Haramkan e-rokok dan alat vape

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengenakan pengharaman sepenuhnya ke atas e-rokok dan peralatan menghisap vape (EVC). Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat melaporkan bahawa 805 penyakit paru-paru berkaitan menghisap vape di mana terdapat 12 kematian dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat.[1]

Pada masa ini terdapat lebih 40 negara telah mengharamkan vape manakala banyak negara Eropah termasuk Austria, Belgium, Jerman dan Itali mengklasifikasikan e-rokok sebagai produk tembakau, yang tertakluk kepada kawalan ketat.[2]  Di Asia, Thailand mengharamkan vape sejak 2014; Singapura pada Februari 2018 dan baru-baru ini India pada September 2019.

Kita kini sedang berdepan dengan bom jangka yang berdetik di tengah-tengah kita. Terdapat anggaran 1 juta penghisap vape di Malaysia dan kira-kira 10% daripadanya adalah mereka yang masih di bawah umur.[3] Kajian 2017 yang dijalankan di Malaysia mendedahkan 54% pengguna vape yang ditemu bual memperolehi e-cecair nikotin sifar daripada pasaran gelap; 30% memperolehi e-cecair buatan di rumah.

“Malaysia mungkin berada di ambang kemungkinan berlakunya krisis kesihatan awam jika terdapat kes penyakit paru-paru berkaitan vape tidak dilaporkan. Mengesan sumber penyebab akan menjadi satu mimpi ngeri yang dahsyat. Tidak seperti di Amerika Syarikat, di Malaysia, pihak berkuasa kesihatan tidak menubuhkan satu sistem untuk memeriksa jika terdapat kes berkaitan menghisap vape yang tidak dapat dikesan di negara ini. Di sinilah terdapat bahaya yang menanti. Kerajaan mestilah mengatasi dengan segera masalah ini sebelum ia menjadi lebih buruk,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Tinjauan oleh CAP baru-baru ini melibatkan 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai EVC dan merokok mendapati pelajar ini membentuk kumpulan yang terdiri daripada enam hingga 10 orang dan menamakan diri mereka dengan e-cecair. Mereka akan bertemu di pasar raya berdekatan sekolah dan mengumpulkan wang setiap minggu untuk membeli e-cecair.

Sesetengah pelajar menjadi ejen jualan sebagai tukaran bagi e-cecair percuma atau mendapat diskaun bagi produk. [4]

Adalah mengelirukan dan tidak benar untuk mendakwa menghisap vape adalah alternatif yang kurang berbahaya berbanding merokok kerana menghisap vape mungkin menyebabkan penyakit paru-paru seperti emfisema dan obliterative bronchiolitis (‘popcorn lungs’).[5] Obliterative bronchiolitis meninggalkan parut dan menyempitkan saluran udara oleh bahan kimia diacetyl yang ditemui dalam beberapa e-cecair. Penyakit ini tidak dapat dipulihkan.

Kajian pada 2015 mendedahkan diacetyl ditemui dalam 39 (76.5%0 daripada 51 e-cecair dan terdapat lebih daripada 7,000 perisa e-rokok di pasaran Amerika Syarikat.[6]  Diacetyl digunakan dalam pelbagai produk perisa e-rokok yang berbeza, terdiri daripada vanila hinggalah kepada karamel dan kelapa.

Pada 2017, penyelidik Amerika Syarikat menemui protein dalam saluran udara penghisap e-rokok yang diketahui menyumbang kepada penyakit pulmonari halangan kronik (COPD) . penanda tekanan oksidatif yang dikaitkan dengan penyakit paru-paru terdapat dalam semua peserta kajian ini.[7] Tekanan oksidatif adalah satu keadaan ketidakseimbangan radikal bebas dan antioksidan dalam tubuh di mana ia boleh membawa kepada kerosakan tisu dan sel.

Kami ingin mendedahkan kepada hakikat bahawa menghisap vape melibatkan penggunaan e-cecair (dan isian semula yang boleh diperolehi apabila e-cecair asal habis) bagi alat vape. Amat sedikit diketahui mengenai kesan jangka panjang bahan kimia yang ditemui dalam e-cecair.

Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat mengklasifikasikan bahan kimia yang digunakan dalam e-cecair hanya berhubungan dengan makanan tetapi bukan kesan aerosol yang dihasilkan olehnya terhadap paru-paru daripada menghisap vape.

Terdapat juga kes alat e-rokok yang meletup dan mungkin terdapat kes lain yang sama yang tidak dilaporkan. Walaupun kejadian ini berlaku, tidak terdapat sebarang penarikan balik produk alatan dari pasaran yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Kami mengulangi gesaan agar e-rokok dan alat vape diharamkan disebabkan oleh risiko kesihatan, penyebarannya dalam kalangan mereka di bawah umur dan membazirkan wang yang dibelanjakan ke atas ketagihan bahan kimia. Ia juga merupakan jalan kepada ketagihan menghisap tembakau. Bagi Kementerian Kesihatan, ia menjadi beban kewangan kepada negara untuk merawat mereka yang menghidap penyakit berkaitan menghisap vape yang boleh dielakkan.

 

[1] Centres for Disease Control and Prevention. Outbreak of Lung Injury Associated with E-Cigarette Use, or Vaping (27September 2019). https://www.cdc.gov/tobacco/basic_information/e-cigarettes/severe-lung-disease.html

[2]The Washington Post. Keep calm and vape on: UK embraces e-cigarettes, US cautious. http//www.washingtonpost.com/v

[3] The Star. Vaping craze a booming business (28 Jun 2015). https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/06/28/vaping-craze-a-booming-business/

[4] The Star. E-cig and vape traders ‘using students as agents’ (20 Aug 2019) https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/08/20/e-cig-and-vape-traders-using-students-as-agents

[5] Medical News Today. Jennifer Huizen. What’s to know about popcorn lung? (13 March 2018)

[6]Environmental Health Perspectives, Vol. 124, No. 6, 1 June 2016. Flavoring Chemicals in E-Cigarettes: Diacetyl, 2,3-Pentanedione, and Acetoin in a Sample of 51 Products, Including Fruit-, Candy-, and Cocktail-Flavored E-Cigarettes. https://ehp.niehs.nih.gov/doi/10.1289/ehp.1510185

[7]Medical News Today.Jayne Leonard. Can vaping cause lung problems? (29 May 2018) https://www.medicalnewstoday.com/articles/321960.php

 

Kenyataan Akhbar, 2 Oktober 2019