Beberapa kajian ke atas daging seperti ayam (yang diimport dan tempatan), daging lembu, kambing dan burger beku didapati mengandungi bakteria kebal antibiotik yang amat membimbangkan. Memakan makanan tercemar dengan bakteria seperti itu boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa memandangkan rawatan bagi kes-kes seperti itu mungkin menyukarkan.
Penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenangnya dalam makanan haiwan telah menyebabkan penyebaran bakteria kebal antibiotik dalam haiwan ladang. Penyebaran bakteria seperti itu dalam daging amat membimbangkan dan mendedahkan ancaman kesihatan yang serius kepada pengguna.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada 2012, separuh daripada ayam tempatan kebal kepada ampicillin, sulphonamide dan tetracycline. Situasi lebih buruk bagi ayam import: 87% kebal kepada ampicillin, 75% kebal kepada asid nalidixis dan 50% kebal kepada streptomycin dan sulphonamide.
Kajian juga mendapati13.5% Salmonella kebal kepada Tetracycline; 5.4% Salmonella kebal kepada Polymixin B dan Erythromycin dan 2.7% Salmonella kebal kepada Chloramphenicol, Penicillin G dan Trimethoprim dalam ayam tempatan.
Sampel makanan seperti daging lembu, kambing dan ayam mempunyai Salmonella yang kebal kepada antibiotik. Kira-kira 6.28% Salmonella kebal diasingkan dari produk import (44.2% daging lembu dan 18.6% ayam).
Salmonella menyebabkan cirit birit (kadangkala berdarah), demam dan kejang abdomen. Jangkitan kebal ini lebih teruk dan mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang tinggi. Salmonella menunjukkan kekebalan kepada lebih banyak kumpulan antibiotik dan ini merupakan ancaman kesihatan awam yang amat serius.
Dalam satu kajian lain ke atas ayam hidup yang dijual di pasar-pasar di Selangor, daripada 90 ekor ayam yang diperiksa 68 (75.6%) adalah positif bagi Campylobacter. Paling kerap dilihat kebal kepada cephalothin (95.5%) diikuti oleh tetracycline (80.8%), erythromycin (51.4%), enrofloxacon (42.4%) dan gentamicin (24.4%). Kekebalan kepada pelbagai ubatan (kebal kepada tiga atau lebih antibiotik) dikesan dalam 35.3% pengasingan (sampel bakteria).
Seperti Salmonella, Campylobacter merebak dari haiwan kepada manusia melalui makanan tercemar terutama sekali ayam mentah atau separuh masak. Ia menyebabkan cirit birit (seringkali berdarah), demam dan kejang abdomen dan kadangkala menyebabkan komplikasi serius seperti lumpuh sementara dan kematian. Jangkitan Salmonella, Campylobacter dan E.Coli kebal telah merebak di seluruh dunia melalui perjalanan dan perdagangan makanan.
Pada 2005, USFDA menarik balik kelulusan penggunaan fluoroquinolones yang digunakan dalam ternakan ayam itik (pada masa ini digunakan di Malaysia) memandangkan kumpulan antibiotik ini menyebabkan kebal kepada Campylobacter dalam ayam itik yang dipindahkan kepada manusia dan mungkin menyebabkan jangkitan Campylobacter kebal fluoraquinolone berkembang dalam manusia.
Sebagai tambahan, penyelidik tempatan juga mendapati kehadiran bakteria Listeria monocytogenes yang kebal kepada pelbagai ubatan dalam pati daging burger yang dibeli dari pasar raya dan kedai runcit lain di negara ini.
Biasanya ditemui dalam makanan mentah, L. Monocytogenes boleh menyebabkan listeriosis. Simptom umum termasuklah gangguan gastrousus, sakit kepala, demam dan dalam kes yang lebih teruk jangkitan otak dan atau keracunan darah.
Kajian ini meneliti L. Monocytogenes yang mudah dipengaruhi yang telah diasingkan dari daging lembu, ayam dan pati sayuran kepada 11 antibiotik berbeza. 28 daripada 41 sampel bakteria kebal kepada sekurang-kurangnya satu dan 19 kebal kepada sekurang-kurangnya dua antibiotik. Kebal kepada tetracycline, diikuti oleh erythromycin adalah bentuk kekebalan paling biasa.
