HALANGAN LALU LINTAS DI LITTLE INDIA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil tindakan ke atas kanopi yang menghalang jalan (terutamanya Lebuh China, Lebuh Pinang, Lebuh King dan Lebuh Pasar) di Little India.

Tinjauan CAP baru-baru ini mendapati pemasangan kanopi tertumpu di sepanjang bahagian Lebuh China, Lebuh Pinang, Lebuh King dan Lebuh Pasar.

CAP hairan bagaimana kanopi itu dibenarkan kerana saiz kanopi itu begitu besar menyebabkan ruang yang sempit bagi pejalan kaki yang terpaksa menyelit di antara kereta atau van yang melaluinya.

Seksyen 46 (4) Akta Bangunan, Perparitan dan Jalan 1974 membenarkan “halangan sementara ketika acara perayaan dan sebagainya,” di atas jalan, ia menyatakan secara khusus bahawa “tiada sesuatu yang menghalang pihak berkuasa tempatan daripada membenarkan sebarang pembinaan sementara di sebarang tempat awam atau penggunaan sementara mana-mana bahagian ketika perayaan dan upacara.”

Bagaimanapun, MBPP perlu mempertimbangkan fakta bahawa kanopi itu dipasang oleh kedai yang sudah pun mempunyai barangan di dalam premis mereka. Kenapa peniaga ini perlu menambahkan lagi kawasan pameran mereka sehingga ke jalan raya.

Dengan memasang kanopi ini, MBPP membenarkan kepentingan perniagaan untuk merampas hak pejalan kaki dan lalu lintas jalan raya di kawasan itu. Jalan di Little India amat sempit dan dengan kanopi di atas jalan menyebabkan aliran lalu lintas terbatas, dengan itu meningkatkan risiko kemalangan dan kes ragut, dan menghalang laluan Ambulan atau Bomba dalam kes berlakunya kecemasan.

Salah satu contoh ialah apabila rumah kedai di Lebuh King terbakar pada Ogos 2015. Nasib baik ia tidak berlaku pada Oktober tahun itu ketika Deepavali, jika tidak ia akan menjadi lebih sukar bagi pihak Bomba. Di samping itu, dilaporkan ia melibatkan 71 anggota bomba yang mengambil masa lebih satu jam untuk memadamkan kebakaran itu.

Berdasarkan usia bangunan di sekitar Little India, ia sebenarnya mudah terbakar dan jika berlaku kebakaran, bagaimana Bomba boleh melaluinya untuk ke tempat kebakaran atau pili bomba. Walaupun Seksyen 46 (4) Akta Bangunan, Perparitan dan Jalan 1974 membenarkan pembinaan sementara di tempat awam, tanggungjawab itu terletak sepenuhnya terhadap pihak berkuasa tempatan untuk menggunakan budi bicara mereka untuk membenarkan atau melarangnya.

Satu lagi perkara ialah dalam banyak kes, pejalan kaki terpaksa berjalan di atas jalan di sebabkan beberapa bahagian kaki lima terhalang oleh pameran barangan, perabot (kerusi dan meja bagi kedai makan), atau jerejak besi kekal.

Pemilik kedai itu perlu didakwa di bawah Seksyen 46 (1) Akta yang sama yang melarang halangan mana-mana tempat awam, termasuklah ‘laluan pejalan kaki dan laluan serambi di tepi jalan’ tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.

Walaupun sebahagian daripada Lebuh Pinang dan Lebuh Pasar telah ditukar kepada kawasan pejalan kaki pada hujung minggu, CAP merasakan peniaga di kawasan itu tidak seharusnya dibenarkan memasang kanopi kerana ia akan menghalang ruang untuk meletak kereta dan menyesakkan kawasan itu yang mempunyai banyak pejabat dan perniagaan lain. Kita juga perlu mempertimbangkan masalah yang dihadapi oleh kenderaan pengangkutan yang perlu memuat naik dan menurunkan muatan.

Pemasangan kanopi seperti itu dan halangan kepada laluan kaki lima mendedahkan perangkap kematian apabila berlaku kebakaran atau kecemasan di mana jentera Bomba dan Ambulan akan mendapati kesukaran untuk melaluinya.

CAP menggesa supaya kanopi ini dibuka dengan segera atas sebab-sebab yang di atas dan menyarankan peniaga di kedai ini menjalankan jualan perayaan mereka di kawasan Padang Kota yang terletak berdekatan.

 

Kenyataan Akhbar, 18 Oktober 2016