Kami menggesa ahli Parlimen untuk meluluskan Rang Undang-undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (GEG) 2023 tanpa berlengah lagi dan menggubalnya sebagai undang-undang untuk menghalang wabak vape yang melibatkan kanak-kanak sekolah berumur 13 hingga 17 tahun.
Tidak perlu rang undang-undang itu dihantar ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, seperti mana yang diduga, kerana ia telah melalui proses itu semasa Parlimen ke-14 sebelum ini dan cukup diteliti dan dibahaskan di sana. Rang undang-undang semasa ini adalah produk akhir yang menggabungkan cadangan jawatankuasa. Kami menggesa ahli Parlimen untuk bertanggungjawab dengan meletakkan kesihatan generasi muda kita mengatasi keuntungan kartel tembakau dan cukai bagi kerajaan.
Telah dilaporkan di dalam media bahawa beberapa ahli Parlimen menentang rang undang-undang itu. Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan, sementara mengakui merokok berbahaya kepada kesihatan, membantah rang undang-undang itu dengan alasan “ia akan menghilangkan hak rakyat untuk memilih”.
Bantahannya adalah berdasarkan kepada logik yang serong dan salah faham besar mengenai hak untuk memilih, yang tidak mutlak. Mengikut logiknya orang ramai perlu diberikan hak untuk memilih sama ada untuk menggunakan dadah kokain, heroin, ganja, amfetamin atau tidak. Beliau mesti faham bahawa sekatan ke atas hak individu ditentukan oleh kesihatan, keselamatan dan kebimbangan moral. Jika merokok adalah berbahaya, seperti yang beliau akui, mengapa beliau menentang undang-undang yang dicadangkan yang akan dalam satu tempoh dapat menghapuskan bahaya?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) “tembakau adalah satu-satunya produk pengguna sah yang membunuh sehingga separuh daripada penggunanya apabila digunakan tepat seperti yang dimaksudkan oleh pengilang”.
Pada minggu lepas, Ketua pengarah WHO menafikan dakwaan industri tembakau bahawa rokok elektronik dan vape adalah sebahagian daripada pengurangan bahaya dan memberi amaran bahawa ia sebenarnya satu perangkap. Beliau berkata: “…kanak-kanak direkrut pada usia seawal 10, 11, 12 tahun untuk menghisap vape dan e-rokok kerana mereka fikir ia bagus, kerana ia datang dalam warna yang berbeza, rasa yang berbeza, dan sebagainya. Kemudian, mereka ketagih seumur hidup. Tetapi e-rokok dan vape itu sendiri juga berbahaya.”
Ramanan berkata, kerajaan boleh kehilangan sebahagian besar hasil cukai daripada jualan rokok. Mana yang lebih penting: kesihatan rakyat dan menyelamatkan nyawa atau hasil cukai kerajaan?
Dalam apa jua keadaan, perbelanjaan kerajaan untuk merawat penyakit berkaitan tembakau dan vape jauh melebihi cukai yang dikutip daripada produk tembakau. Kerajaan mungkin memperoleh RM939 juta hasil cukai pada 2023. Bagaimanapun, dianggarkan bahawa Malaysia akan menelan belanja RM3 bilion setahun untuk merawat hanya tiga daripada penyakit utama berkaitan merokok. Ia akan menyebabkan pesakit yang mengalami kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape (EVALI) lebih daripada RM150,000 untuk hanya 12 hari rawatan di hospital. Ia jelas satu kes yang cermat menyimpan atau mengurus perbelanjaan kecil tetapi tidak menghiraukan kerugian atau perbelanjaan yang besar.
Kami berharap ahli Parlimen kita tidak akan tunduk kepada tekanan kuat daripada lobi industri tembakau dan menggubal undang-undang bersejarah GEG semasa sidang Parlimen semasa.
Mohideen Abduk Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Siaran Akhbar, 10 Jun 2023