Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya diharamkan plastik guna sekali. Tema bagi Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 ialah “Banteras Pencemaran Plastik” adalah gesaan tindakan yang lebih kukuh untuk bersama-sama membasmi salah satu cabaran alam sekitar yang besar ini.
Beg plastik menyebabkan banyak isu alam sekitar dan ekologi yang utama dan kecil. Kira-kira 50% plastik pengguna direka untuk digunakan sekali sahaja. Bahan yang dibuang ini atau objek plastik guna sekali seperti beg, penyedut minuman (straw), botol air, pengacau air, pisau-sudu-garpu dan uncang bertanggungjawab bagi separuh daripada sisa plastik di dunia.
Pada 2016, Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia (MPMA) berkata, purata rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun. Oleh itu dengan 30 juta penduduk, didarab dengan 300 dan hasilnya ialah sembilan bilion beg plastik yang digunakan oleh rakyat Malaysia setiap tahun. Angka ini berdasarkan beg plastik yang diperolehi dari pasar raya besar dan pasar raya dan tidak termasuk pasar malam, pasar basah atau daripada penjaja.
Pengguna Malaysia mempunyai tabiat meminta atau menuntut lebih banyak plastik ketika membeli makanan kegemaran mereka seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik, dan di pasar basah kita boleh melihat beg plastik guna sekali diberikan dengan berleluasa. Dalam banyak keadaan penggunaan botol air plastik atau cawan plastik untuk air menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam acara-acara besar, termasuk majlis awam dan kerajaan, mesyuarat, perayaan, majlis keraian dan sebagainya.
Kajian baru-baru ini menunjukkan lebih 90% air botol dan 83% air paip mengandungi partikel mikroplastik. Jumlah yang dikesan berada dalam darah, usus dan paru-paru semakin meningkat. Dalam jangka panjang, kita akan dilanda wabak dengan kesan berterusan daripada penggunaan plastik.
Adalah dianggarkan 1 ratus juta tan metrik plastik terdapat di lautan bumi ini. Jika satu plastik boleh membunuh burung dan ikan, bayangkan kesannya daripada jumlah yang amat besar ini. Kesan plastik ke atas hidupan laut amat besar yang akan menyebabkan kemusnahan kepada burung dan haiwan laut yang akan berakhir sekadar satu perangkaan. Haiwan seperti burung, makhluk lautan dan lembu sering silap dengan menganggap beg plastik sebagai makanan atau bahan untuk membuat sarang, membawa kepada keracunan, tercekik dan tersangkut dan usus tersekat.
Penyelidik Belanda mendapati hidupan laut di Laut Utara (North Sea) terjejas dengan teruk sekali. Dilaporkan bahawa bilangan burung camar menelan begitu banyak plastik sehingga purata 30 keping plastik boleh ditemui dalam usus seekor burung camar. Albatross merupakan satu lagi burung laut yang turut terjejas kepada pencemaran plastik. Beberapa kajian mendedahkan anak albatross mati akibat diberi makan plastik oleh ibu mereka yang tersilap menganggapnya sebagai makanan.
Memandangkan terdapat banyak masalah yang dikaitkan dengan beg plastik, banyak negara di dunia telah mengharamkan atau mengenakan cukai ke atas penggunaan beg plastik. Lima belas negara Afrika, yang mengambil penggunaan plastik sebagai isu yang serius, telah melaksanakan sama ada pengharaman atau mengenakan cukai ke atas penggunaan bahan itu. Ia termasuklah Kenya, Mali, Cameroon, Tanzania, Uganda, Ethiopia, Malawi, Morocco, Afrika Selatan, Rwanda dan Botrwana.
Di Asia, sebelum Sukan Olimpik 2008, China mengharamkan semua beg plastik nipis dan mula mengkehendaki peruncit mengenakan cukai ke atas beg yang lebih tebal. Negara lain di Asia telah mengharamkan atau mengenakan cukai termasuklah Bangladesh, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia dan Taiwan.
Eropah amat aktif dalam membanteras beg plastik. Kawasan tertentu di Argentina, Brazil, Chile dan Colombia juga mengambil langkah untuk mengurangkan beg plastik.
Beberapa perangkaan global yang membimbangkan berhubung pencemaran plastik:
- 5 trilion beg plastik digunakan setiap tahun
- 13 juta tan plastik memasuki lautan setiap tahun
- 1 juta botol plastik dibeli setiap minit
- 100,000 hidupan laut terbunuh oleh plastik setiap tahun
- 90% air botol didapati mengandungi partikel plastik
- 50% produk pengguna adalah guna sekali
- Dianggarkan 71% burung laut dan 30% penyu ditemui dengan plastik di dalam usus.
Penyedut minuman plastik (straw) merupakan satu lagi plastik guna sekali yang amat buruk bagi lautan. Amerika sahaja menggunakan 500 juta straw setiap hari dan kita boleh bayangkan jumlah sisa straw di negara lain di dunia ini. Kebanyakan sisa straw berakhir di lautan, mencemarkan air dan membunuh hidupan laut. Jika kita terus menggunakan straw menjelang 2050 akan terdapat lebih banyak plastik di lautan berbanding ikan.
Oleh itu, pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin pada Mei 2018 bahawa beg plastik akan diharamkan di seluruh negara dalam tempoh setahun adalah satu langkah ke hadapan. Ini seharusnya diikuti dengan pengharaman produk pakai buang guna sekali lain dan mikroplastik.
Menghapuskan plastik guna sekali adalah satu langkah penting untuk mengurangkan jumlah sisa dan pencemaran dalam jangka panjang. Pengguna dan peniaga perlu memainkan peranan mereka dengan menggantikan semua beg plastik dan kertas dengan beg guna semula. Ini menandakan satu perubahan ketara ke arah penghapusan pencemaran dan sisa.
Katakan tidak kepada pencemaran plastik. Amalkan guna semula.
Kenyataan Akhbar, 5 Jun 2018