Tema bagi Green Action Week (GAW) 2021 adalah “Komuniti Berkongsi”. Tahun ini 26 Kempen GAW dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan dari 22 negara merentasi empat wilayah bagi mempromosikan kepentingan perkongsian dan kerjasama dalam kalangan komuniti tempatan untuk mengurangkan penggunaan tidak mampan di seluruh dunia.
GAW adalah kempen global untuk mempromosikan penggunaan mampan di seluruh dunia melalui peningkatan kesedaran, latihan dan aktiviti pendidikan. GAW merupakan inisiatif oleh Swedish Society for Nature Conservation (SSNC), bermula di Sweden pada 1990 dan berkembang menjadi perkongsian antarabangsa sejak tahun 2010 yang dijalankan dengan penyelarasan bersama Consumers International (CI). Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merupakan ahli CI.
Kempen GAW oleh CAP pada tahun ini telah bermula dengan acara dalam talian pada 2 Oktober 2021 di mana beberapa wanita berkongsi usaha kebun bandar mereka, golongan belia berkongsi panduan mengenai bagaimana membuat minuman herba dan seorang remaja berkongsi kaedah membuat tauge kacang dan pasu bunga daripada tempurung kelapa. CAP juga telah mempromosi penyimpanan dan perkongsian biji-benih, serta berkongsi pengetahuan mengenai kaedah penyediaan benih berdasarkan kepada buku panduan bergambar mengenai penyimpanan benih terbitan CAP.
CAP pada masa kini sedang menjalankan beberapa siri temu bual dengan penghuni bandar yang berjaya menggabungkan nasihat dan panduan berkebun oleh CAP dalam penanaman mereka. Orang lain boleh mempelajari daripada pengalaman yang dikongsi oleh mereka mengenai bagaimana menanam tanaman meningkatkan kesejahteraan mereka dalam kehidupan seharian, membina hubungan komuniti, dan harmoni dengan bumi.
Hari ini kita akan berkongsi anak pokok herba dan biji-benih dan juga menunjukkan cara mudah untuk merangkumi herba dalam kehidupan seharian anda. Satu sesi dalam talian dengan tema “Dari Kebun ke Pinggan” akan dijalankan pada esok pagi untuk mencapai lebih ramai pengguna.
GAW kini di tahun ke empat dengan fokus ‘Komuniti Berkongsi’. Budaya berkongsi merupakan sebahagian daripada tradisi kita yang secara perlahan semakin terhakis akibat peningkatan individualisme, materialisme dan penggunaan yang ketara. Kita mestilah menghidupkan semula tradisi perkongsian ini, menjalin silaturahim dalam kalangan komuniti tempatan dan menggalakkan penggunaan bersama.
Salah satu pemikiran dalam pandangan kolektif Global Green Action Week 2020 ialah “pandemik Covid19 telah membuktikan bahawa komuniti berkongsi tidak boleh ditangguhkan bagi mengutamakan maklum balas krisis – ia adalah sebahagian daripada maklum balas yang perlu kepada krisis.” Di Malaysia dan di seluruh dunia, kita dapat melihat bagaimana individu, keluarga dan pertubuhan telah bersama-sama berganding bahu untuk membantu mereka yang memerlukan. Mereka berkongsi makanan, keperluan asas, atau menyumbangkan wang untuk tujuan tersebut.
Tidak kira sekecil mana anda berkongsi, ia membawa kebahagiaan kepada anda dan pihak yang kita berkongsi dengan. Berkongsi dan tabiat memberi seharusnya menjadi sifat semula jadi kepada kita. Marilah kita menyalakan kembali budaya berkongsi dan membina masa depan mampan untuk semua.
8 Oktober 2021