat Kesihatan Persekitaran Asia berkata, “Penggunaan tampalan gigi tanpa merkuri adalah penting untuk kesihatan wanita dan kanak-kanak yang sangat terdedah kepada kesan neurotoksik merkuri daripada amalgam, sama ada ia ditanam dalam gigi mereka atau mencemarkan persekitaran mereka.” Siddika yang juga pengarah eksekutif Pertubuhan Pembangunan Alam Sekitar dan Sosial-ESDO, Bangladesh menambah, “Pihak-pihak harus tampil ke hadapan untuk membuat keputusan untuk menghapuskan merkuri daripada amalgam pergigian dan produk lain yang disenaraikan oleh konvensyen.”
Charles G. Brown, presiden World Alliance for Mercury-Free Dentistry mengumumkan, “The World Alliance for Mercury-Free Dentistry berharap dapat berinteraksi secara bersemuka dengan Pihak dan pihak berkepentingan lain pada COP 4.2 yang akan datang di Indonesia.”
“Dalam rancangan fasa penurunannya, kerajaan Malaysia harus utamakan menghentikan penggunaan amalgam pergigian untuk kanak-kanak di bawah umur 14 tahun, wanita hamil, wanita menyusu dan mereka yang mempunyai masalah buah pinggang dan imuniti kerana mereka paling terjejas dengan penggunaan amalgam. Malaysia harus membuka laluan kepada peralihan kepada pergigian bebas merkuri dengan cepat,” kata Mohideen Abdul Kader, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Sidang Media, 6 November 2021
Untuk maklumat lanjut, hubungi:
Sylvia Dove <sdove001@gmail.com>,
Shahriar Hossain <shahriar25@gmail.com>,
Charlie Brown <charlie@mercury-free.org>,
Mageswari Sangaralingam, CAP <magesling@gmail.com>
https://mercuryfreedentistry.net/
[i]http://www.mercuryconvention.org/Portals/11/documents/News/ES_Africa_Amendment_Proposal_April_2021.pdf
[ii]http://www.mercuryconvention.org/Portals/11/documents/News/ES_EU_Amendment_Proposal_April_2021.pdf
[iii]https://www.mercuryconvention.org/sites/default/files/documents/working_document/4_5_DentalAmalgam.English.pdf
[iv] WHO, Report of the Informal Global WHO Consultation with Policymakers in Dental Public Health (2021), https://www.mercuryconvention.org/sites/default/files/documents/information_document/4_INF26_DentalAmalgamWHO.English.pdf