Haramkan penggunaan racun tikus dalam bentuk pelet — CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar mengharamkan penggunaan racun tikus dalam bentuk pelet.

Gesaan ini dibuat berikutan terdapat kes beberapa haiwan peliharaan penduduk mati selepas termakan pelet beracun tersebut. Sebelum kejadian itu, pemilik haiwan melihat beberapa pekerja majlis bandaraya melempar pelet beracun itu ke rumput di sepanjang jalan. Ketika ditanya, pekerja berkenaan berkata racun itu adalah untuk menghapuskan tikus dan gagak. Sungguh luar biasa bagaimana mereka dapat mensasarkan hanya tikus dan gagak sementara pelet dilempar ke di tanah di mana kanak-kanak atau makhluk lain boleh mengutip dan  memakannya.

Malangnya anjing milik seorang penduduk mungkin turut termakan pelet yang bertaburan itu dan mati beberapa hari kemudian. Sesiapa sahaja yang memiliki haiwan peliharaan mampu memahami kesedihan yang dialami apabila kehilangan haiwan kesayangan mereka. Dalam keadaan sekarang di mana saudara mara berada jauh, haiwan peliharaan boleh memberikan sokongan moral kepada pemiliknya. Namun tindakan tidak bertanggungjawab pekerja majlis bandaraya merobek hati pemilik haiwan berkenaan.

Racun dalam bentuk pelet bukan sahaja membahayakan haiwan peliharaan malah turut membahayakan kanak-kanak dan hidupan liar. Ini telah mendorong Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) mengharamkan racun tikus dalam bentuk pelet.

Menurut pembantu tadbir pejabat EPA berhubung Keselamatan Bahan Kimia dan Pencegahan Pencemaran, perubahan itu penting demi mengurangkan ribuan pendedahan kanak-kanak secara tidak sengaja setiap tahun kepada produk kawalan racun tikus dan juga untuk melindungi haiwan peliharaan di rumah.

Pihak EPA turut menghendaki semua racun tikus yang dijual kepada pelanggan kediaman diletakkan dalam stesen pengumpan agar  menjauhkan racun itu dari kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

Menurut EPA kanak-kanak khususnya berisiko terdedah kepada racun tikus kerana produk itu biasanya diletakkan di atas lantai, di mana kanak-kanak boleh mengutip dan  memakannya.

Pelet tersebut berbahaya kerana bran dan molases kadangkala dicampurkan kepada pelet itu yang membuatkannya kelihatan sedap kepada kanak-kanak dan haiwan.

Pada masa yang sama, hidupan liar mungkin turut termakan racun itu dan pada kebanyakan masa, mereka yang menggunakan racun itu sendiri tidak menyedari akan bahayanya. Ada ketikanya hidupan liar akan mendapatkan tikus yang bergerak perlahan akibat termakan racun yang akhirnya ia sendiri turut diracuni.

Kehadiran tikus dikediaman bukanlah sesuatu yang kita inginkan; sebab manusia dan tikus tidak mungkin hidup berdampingan dengan aman. Namun begitu,  kita tidak perlu menggunakan kaedah kejam semata-mata untuk mengawal bilangan tikus.

Pada umumnya untuk mengawal tikus, racun atau kaedah memerangkap digunakan tetapi ia belum dapat mengatasi punca sebenar masalah berkenaan, iaitu tabiat buruk penduduk membuang sisa makanan dan sampah dengan sewenang-wenangnya.

Daripada mencari kaedah membunuh tikus yang lebih kuat dan berpotensi berbahaya, satu-satunya jawapan sebenar kepada konflik kita dengan haiwan ini ialah mencari bukti dan kawasan panas (tempat pembiakan tikus) atau keadaan yang menarik perhatiannya, dan berusaha menangani punca masalah, bukannya dengan melempar pelet ke serata tempat lalu turut membunuh haiwan yang tidak berdosa.

Ini termasuklah menjaga kebersihan rumah dan kawasan sekeliling, mengurangkan sisa makanan, menkompos reja makanan, memastikan tong sampah di tempat makan mempunyai tudung yang ketat dan tong itu selalu dikosongkan, menentukan potensi tempat yang menarik perhatian tikus dan menghalangnya seberapa mungkin, membuang tumbuhan yang tidak diingini dan sebagainya untuk menangani masalah pencemaran tikus.

Sehubungan dengan kejadian tragis ini, CAP menggesa pihak berkuasa agar:

  • Mengharamkan penggunaan racun tikus dalam bentuk pelet
  • Mengelak penggunaan bahan kimia toksik untuk membunuh makhluk perosak
  • Mendidik pekerja majlis bandaraya tempatan mengenai kaedah penghapusan makhluk perosak dengan berkesan

 

Kenyataan Akhbar, 28 Julai 2021