Haramkan segera penjualan racun herba berasaskan glyphosate – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaannya kepada pihak berkuasa agar mengharamkan segera penjualan racun herba berasaskan glyphosate kerana ia didapati boleh memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan liar serta menjejaskan alam sekitar.

Glyphosate menjadi ramuan utama di dalam racun penghapus lalang, Roundup,  keluaran syarikat Monsanto. Di Malaysia terdapat lebih daripada 200 produk racun herba yang mengandungi glyphosate.

Kini 20 buah negara telah mengharamkan atau membatasi penggunaan racun herba berkarsinogenik ini. Yang terbaharu ialah Bangladesh di mana Mahkamah Tinggi negara itu telah mengarahkan kerajaan untuk membentuk pelan tindakan dalam 90 hari untuk mengeluarkan secara berperingkat racun herba yang mengandungi glyphosate, termasuk Roundup, dan memperkenalkan alternatif yang selamat.

Di rantau ASEAN, Thailand dan Vietnam telah mengenakan pengharaman atau membatasi penggunaan racun herba berasaskan glyphosate.

Glyphosate merupakan racun herba sistemik bukan selektif yang berspektrum luas. Ia digunakan bagi menghapuskan pada dasarnya semua tumbuhan semusim dan tumbuhan malar termasuk rumput, rusiga (sedges), lalang berdaun lebar dan tumbuhan berkayu. Ia boleh digunakan ke atas pelbagai jenis tanaman dan di dalam hortikultur serta lanskap. Ia turut digunakan dalam ladang kelapa sawit di negara ini.

Glyphosate semakin kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti kemandulan, kecacatan bayi sewaktu lahir, kerosakan sistem saraf, penyakit Parkinson dan beberapa jenis kanser. Selain berisiko memudaratkan kesihatan manusia, glyphosate juga menjejaskan pelbagai hidupan dan mencemari air bawah tanah.

Glyphosate merupakan salah satu racun herba yang paling meluas penggunaannya kerana ia merupakan penghapus rumput rampai tetapi tidak akan menjejaskan tanaman jagung dan kacang soya ubah suai genetik. Ini kerana kedua tanaman tersebut telah dijuruterakan untuk mempunyai ketahanan terhadap glyphosate. Oleh itu ia disembur ke atas ladang yang luas kerana petani berasa yakin tanaman mereka tidak akan terjejas oleh racun herba tersebut.

Sebahagian besar racun herba yang mengandungi glyphosate dibekalkan dengan beberapa surfektan untuk memudahkannya melarut air. Ini membolehkan racun herba itu tersebar ke seluruh daun tumbuhan.

Di dalam sesetengah laporan, kadar keracunan daripada produk glyphosate dikatakan meningkat berikutan surfektan yang dicampur ke dalam rumusan tersebut.

Sisa glyphosate sukar untuk disingkirkan melalui cucian mahupun terurai melalui cara memasak. Sisa itu kekal terdapat pada makanan selama lebih dari setahun, meskipun jika diproses, dikeringkan atau dibekukan.

Selain menyebabkan kanser, glyphosate turut dikaitkan dengan peningkatan keguguran secara spontan, kecacatan bayi sewaktu lahir, penyakit kulit, masalah pernafasan dan penyakit saraf.

Memandangkan racun herba glyphosate boleh mendedahkan ancaman yang serius kepada manusia, hidupan liar dan alam sekitar, sudah sewajarnyalah racun ini diharamkan atau dihapuskan secara berperingkat-peringkat di seluruh dunia dan Malaysia sepatutnya mengikuti trend ini.

Menurut satu kajian yang diterbitkan di dalam Jurnal Antarabangsa bagi Kajian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, glyphosate menjadi sangat beracun apabila bercampur dengan air “keras” atau logam berat seperti arsenik atau kadmium yang terkandung secara semula jadi di dalam tanah atau ditambah sebagai baja.

Berikutan kesan keracunannya, CAP menggesa Kementerian Pertanian mengharamkan racun herba berasaskan glyphosate. Sementara itu, perniagaan yang berasaskan pertanian perlu mengelak daripada menggunakan bahan kimia toksik dan bergerak ke arah penggunaan kaedah pengeluaran hasil pertanian organik yang lebih selamat.

 

Kenyataan Akhbar,23 Januari 2020