HARGA SAYUR SEMAKIN MAHAL

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu bimbang melihat harga sayur semakin mahal di pasaran. Menurut laporan harian akhbar berbahasa Melayu bertarikh 23 Ogos 2018, Malaysia menjadi tempat longgokan sayur yang kurang bermutu berikutan kelemahan penguatkuasaan terhadap import produk makanan dari negara lain.

Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan cili yang diimport dari Vietnam, China dan Thailand membanjiri pasaran negara dengan harga lebih murah berbanding produk tempatan. Dianggarkan bagi setiap 4 hektar penanaman cili, petani boleh mengalami kerugian sehingga RM20,000 pada setiap musim.

Harga bagi sayur dan buah-buahan biasa telah naik sejak tahun lalu. Perkara ini perlu diberi perhatian segera memandangkan kami begitu bimbang harganya yang mahal akan menghalang pengguna daripada mengambil sayur dan buah segar yang secukupnya dalam diet mereka.

Sejak sekian lama kami menyokong sektor pertanian. Malaysia telah gagal dalam sektor pertanian kerana kita terlalu bergantung kepada hasil pertanian yang diimport. Terdapat perbezaan yang ketara antara kita dan negara jiran kita Thailand, yang memajukan sektor pertaniannya pada 1960, dengan membajak tanah rang dan menggunakan tenaga buruh yang ada.

Selanjutnya, kemiskinan di desa Thailand menurun daripada lebih 60% di awal tahun 1960-an kepada kurang daripada 10% di awal tahun 2000. Kerajaan Thai menyokong petani kecil dengan memberi kredit pertanian dan sektor pertanian berkembang maju seiring dengan sektor perindustrian dan perbandaran.

Kemajuan pertanian di Thailand sebenarnya menyumbang ke arah penurunan kadar kemiskinan di desa sementara menyediakan jaminan makanan dan pemakanan berkhasiat kepada penduduk. Revolusi pertanian dikembangkan oleh rakyat Thai sendiri; lebih daripada 70% penduduk melibatkan diri dalam sektor ini pada 1980-an di mana sebahagian besar daripadanya adalah golongan miskin.

Sejak 1975 Bank of Thailand (menyamai Bank Negara Malaysia) mengarahkan semua bank supaya memperuntukkan sebahagian daripada pinjaman komersial kepada pertanian. Pinjaman yang diberi itu pula dikenakan kadar faedah yang lebih rendah berbanding kadar pasaran.

Tetapi di sini, sektor pertanian berdepan dengan pelbagai masalah sejak berdekad lamanya, dan kini keadaan semakin buruk. Disebabkan terlalu bergantung kepada sayuran import, kita terpaksa membayar lebih untuk produk tersebut jika nilai ringgit melemah.

Malaysia dilaporkan membelanjakan kira-kira RM3.2 juta bagi import sayuran dan buahan pada 2016. Keutamaan sektor pertanian disalah letak kerana pada 2012, Malaysia memiliki 5.1 hektar penanaman kelapa sawit berbanding 52,582 hektar untuk sayuran dan 205,467 hektar untuk buahan. Keluasan ekar tanah bagi kedua-dua sayuran dan buahan adalah 258,049 hektar, atau cuma 5.1 peratus daripada  tanah untuk penanaman kelapa sawit.

Keluasan tanah untuk penanaman buah-buahan di Malaysia telah menyusut dalam tempoh 5 tahun (2009 – 2013) sungguhpun hasil tanaman sayuran kita telah meningkat, kecukupan bekalan sayuran dan buahan masih jauh berkurangan daripada yang kita perlukan.

Kedudukan ringgit yang lemah turut memberi kesan kepada kos pengeluaran, dalam bentuk penggunaan peralatan dan bahan kimia pertanian yang lebih mahal.

Pergantungan Malaysia kepada buruh asing turut memberikan kesan yang buruk kepada negara. Secara rasmi kita dianggarkan mempunyai 3.2 juta buruh asing atau kira-kira 10% daripada jumlah penduduk pada 2017.

Untuk membendung kemasukan buruh asing tanpa dokumen, pihak berkuasa Malaysia sering menjalankan serbuan, dan petani atau pemilik ladang menghadapi masalah untuk mengupah pekerja asing disebabkan masalah birokrasi. Tambahan pula, sebahagian daripada ladang berkenaan telah digunakan untuk pembangunan hartanah atau bukan untuk tujuan pertanian.

Pada 2012, saintis pertanian, Mohd Peter Davis telah memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan dengan bencana kebuluran jika ia mengalami kemelesetan ekonomi yang besar. Tidak seperti negara-negara pengeluar makanan seperti Thailand dan Vietnam, Malaysia tidak mempunyai pengeluaran makanan yang mapan. Dalam masa terdesak, negara-negara tersebut mampu membekalkan makanan kepada penduduk mereka terlebih dahulu sebelum menjual makanan kepada negara lain seperti kita.

Kini kita sedang menuju ke arah yang sama jika kita tidak mengambil sebarang langkah yang secukupnya untuk memperbaiki keadaan semasa. Kita mungkin tidak akan mengalami kebuluran tetapi perbezaan dalam kekayaan menentukan akses seseorang kepada kuantiti dan kualiti makanan.

Deklarasi Sejagat mengenai Hak Manusia (PBB 1948)  Perkara 25  menyebut, “Setiap orang berhak untuk mendapatkan standard kehidupan yang mencukupi untuk kesihatan dan kebajikan beliau serta keluarganya, termasuk makanan”.

Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaannya supaya disemak semula strategi makanan pertanian sedia ada dengan dasar kerajaan yang tegas seperti:

  • Membantu pekebun kecil memasarkan hasil pertanian mereka dengan menyediakan hubungan kepada sistem pemasaran yang menyeluruh.
  • Memberi penekanan kepada pemasaran yang membantu meningkatkan pengeluaran pertanian.
  • Sahkah pekerja asing yang bertukar menjadi “tidak sah” disebabkan masalah teknikal misalnya majikan gagal memohon permit kerja mereka. Ini dapat membantu memperbaiki masalah kekurangan pekerja di ladang dan sektor-sektor lain.
  • Kerajaan perlu membentuk pusat keselamatan dan kualiti makanan untuk hasil pengeluaran demi memastikan hasil yang diimport dan produk keluaran tempatan memenuhi piawaian yang sedia ada, khususnya berhubung paras sisa racun makhluk perosak.

CAP berharap pihak berkuasa berkenaan akan memperbetulkan segala masalah yang dihadapi yang menjejaskan jaminan bekalan makanan di negara kita.

 

Kenyataan Akhbar, 30 Ogos 2018