Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berasa bimbang berhubung pengumuman yang dibuat pada 6 Disember oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengenai pemansuhan peraturan yuran konsultasi (rundingan) di semua fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang berdaftar dan berlesen.
Dengan hasrat kerajaan untuk memansuhkan kawalan ke atas yuran konsultasi di bawah Jadual ke Tujuh dan Tiga Belas bagi Fasiliti dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta dan Klinik Pergigian Swasta) Peraturan 2006, CAP menganggap ia sebagai satu langkah yang wajar jika itu bermakna doktor umur (GP), doktor gigi dan pakar perubatan mengubahsuai yuran profesional mereka ke kadar yang munasabah, terutama bagi GP memandangkan kadar yuran konsultasi dikekalkan pada paras 1992 dan ia tidak pernah diubah suai sejak 27 tahun lalu. Ini seringkali dijadikan alasan untuk menaikkan harga ubat yang dipreskripsi dan dijual di klinik swasta, kadangkala secara semberono dengan tujuan untuk memastikan perniagaan swasta berdaya maju. Sekadar mengambil kira inflasi sejak 1992, kadar dalam jadual yuran perlu diubah suai dengan teratur dan adil menghampiri kenaikan 100%, mengikut congakan CAP.Namun begitu, sementara pemansuhan yuran menjaga kebajikan ekonomi pengamal perubatan, CAP berasa bimbang dasar itu akan turut membawa kesan negatif terutama apabila perkhidmatan dan produk penjagaan kesihatan bukan merupakan produk biasa pengguna.
Maklumat tidak selaras antara pengamal penjagaan kesihatan dan pesakit seringkali teruk; biasanya doktor (penjual perkhidmatan) dan kedudukan yang dominan atau pihak berkuasa yang menyarankan rawatan atau diagnosis yang selanjutnya, yang secara tidak langsung mengarahkan “apa yang akan dijual” kepada pesakit. Sekadar mempamerkan yuran bukan bermakna pengguna berkuasa atau pesakit diberikan lebih banyak pilihan. Selain yuran konsultasi paling asas, yuran rawatan mungkin besar perbezaannya (ini lebih-lebih lagi di hospital swasta), dan seringkali pesakit tidak mengetahui apa yang boleh diharap selepas rundingan pertama.
CAP menggesa kerajaan supaya tidak memansuhkan jadual yuran prosedur dengan begitu cepat, dan sebaliknya memantau dan mengkaji terlebih dahulu kesannya.
CAP juga berasa bimbang bahawa GP atau fasiliti rangkaiannya terbabit dalam kartel atau amalan anti-persaingan yang secara tidak langsung akan mengakibatkan perbelanjaan yang mendatangkan kerugian bagi rawatan penjagaan kesihatan.
Sebelum dilakukan pengubahsuaian dan pemansuhan peraturan yuran tersebut, Malaysia sudah pun berada dalam kalangan negara dengan kadar inflasi perubatan tertinggi di rantau ini. Malah menurut laporan Kadar Trend Perubatan Global 2020 Aon, Malaysia berdepan dengan kadar inflasi perubatan sebanyak 14.0% menjelang tahun 2020, dan diramal ia melebihi lima kali ganda kadar inflasi umum. Sehubungan itu, CAP kekal berwaspada terhadap cadangan dasar baharu untuk memansuhkan yuran perubatan, menggesa kerajaan memantau yuran perubatan swasta dengan teliti dan melakukan campur tangan di mana perlu jika ia meninggalkan impak negatif kepada kebajikan orang awam, menyusutkan dan bukannya menegakkan hak pengguna.
Jika dasar yang dicadangkan itu diteruskan, pengamal penjagaan kesihatan swasta dan hospital tidak seharusnya membantah dasar rasional kerajaan bagi peraturan harga ubatan di samping mengasingkan dispensari farmasi daripada konsultasi/prekripsi doktor.
Kenyataan Media, 16 Disember 2019