Antibiotik digunakan dengan meluas dalam makanan haiwan
Dalam pengeluaran ternakan, antibiotik diberikan kepada haiwan untuk beberapa alasan yang berbeza: merawat, mencegah penyakit dan merangsang pembesaran. Antibiotik kerap ditambah ke dalam makanan haiwan atau air minuman. Antibiotik yang digunakan untuk merangsang pembesaran pada umumnya tidak dianggap sebagai ubatan dan tidak dilesenkan atau dilesenkan sebagai makanan tambahan.
Kebanyakannya, jika tidak semua, antibiotik yang diberikan kepada haiwan merupakan ubatan yang digunakan untuk manusia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan antibiotik dalam ternakan haiwan pada umumnya tidak berasaskan prinsip saintifik yang sewajarnya.
Di Malaysia, pada masa ini terdapat 97 antibiotik berdaftar untuk digunakan. Kebanyakan ubatan berdaftar ini digunakan dalam ternakan ayam itik dan babi, sedikit untuk lembu dan kambing. Lebih daripada separuh antibiotik (ramuan aktif) berdaftar dengan Kementerian Kesihatan untuk makanan haiwan tidak disarankan untuk kegunaan veterinar oleh WHO.
Ia boleh dilihat bahawa antibiotik digunakan dengan meluas dalam haiwan yang dihasilkan untuk makanan dan ini menyumbang kepada kemunculan bakteria kebal antibiotik dalam haiwan ini, yang lebih membimbangkan adalah disebabkan haiwan ini berfungsi sebagai pembawa.
Amalan promosi dan pemasaran antibiotik untuk terapeutik, proplylactic atau merangsang pembesaran yang digunakan dalam haiwan oleh industri mempengaruhi corak preskripsi dan tingkah laku ahli veterinar, pengeluar makanan haiwan dan petani.
Bakteria kebal boleh mencemarkan makanan yang datangnya dari haiwan dan mereka yang memakan makanan ini boleh mengembangkan jangkitan kebal antibiotik. Kini terdapat semakin banyak bukti yang mengaitkan kemunculan baharu bakteria kebal dalam haiwan yang dipindahkan kepada manusia melalui daging dan makanan lain yang berasal dari haiwan atau melalui sentuhan langsung dengan haiwan ladang.
Penyakit bawaan makanan menyebabkan bakteria seperti Salmonella dan Campylobacter menjadi kebal kepada rawatan klasik bagi manusia akibat penggunaan antibiotik tertentu dalam pertanian.
Dalam satu tragedi terbaharu yang berlaku pada minggu pertama Oktober baru-baru ini, empat orang mati dan 60 yang lain dimasukkan ke hospital selepas memakan makanan tercemar sewaktu majlis kenduri perkahwinan di Kedah. Jabatan Kesihatan menyatakan masakan ayam sebagai kemungkinan penyebab keracunan makanan akibat pencemaran Salmonella (New Straits Times, 2 Oktober 2013).
Antibiotik dalam makanan haiwan juga membawa kepada pemindahan gen kebal yang boleh dipindahkan dari haiwan kepada manusia melalui bakteria kurang berbahaya dalam produk makanan dan gen kebal kemudiannya boleh dipindahkan kepada penyakit disebabkan bakteria dalam usus manusia. Kehadiran gen kebal vancomycin dan cephalosporin yang sama dalam bakteria manusia dan haiwan turut menyokong pandangan ini.
Disebabkan hubungan antara penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan dan kejadian jangkitan kuman kebal antibiotik pada manusia, antibiotik perlu digunakan dalam makanan haiwan hanya di bawah penyeliaan ahli veterinar. Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit AS, antibiotik hanya perlu digunakan untuk menguruskan dan merawat jangkitan bagi haiwan.
Jelas bahawa insiden bakteria kebal antibiotik yang tinggi dalam daging menunjukkan terdapat masalah dengan Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) yang perlu memastikan pihak ladang mengamalkan Amalan Pemeliharaan Haiwan yang Baik (GAHP) menghasilkan makanan berkualiti dan selamat, dalam keadaan mesra alam dan mapan.
