Gesaan Supaya Dihentikan Cadangan Perlombongan Terbuka Bijih Mangan di Gua Musang, Kelantan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dengan tegas membantah cadangan perlombongan terbuka bijih mangan di Aring 6, Mukim Relai, Gua Musang yang akan merosakkan kawasan seluas 500 ekar dan menyebabkan pencemaran air yang serius, memusnahkan habitat hidupan liar, serta alam semula jadi yang seharusnya dilindungi dan dipulihara.

Kami amat bimbang perlombongan terbuka/jalur yang dicadangkan untuk projek ini oleh Nadi KW Sdn. Bhd., seperti yang tertera dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) cadangan projek yang kini sedang dipamerkan untuk ulasan awam.

Walaupun sudah diketahui perlombongan terbuka/jalur di luar negara menunjukkan kerosakan yang ketara terhadap alam sekitar, kami amat terkejut apabila cadangan itu sedang dipertimbangkan.

Memburukkan lagi keadaan, laporan EIA mendedahkan projek itu sudah pun membersihkan 117.32 hektar (57%) tanah dan kerja dimulakan (dengan 80% daripada peringkat praoperasi telah siap) sebelum penyerahan EIA. Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling Seksyen 34(A)(6).

Bagaimana syarikat dibenarkan untuk memulakan kerja sebelum EIA diluluskan adalah sesuatu yang misteri dan memerlukan penjelasan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kami amat bimbang proses EIA ini sekadar menjadi persetujuan bagi operasi perlombongan dan pengesahan kerja haram yang telah dilaksanakan.

Berdasarkan penelitian SAM terhadap laporan EIA, kami ingin mendedahkan tiga lagi kebimbangan serius yang utama mengenai projek yang dicadangkan.

Berdasarkan maklumat yang disediakan, terbukti bahawa operasi perlombongan yang dicadangkan akan menjejaskan ekosistem ke suatu keadaan yang tidak dapat dipulihkan berikutan kemusnahan alam sekitar.

Hasil pemodelan air menunjukkan kebimbangan serius mengenai pencemaran air, walaupun dengan langkah mitigasi yang dicadangkan. Banyak parameter, terutama sekali logam berat akan melebihi paras asal (baseline) dan diklasifikasikan sebagai kelas V, paras paling tercemar apabila operasi perlombongan bermula. Ini amat serius terutamanya kerana Loji Rawatan Air Lebir terletak hanya 1km  hilir sungai daripada tapak projek. Lanjutan daripada ini, kejadian banjir baru-baru ini di kawasan hilir Sungai Kelantan meningkatkan lagi kebimbangan mengenai isu pencemaran air. Sementara projek yang dicadangkan mungkin tidak terjejas oleh banjir, projek itu berpotensi meningkatkan kekerapan berlakunya kejadian banjir kilat di kawasan hilir sungai, sepertimana yang disahkan oleh EIA. Saliran asid dari lombong yang dihasilkan daripada industri lombong juga menjadi satu lagi kebimbangan yang serius.

Sepertimana yang disahkan di dalam EIA, “Tapak projek adalah habitat hidupan liar, dan cadangan melombong adalah pencerobohan kepada habitat semula jadi hidupan liar.” Kawasan kajian menjadi kediaman hidupan liar seperti Gajah Asia, Clouded Leopard, Small Clawed Otters, Dusky Langur, Beruang Matahari dan Tapir, di mana kebanyakan haiwan ini dikategorikan sebagai hampir terancam, terjejas dan haiwan liar terancam di bawah Buku Data Merah 2020 Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN). Di samping itu, kebanyakan spesies burung yang direkodkan dalam kawasan kajian dilindungi sepenuhnya atau dilindungi oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Seterusnya, ia juga memburukkan lagi konflik manusia-hidupan liar memandangkan sudah pun terdapat rekod aduan konflik manusia-hidupan liar dalam lingkungan 5 km sekitar projek. Idea seluruh projek untuk mewujudkan tapak perlombongan di lokasi kawasan sensitif alam sekitar tahap 3 boleh membawa kepada kesan buruk terhadap ekosistem di sini.

Tambahan pula, daripada perspektif sosio-ekonomi, laporan EIA mendedahkan bahawa 53% responden tidak bersetuju dengan cadangan projek.

Memburukkan lagi keadaan, cadangan tapak juga menjadi sebahagian daripada wilayah komuniti penduduk asal yang tinggal berhampiran tapak projek. Dengan kampung orang asli berdekatan, kawasan ini menjadi sumber kehidupan dan bekalan air bersih. Sehubungan dengan ini tidak seharusnya dikeluarkan sebarang lesen kepada syarikat yang boleh mengganggu hak adat penduduk asal di kawasan tersebut.

Berdasarkan kepada perkara di atas, SAM menggesa tindakan berikut:

  1. Kami menggesa Jabatan Alam Sekitar tidak meluluskan laporan EIA dan menolaknya.
  2. Penggerak projek perlu diarahkan supaya memulihkan semula kawasan yang telah dibersihkan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang memulakan projek sebelum memperoleh kelulusan.
  3. Kerajaan negeri Kelantan perlu mengambil tahu isu sosial dan alam sekitar yang berlaku akibat projek perlombongan terbuka di seluruh dunia dan daripada pengalaman tempatan sebelum ini. Kami menggesa kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia untuk tidak membenarkan operasi perlombongan ini diteruskan.

Kami juga ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa pemberitahuan dan ringkasan eksekutif laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) projek yang dicadangkan ini sedang dipamerkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Laporan penuh EIA projek yang dicadangkan boleh diakses dalam talian dan tempoh tamat bagi penyerahan maklum balas awam ialah pada 15 Jun 2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://bit.ly/2SiMrAQ.

 

Kenyataan Akhbar, 10 Jun 2021