Sungai kita semakin menuju ke arah kematian akibat aktiviti manusia. Sepuluh hari yang lepas gangguan bekalan air kepada 463 kawasan di Selangor akibat pencemaran Sungai Semenyih. Terputus bekalan air telah menjadi satu endemik di Selangor walaupun berjuta ringgit dibelanjakan untuk laporan oleh pakar dalam menambah baik sumber air dan pengurusan serta tadbir urus dalam perkhidmatan penyampaian air.
Kerajaan perlu untuk melaksanakan saranan yang dibuat dalam laporan itu untuk menguatkan lagi rangka kerja institusi dan undang-undang, dan penguatkuasaan undang-undang, berkaitan sungai dan badan air. Parlimen mestilah, tanpa berlengah lagi, menggubal undang-undang Persekutuan untuk penggunaan, pemuliharaan dan perlindungan sumber air.
Satu kajian baru-baru ini mengenai keadaan sungai di Pulau Pinang dan Selangor mendedahkan betapa perlunya tindakan berkesan untuk memulihara integriti sungai kita. Ia mendedahkan bahawa pengurangan aktiviti manusia semasa tempoh pandemik Covid-19 telah membawa kepada peningkatan dalam kualiti air sungai. Ia merumuskan bahawa “kualiti air daripada semua saluran air di Malaysia hanya boleh ditingkatkan tanpa berbelanja besar dengan mengurangkan pencemaran daripada semua penduduk”.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini sahaja, terdapat beberapa kes pencemaran sungai yang serius menyebabkan kesukaran dan kesusahan kepada sebilangan besar pengguna. Pada 2019, wasap beracun daripada Sungai Kim Kim yang tercemar di Pasir Gudang, Johor menjejaskan 6,000 orang dengan 2,775 orang terpaksa dimasukkan ke hospital. Kebanyakan daripada mereka adalah kanak-kanak sekolah, dan 110 sekolah terpaksa ditutup sementara.
Setahun kemudian, pada September 2020, lebih sejuta pengguna mengalami gangguan bekalan air akibat daripada pembuangan sisa secara haram di Sungai Kelang. Sebulan kemudian masalah itu berulang lagi. Amat memalukan apabila melihat orang ramai beratur dengan baldi untuk mengambil air daripada lori tangki air di ibu kota negara yang telah mencapai status negara maju 2020. Semua perkara ini menunjukkan kelemahan yang serius dalam tadbir urus sumber air – struktur pentadbiran, rejim dasar, dan rangka kerja perundangan – amat perlu untuk mengurus air sebagai satu sumber.
Laporan Tadbir Urus Sumber Air
Laporan kajian 2011 mengenai sumber air dan pengurusan sumber air kita mendapati undang-undang kita sudah ketinggalan zaman. Pendekatan secara sektor terhadap sumber air telah menghasilkan tanggungjawab yang berpecah antara kementerian/pihak berkuasa awam yang berbeza mengakibatkan pertindihan, pembaziran dan penggunaan sistem yang tidak sesuai dengan hasil yang tidak mencukupi.
Laporan itu menyatakan bahawa apa yang diperlukan ialah pelaksanaan yang berkesan rangka kerja Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM). IWRM mempromosikan pembangunan yang diselaraskan dan holistik dan pengurusan air, tanah, hutan dan sumber lain. Tujuannya adalah untuk memaksimumkan ekonomi dan kebajikan sosial secara adil tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem penting.
Majlis Sumber Air Negara (NWRC) ditubuhkan pada 1998 untuk menasihati kerajaan mengenai perkara berkaitan dengan tadbir urus air. Rancangan Malaysia Ke Sembilan (2006 – 2010) menerima pakai IWRM sebagai alat dasar. Pengurusan sumber air dan pengurusan perkhidmatran penyampaian air dipisahkan dan ditempatkan di bawah kementerian yang berbeza. Terdapat undang-undang Persekutuan bagi penyampaian perkhidmatan air yang dapat digunakan kepada semua negeri tetapi tiada undang-undang yang sama yang digubal untuk penggunaan, pemuliharaan dan perlindungan.
Laporan itu menyarankan penggubalan undang-undang sumber air negara untuk menyokong penggunaan mampan dan pemuliharaan sumber air melalui pengenalan prinsip, metodologi dan amalan IWRM. Ia mempromosikan keseragaman undang-undang dan dasar dalam pengurusan sumber air di seluruh negara. Sepuluh tahun kemudian, kita masih menunggu Parlimen menggubal undang-undang itu. Dalam masa yang sama, sungai kita terus diracuni, hidupan akuatik musnah, keseimbangan ekologi retak, dan bekalan air kepada berjuta pengguna terganggu.