Pensijilan SALT diberikan kepada ladang yang memenuhi kriteria GAHP, Pengurusan Kesihatan Haiwan, Keselamatan-Bio, infrastruktur yang baik dan penggunaan ubatan secara cermat. Skim pensijilan ini meliputi semua jenis ternakan lembu daging, lembu tenusu, ayam telur ayam daging, rusa, kambing, biri-biri dan babi.
Malangnya lebih separuh daripada ayam tempatan yang dihasilkan dari ladang yang mendapat sijil SALT dalam kajian oleh DVS kebal kepada tiga kumpulan antibiotik seperti ampicillin, sulphonamide dan tetracycline. Situasinya lebih buruk dengan ayam yang diimport sepertimana yang dinyatakan di atas.
Langkah tegas dan segera diperlukan
Terdapat petunjuk yang jelas bahawa beberapa ladang yang mendapat sijil SALT tidak memenuhi Amalan Pemeliharaan Haiwan yang Baik. Adalah tidak jelas jika ia disebabkan oleh kelemahan dalam standard kebersihan, penggunaan ubatan secara tidak cermat atau kekurangan infrastruktur yang diperlukan. Fakta bahawa produk daging import menunjukkan peratusan Salmonella kebal yang tinggi menunjukkan kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya:
- Mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan selaras dengan pengharaman oleh EU terhadap antibiotik dalam makanan haiwan;
- Mewujudkan sistem kebangsaan untuk memantau penggunaan antibiotik dalam makanan haiwan. Ini termasuklah tindakan untuk memperbaiki dan memperhalusi pengumpulan data ke atas penggunaan antibiotik di negara ini. Kuantiti dan kumpulan antibiotik yang digunakan dalam makanan haiwan menurut keperluan spesies haiwan perlu didokumentasikan. Ini penting untuk menganalisis risiko, menginterpretasi data pengawasan kekebalan dan untuk mengakses kesan campurtangan untuk menggalakkan penggunaan secara lebih cermat;
- Memantau kekebalan dan mengesan perubahan dalam kekebalan antibiotik melalui pengawasan yang berterusan di peringkat negara, negeri dan tempatan. Ini akan mengenal pasti masalah kesihatan yang muncul supaya tindakan pembetulan dapat dilakukan tepat pada masanya untuk melindungi kesihatan manusia dapat diambil;
- Mengawal kekebalan antibiotik mestilah menjadi keutamaan negara. Terdapat keperluan untuk mewujudkan badan antara sektor kebangsaan atau pasukan petugas terdiri daripada profesional penjagaan kesihatan, ahli veterinar, akademik, saintis pertanian, pengguna, media, untuk meningkatkan kesedaran mengenai kekebalan antimikrob (AMR), mengutamakan penyelidikan, mengumpul data, menyarankan langkah dasar untuk mengawal AMR, contohnya menggubal prinsip untuk Undang-undang Kesihatan Haiwan baharu;
- Mewujudkan garis panduan bagi ahli veterinar untuk mengurangkan penggunaan berlebihan dan penyalahgunaan antibiotik dalam makanan haiwan;
- Menyediakan pendidikan dan latihan untuk penternak berhubung penggunaan antibiotik secara bertanggungjawab;
- Menggalakkan amalan pertanian yang baik dan amalan terbaik dalam mengawal penyakit, contohnya reka bentuk kandang yang sesuai untuk haiwan, prosedur nyahjangkitan yang baik, mengasingkan haiwan yang sakit, penggunaan vaksin dan program menghapuskan penyakit;
- Memantau produk daging import bagi pencemaran kuman kebal antibiotik dan penguatkuasaan peraturan yang lebih tegas;
- Mengenal pasti makanan tempatan dan import yang bertanggungjawab terhadap wabak jangkitan Salmonella dan pencemaran bawaan makanan yang lain;
- Memantau penyebaran Salmonella dalam kalangan haiwan di ladang untuk mencegah daripada merebak;
- Mendidik pengguna dan pekerja yang terlibat dengan makanan mengenai amalan mengendalikan makanan secara selamat dan bagaimana untuk mengelakkan jangkitan Salmonella.
S M Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 10 Januari 2014