Haiwan peliharaan tidak meninggalkan pemiliknya

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang dengan peningkatan jumlah haiwan peliharaan yang terbiar di negara ini. Laporan media dan media sosial mendedahkan bahawa haiwan peliharaan terbiar semakin meningkat hari ini dan tempat perlindungan haiwan ini juga menggesa agar orang ramai tidak membuang haiwan peliharaan kerana keupayaan untuk menjaga haiwan terbiar ini semakin terhad. Dilaporkan pada awal Jun terdapat kira-kira 10,000 anjing liar di Pulau Pinang sahaja.

Walau apa pun alasan yang diberikan untuk mengabaikan haiwan peliharaan ini, haiwan inilah yang paling menderita. Mengetahui bahawa mereka melakukan sesuatu yang salah, orang ramai membuang haiwan peliharaan mereka secara rahsia apabila tiada sesiapa di sekelilingnya. Tanpa saksi, penjenayah melarikan diri dengan mengira bahawa mereka tidak akan dapat dikesan atau didakwa di atas jenayah mereka.

Bersama-sama dengan anjing dan kucing, anak kucing dan anak anjing sering dibuang di jalanan, di pasar, di tong sampah, kawasan terpencil, hartanah kosong, diikat di bangku taman atau di tempat perlindungan haiwan. Nasib haiwan peliharaan yang terbiar ini sangat tragis, hampir seperti hukuman mati bagi haiwan ini. Oleh kerana haiwan ini ditinggalkan dalam persekitaran yang tidak dikenali, haiwan yang ditinggalkan ini dibiarkan hidup sendiri di mana haiwan ini mungkin mati akibat kebuluran, kemalangan, penderaan oleh kanak-kanak jalanan dan keadaan cuaca yang melampau.

Tambahan pula, haiwan terbiar ini mendatangkan bahaya kepada lalu lintas kerana haiwan ini boleh melencong ke jalan raya yang sibuk dan berisiko dilanggar kereta. Haiwan ini juga menjadi gangguan semasa mencari makanan. Anjing dan anak anjing yang terbiar mungkin menyalak atau bergaduh dengan anjing lain, atau menggigit orang kerana haiwan yang ditinggalkan ini hidup dalam keadaan ketakutan dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Walaupun sesetengah haiwan peliharaan yang terbiar ini mungkin diambil oleh pusat perlindungan haiwan, pihak berkuasa, atau diambil oleh orang yang menemuinya, majoriti daripadanya mungkin tidak begitu bernasib baik. Pengabaian adalah satu pengalaman yang amat traumatik kerana menunggu pemiliknya kembali, keliru, mencari pemiliknya dan mungkin mengalami kecederaan.

Pembuangan kucing amat berleluasa di Malaysia. Kucing rumah yang dibuang tidak tahu bagaimana untuk hidup di jalanan dan menjadi keliru, hilang, kelaparan, dan ketakutan. Kerap kali kucing ini dilanggar kereta, jatuh dari tempat tinggi atau didera oleh anjing. Kejinakkannya menyebabkan ia tidak tahu bagaimana untuk mengelak lalu lintas, berteduh daripada hujan, atau mencari makanan. Haiwan ini juga berisiko ditendang oleh mereka yang cuba untuk menghalaunya. Kucing terbiar ini turut menyumbang kepada bertambahnya bilangan kucing terbiar.

Sementara CAP memuji langkah oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menguatkuasakan peraturan di bawah Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan (NAWSP) 2021-2030 yang mana salah satu daripadanya termasuklah pembuangan haiwan, ia masih untuk dilihat sama ada ini benar-benar boleh menggalakkan pemilikan yang lebih bertanggungjawab dan menghalang pengabaian haiwan peliharaan.

NAWSP perlu dijalankan seiring dengan langkah proaktif jangka panjang yang seharusnya termasuk memasang cip mikro dan pendaftaran anjing dan kucing, pensterilan mandatori dan bersubsidi, dan kesedaran orang ramai mengenai promosi pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab untuk mencegah pengabaian.

Selain itu, sekatan yang lebih ketat perlu dikenakan terhadap penternak belakang rumah dan pembiak anak anjing. Orang ramai membiakkan haiwan mereka dan menjualnya di media sosial untuk mendapatkan wang dengan cepat. Apabila haiwan ini tidak boleh dijual, sakit, atau terlalu tua untuk membiak, ia akan dibuang.

DVS dan NAWSP perlu menjalankan program pendidikan dan kesedaran melalui media sosial, dengan menghasilkan risalah dan brosur untuk diedarkan secara meluas ke perpustakaan, klinik doktor haiwan, dimasukkan ke dalam majalah haiwan, dan disediakan untuk kelab serta persatuan haiwan.

Di kebanyakan negara, pengabaian haiwan peliharaan adalah satu kesalahan yang melanggar undang-undang dan boleh dihukum kerana ia dilindungi di bawah akta kebajikan haiwan negara itu. Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil perhatian serius mengenai kebajikan haiwan dan mewujudkan undang-undang yang akan memenuhi janjinya: untuk melindungi haiwan kita.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 5 Oktober 2022