Undang-undang yang dicadangkan akan memberikan status perundangan kepada NWRC dengan keahlian, peranan, kuasa dan fungsi dinyatakan dengan jelas. Ia adalah badan tertinggi bagi pertimbangan dan menerima pakai NWRP, memantau pelaksanaan dan melakuan kajian berkala.
Peranannya adalah untuk menyediakan ruang bagi perundingan dan penyelarasan dalam kalangan pemagang taruh, khususnya antara kerajaan Persekutuan dan Negeri. Ia akan diberikan kuasa untuk mempertimbangkan, menerima pakai dan membuat saranan mengenai dasar, pelan dan program (PPP) negara, dan memberikan arahan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan badan berkaitan lain berhubung perkara berkaitan dengan IWRM. Keputusan Majlis sepatutnya dilaksanakan oleh semua pemegang taruh.
Undang-undang juga akan menyediakan bagi penubuhan Jabatan Sumber Air Negara untuk menyediakan nasihat dan sokongan kepada NWRC. Peranan utamanya ialah untuk merumuskan, membantu, menyelaras dan memastikan pelaksanaan NWRP, merangka dan melaksanakan PPP untuk negara; dan menyokong Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dalam merumuskan dan pelaksanaan dasar sumber air negara. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada masa kini akan memikul peranan dan fungsi jabatan dengan perubahan nama dan peningkatan bidang kuasa.
Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) adalah bahagian penting IWRM untuk menyelaraskan pemuliharaan, pengurusan dan pembangunan air, tanah dan sumber berkaitan melintasi sektor dalam suatu lembangan sungai yang diberikan. Tujuannya adalah untuk memaksimumkan manfaat ekonomi dan sosial daripada sumber air secara adil serta memulihkan dan memulihara ekosistem.
Sungai kita semakin merosot dengan serius dan oleh sebab itu, seharusnya terdapat perancangan strategik yang menjangkau lebih 20 tahun dengan sasaran yang dinyatakan untuk memulihkannya. Satu siri rancangan lima tahun untuk lembangan sungai seharusnya dirangka dan dilaksanakan dengan input masyarakat sivil. Mereka akan menetapkan tugas dan sasaran untuk dicapai, dalam tempoh perancangan, oleh pemegang taruh yang berbeza.
Kemajuannya sepatutnya dipantau dan laporan tahunan diserahkan kepada badan bebas dengan kuasa untuk memastikan pemulihan dan pemuliharaan lembangan sungai terus dicapai.
Selari dengan pembaharuan institusi dan undang-undang, mestilah terdapat penguatkuasaan undang-undang yang berkesan terhadap pencemar. Pegawai penguatkuasa undang-undang mestilah menjalani latihan yang sempurna dan dibekalkan dengan peralatan terbaharu untuk menyiasat dan mendakwa pencemar. Ia mestilah juga tidak terdapat campurtangan oleh ahli politik dalam pendakwaan pesalah. Perlindungan institusi mestilah diutamakan untuk mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Terdapat kes kilang tidak berlesen yang mencemarkan sungai selama bertahun tanpa tindakan diambil sehingga terdapat protes orang ramai selepas terputus bekalan air. Insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku. Itulah sebabnya kita memerlukan badan bebas dengan perwakilan masyarakat sivil untuk memantau dan mengawasi prestasi agensi dan jabatan yang bertanggungjawab bagi pengurusan sumber air.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya:
- Parlimen menggubal undang-undang Persekutuan untuk pemulihan, perlindungan dan pemuliharaan sumber air di negara ini.
- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan pelan IRBM dengan kerjasama kerajaan negeri.
- Kerajaan Persekutuan menambah baik kapasiti penguatkuasaan undang-undang agensi bertanggungjawab bagi pengurusan dan perlindungan sumber air.
- Kerajaan Negeri menghentikan pengeluaran lesen bagi pembalakan di hutan simpan, mengambil tindakan tegas terhadap pembalakan haram, dan menanam semula kawasan hutan yang ditebang.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya melancarkan siasatan terhadap kes pembuangan sisa ke dalam sungai dan pembalakan haram serta mendakwa mereka yang terlibat dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Kenyataan Akhbar / Surat Kepada Pengarang, 16 September 2021