Haramkan bahan antibakteria yang menjejaskan kesihatan dan alam sekitar – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengharamkan serta merta  bahan antibakteria triclosan dan 18 yang lain kerana bahan-bahan kimia ini berupaya menjejaskan kesihatan dan merosakkan alam sekitar.

Hasil kajian mendapati triclosan boleh menjejaskan aturan tiroid, testosterone dan estrogen, yang boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan seperti akil baligh awal, sperma kurang berkualiti, kemandulan, obesiti dan kanser. Selain itu ia juga boleh menjejaskan pembelajaran dan memori, alahan dan melemahkan otot.

Kesan pendedahan yang berpanjangan kepada triclosan ketika pembesaran janin, bayi dan kanak-kanak khususnya boleh menjadi teruk dengan mengakibatkan kerosakan seumur hidup.

Kanak-kanak khususnya mudah mengalami kesan toksik triclosan memandangkan pendedahan yang lama kepada triclosan telah menunjukkan kecenderungan lebih tinggi mengalami alahan, termasuk alahan kepada kacang dan demam alahan.

Triclosan adalah bahan yang ditambah kepada pelbagai produk pengguna yang bertujuan untuk mengurangkan atau mencegah pencemaran bakteria dan pada asalnya digunakan pada 1970-an oleh pakar bedah untuk mencuci tangan mereka sebelum melakukan pembedahan.

Sejak itu kegunaannya telah dikembangkan secara komersial dan kewujudannya dalam sabun, ubat gigi dan lain-lain produk pengguna seperti pakaian, peralatan dapur, perabot dan alat mainan.

Dalam satu tinjauan kami menemui pelbagai produk yang mengandungi triclosan seperti sabun, ubat gigi, cucian tangan, gel mandian malah syampu badan antibakteria untuk kanak-kanak.

Kami juga temui pelbagai produk lain yang mengandungi triclosan seperti bahan pencuci lantai dan tandas yang didakwa mempunyai ciri antibakteria tetapi tidak pula menyebut bahan kimia di dalamnya. Memandangkan undang-undang di Malaysia tidak mewajibkan pengeluar melabel kandungan bahan kimia di dalam produk mereka, pengguna sukar untuk mengetahui sama ada trilosan atau bahan kimia lain yang memudaratkan ada digunakan.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat telah mengharamkan triclosan dan 18 bahan antibakteria lain bagi bahan pencuci tangan dan badan kerana tidak terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahan kimia seumpamanya lebih baik daripada sabun biasa dan air dalam mencegah kesakitan atau menghentikan perebakan jangkitan tertentu. Produk tersebut juga belum terbukti selamat untuk kegunaan dalam jangka panjang.

Bahan kimia berkenaan mampu menembusi kulit dan mudah masuk ke dalam saluran darah. Satu kajian yang dijalankan oleh kerajaan Amerika telah mengesan triclosan  dalam air kencing 75% subjek yang diuji. Ia turut dikesan dalam air susu ibu.

Kajian juga turut mengesan triclosan dalam alam sekitar. Ia ditemui dalam air, tanah, malah ikan. Pencemaran triclosan yang berleluasa di seluruh dunia meningkatkan kemungkinan bakteria yang terdedah kepadanya mengembangkan kekebalan, yang seterusnya boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Tujuan penggunaan bahan antibakteria ialah untuk mencegah pemindahan mikroorganisma penyebab penyakit. Sementara triclosan ternyata berkesan dalam mencegah jangkitan yang berlaku di hospital, tidak ada sebarang data yang menunjukkan manfaat kesihatan tambahan penggunaan pencuci yang mengandungi bahan antibakteria dalam rumah dengan persekitaran yang sihat. Satu kajian ke atas 200 isi rumah yang sihat mendapati mereka yang menggunakan produk antibakteria tidak mempunyai risiko lebih rendah daripada penyakit berjangkit.

Sehubungan dengan ancaman kesihatan dan alam sekitar yang dikaitkan dengan triclosan dan 18 antibakteria lain yang telah diharamkan di Amerika, CAP menyeru pihak berkuasa untuk melarang pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk yang mengandungi bahan-bahan kimia ini kerana ia mampu menjejaskan kesihatan dan alam sekitar.

Bagi pengguna pula, mereka boleh melindungi diri daripada bakteria tanpa menggunakan produk antibakteria dengan mengambil langkah-langkah berikut:

  • Cuci tangan dengan kerap dan teliti. Menyabun tangan merendahkan permukaan tegangan air, membantu melekat dan menyingkirkan bakteria yang tidak diingini. Sabunlah tangan sambil menggosok sekurang-kurangnya selama 10-15 saat kemudian bilas dalam air suam. Tangan perlu dicuci dengan kerap terutama ketika mengendalikan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas atau apabila terdapat seseorang yang sakit di dalam rumah.
  • Luangkan masa untuk mendidik anak-anak mengenai cara mencuci tangan yang betul.
  • Lap tangan dengan tuala bersih untuk menyingkirkan segala kuman yang masih ada.
  • Cuci permukaan yang terkena makanan dengan sabun dan air.
  • Cuci tangan dan barang permainan kanak-kanak dengan kerap untuk mencegah jangkitan.

Kenyataan Akhbar, 4 Oktober 2017