CAP: Samsu, Racun Sosial

Samsu adalah arak murah yang memabukkan, diminum secara meluas oleh golongan muda. Tinjauan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang menunjukkan ia biasanya diminum oleh pekerja estet dan penduduk kampung yang kini menjadi minuman bergaya dalam kalangan penduduk bandar. Ia diminum oleh golongan belia semua bangsa dan pekerja asing.

Adalah menjadi satu amalan biasa bagi golongan muda untuk mencampurkan samsu dengan kola atau minuman berkarbonat atau dituang ke dalam beg plastik bersama kiub ais dan diminum dengan straw.

Kandungan alkohol dalam arak murah ini amat membimbangkan kerana ia mengandungi 17% hingga 48%. Penyakit yang dikaitkan dengan alkohol termasuklah kanser, gangguan hati, sirosis hati dan penyakit jantung, akibat kandungan alkohol yang tinggi, kesihatan golongan miskin yang ramai musnah. Pengeluar samsu sering membuat banyak dakwaan kesihatan yang mengelirukan. Satu jenama menyarankan untuk anemia, hilang selera makan, ketidakhadaman dan “dianggap mempunyai nilai penyembuhan.”

 

Kanak-kanak semuda usia 12 tahun didapati mengambil samsu dan tinjauan kami menunjukkan mereka yang tercicir daripada sekolah terutamanya menjadi sasaran mudah bagi arak murah ini.

Terdapat lebih beratus jenama samsu yang boleh diperolehi di pasaran. Arak memabukkan ini menjadi terkenal disebabkan harganya yang murah dan mudah diperolehi. Membeli samsu semudah membeli gula-gula atau kandi di kedai runcit. Sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak boleh membelinya tanpa sebarang halangan.

Harga bagi sebotol samsu 150ml berbeza-beza daripada RM3.00 hingga RM5.00, oleh itu ia mampu dibeli oleh kanak-kanak.

Mereka yang sering meminumnya juga dengan mudah boleh membelinya secara berhutang.

Di bawah Seksyen 32(1) dan 33(1) Akta Eksais 1976, tiada seorang pun boleh menjual (sama ada secara borong atau runcit) arak yang memabukkan untuk kegunaan dalam premis atau di luar tanpa lesen. Lesen yang dikeluarkan mestilah menyatakan dengan khusus tempat di mana jualan dibenarkan. Sebarang jualan tanpa lesen merupakan satu kesalahan di bawah akta itu.

Lesen juga diperlukan bagi penjualan samsu. Bagaimanapun disebabkan permintaannya yang tinggi maka sesetengah kedai tidak mengendahkan untuk memohon lesen untuk menjual minuman yang boleh membunuh ini.

Di masa lalu, CAP telah membuat beberapa laporan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais mengenai penjualan samsu haram. Bagaimanapun, sehingga ke hari ini penjualan samsu haram masih berlaku. Terdapat peningkatan bilangan pengedar tidak berlesen yang terlibat dalam penjualan samsu.

Ketagihan samsu telah membawa kerosakan kepada keluarga dan komuniti. Bukan hanya peminum yang terjejas tetapi wanita dan kanak-kanak juga turut mengalami kesan yang merumitkan berkaitan tabiat pengambilan arak oleh suami dan ayah mereka.

Perbelanjaan bulanan untuk samsu mengambil sebahagian besar pendapatan keluarga. Seseorang yang baharu terlibat dengan samsu mungkin membelanjakan kira-kira RM90 sebulan untuk arak. Apabila menjadi ketagih dan mula meminum lebih banyak mereka mungkin berakhir dengan membelanjakan sehingga RM300 sebulan untuknya.

Pekerja tempatan dan asing membelanjakannya sebanyak itu. Pekerja asing juga minum hingga mabuk bagi menghilangkan keletihan dan waktu kerja mereka yang panjang (sehingga 18 jam).

Berdasarkan purata pendapatan bulanan RM600, ini bermakna lebih daripada separuh daripada pendapatan dihabiskan dengan samsu. Ini biasanya dengan mengorbankan perbelanjaan keperluan yang lebih diperlukan seperti makanan dan pakaian.

Dalam satu tinjauan oleh CAP, seorang suri rumah berkata suaminya pernah mencuri wang dari rumah untuk membeli samsu. “Pernah dia mencuri dua ekor ayam untuk membeli minuman syaitan ini,” katanya.

Dengan kenaikan harga makanan dan produk isirumah semas, tabiat minum ini akan menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan boleh membawa kepada keganasan, penderaan kanak-kanak, kemalangan jalan raya, membunuh diri, perceraian dan pembunuhan. Malah pekerja asing menghantar sedikit atau tiada wang untuk keluarga mereka kerana mereka tidak lagi mampu untuk berbuat demikian.

Langkah segera yang lebih positif perlu diambil dalam usaha untuk menghentikan masalah penjualan samsu yang semakin berkembang dan ketagihan dalam usaha untuk melindungi masyarakat kita daripada penyakit sosial dan bahaya kesihatan yang serius daripada samsu.

Akta Eksais 1976 perlu dikuatkuasakan untuk mencegah penjualan haram samsu. Pengedar samsu tidak berlesen dan arak lain mestilah diambil tindakan dan dikenakan hukuman penjara mandatori.

Sementara itu, harga arak yang memabukkan ini perlu berdasarkan kepada kandungan alkohol; jika kandungan alkoholnya tinggi harganya mestilah mahal kerana ini boleh mencegah daripada golongan belia memperolehinya dengan mudah.

Dengan apa yang berlaku, membentangkan tragedi sosial dan kerajaan amat perlahan dalam menangani masalah ini.

Kenyataan Akhbar , 21 September 2018