Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan Kempen Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 oleh kerajaan sebagai langkah untuk menghijaukan negara ini tetapi ia perlu memastikan bahawa usaha ini tidak diberikan kepada mana-mana syarikat swasta dalam mengendalikannya.
Kempen ini seharusnya mengupayakan orang ramai untuk terlibat dalam menanam pokok di bawah penyeliaan Jabatan Perhutanan. Dengan cara ini banyak wang boleh dijimatkan di samping mencapai objektif kempen.
Menghijaukan negara dengan usaha penanaman pokok sahaja tidak cukup jika penebangan hutan dibenarkan untuk diteruskan berlanjutan. Kempen ini akan hanya dilihat semata-mata untuk menutup keburukan bagi Malaysia yang memperoleh pengiktirafan “mempunyai kadar kehilangan hutan tertinggi” antara 10 negara di seluruh dunia yang mengurangkan liputan hutan mereka.
Kajian oleh Universiti Maryland mendapati bahawa kira-kira 230 juta hektar hutan hilang antara 2000 dan 2012. Penebangan hutan penyebab berkurangnya biodiversiti, pelepasan gas rumah hijau, gangguan kitaran air, dan meningkatnya hakisan tanah.
Kempen ini seharusnya menerima pakai pendekatan serampang dua mata – meningkatkan penanaman pokok daripada spesies yang betul sementara dengan serentak mencegah penebangan hutan – jika tidak akan sia-sia sahaja. Langkah itu akan membantu orang ramai mempelajari untuk menghargai dan mengambil pemilikan pokok dalam komuniti.
Untuk menangani punca utama penebangan hutan, kerajaan mestilah memastikan negeri masing-masing bertanggungjawab bagi sebarang aktiviti penebangan hutan – sah atau haram – yang dijalankan. Ia akan menggagalkan objektif penanaman pokok jika negeri dibenarkan untuk menyahwartakan hutan simpan dan atau membenarkan pokok ditebang dengan pemantauan yang sedikit.
Pada masa ini di bawah Akta Perhutanan Negara, sebarang hasil daripada Kawasan Hutan Kekal atau tanah Negeri lain dianggap harta Negeri tetapi hasil mungkin hanya boleh dikeluarkan dengan lesen yang betul. Oleh itu, ia berada di bawah bidang kuasa Negeri dan satu cara bagi kerajaan Persekutuan untuk mengawal penebangan hutan ialah dengan menetapkan syarat mengenai bantuan Persekutuan kepada Negeri berkenaan.
Undang-undang berkaitan perhutanan dan alam sekitar mestilah diperketatkan. Ia mestilah memastikan terdapat semak dan imbang untuk mencegah penyalahgunaan kuasa kerana kerajaan – Persekutuan atau Negeri – hanyalah penjaga aset tanah. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Kenyataan Akhbar, 4 September 2021