Beat Plastic Pollution atau Atasi Pencemaran Plastik adalah tema untuk Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini. Data yang dikeluarkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) adalah mengejutkan. Di seluruh dunia, satu juta botol plastik dibeli setiap minit, manakala sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia setiap tahun. Pengeluaran plastik terus berkembang, dengan separuh daripada semua plastik yang dihasilkan direka untuk tujuan sekali guna.
Sejak tahun 1970-an, kadar pengeluaran plastik telah berkembang lebih cepat daripada mana-mana bahan lain. Jika trend pertumbuhan berterusan, pengeluaran global plastik primer diramalkan mencecah 1,100 juta tan menjelang 2050. Kira-kira 36 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan adalah digunakan dalam pembungkusan, termasuk produk plastik sekali guna untuk bekas makanan dan minuman. Dianggarkan 85 peratus daripada plastik ini berakhir di tapak pelupusan sampah atau sebagai sisa tidak terkawal.
Dilaporkan bahawa di seluruh dunia kira-kira 400 juta tan sisa plastik dijana setiap tahun. Daripada tujuh bilion tan sisa plastik yang dijana secara global setakat ini, kurang daripada 10 peratus telah dikitar semula. Kitar semula bukannya penyelesaian kepada krisis plastik. Untuk menghapuskan pencemaran plastik, pengeluaran plastik mesti dihadkan di peringkat global dengan penetapan sasaran pengurangan pembuatan plastik.
Plastik diperbuat daripada karbon (bahan api fosil) dan bahan kimia, dan bahan kimia toksik dibebaskan sepanjang kitaran hayatnya. Kira-kira 98 peratus produk plastik sekali guna dihasilkan daripada bahan api fosil. Selain itu, tahap pelepasan gas rumah hijau yang dikaitkan dengan pengeluaran, penggunaan dan pelupusan plastik berasaskan bahan api fosil konvensional diramalkan meningkat kepada 19 peratus daripada bajet karbon global menjelang 2040.
Pada Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) kelima pada Mac 2022, kesemua 193 Negara Anggota PBB memutuskan untuk menamatkan pencemaran plastik. Kumpulan masyarakat sivil bersatu dalam menyeru satu perjanjian yang kukuh untuk menangani kemudaratan kesihatan, iklim, biodiversiti, dan hak asasi manusia yang datang daripada kitaran hayat penuh plastik, dan bukan hanya pada penghujung hayat dalam bentuk sisa.
Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (Intergovernmental Negotiating Committee INC-2) untuk perjanjian global baharu untuk menamatkan pencemaran plastik telah berakhir baru-baru ini pada 2 Jun di ibu pejabat UNESCO di Paris. Rundingan lima hari itu terbantut hampir dua hari berikutan usaha pihak tertentu yang mempunyai kepentingan kuat dalam industri minyak dan petrokimia untuk melemahkan perjanjian ini supaya pengeluaran plastik fosil dapat diteruskan tanpa henti.
Pihak industri juga turut hadir semasa rundingan, termasuk di acara sampingan di mana mereka mempromosikan penyelesaian palsu seperti “mengimbangi plastik (plastic offsetting)” skim yang tidak “mengimbangi” sama ada pengeluaran plastik atau pencemaran.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa hasil positif daripada INC-2 di mana sesetengah negara menyeru untuk penetapan sasaran pengurangan global terhadap pengeluaran plastik, dan perbincangan telah berkembang daripada fokus pada plastik sebagai masalah sisa dan pencemaran, kepada perbincangan ke arah Perjanjian yang akan menangani ancaman kepada kesihatan dan biodiversiti daripada bahan kimia sepanjang kitaran hayat plastik, dan mengutamakan peralihan yang adil kepada mata pencarian yang lebih selamat dan lebih mampan untuk pekerja merentas rantaian bekalan plastik.
Di Malaysia, kerajaan telah melancarkan “Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030”. Baru-baru ini, diumumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk mengharamkan penggunaan beg plastik untuk pembelian runcit merentasi semua sektor perniagaan di seluruh negara menjelang 2025. Langkah ini adalah dialu-alukan tetapi kita memerlukan tindakan yang lebih segera dan lebih banyak produk plastik sekali guna untuk difasa keluar dan diharamkan.
Kebanyakan pembungkusan makanan direka bentuk untuk kegunaan sekali sahaja dan tidak dikitar semula. Ini mewujudkan kesan alam sekitar dan isu kesihatan bergantung pada bahan yang digunakan. Membiarkan korporat dan syarikat meneruskan perniagaan mereka seperti biasa, hanya akan mempromosikan penyelesaian palsu kepada krisis sisa plastik dan pencemaran plastik akan berterusan.
Walaupun peningkatan dalam kitar semula plastik dilihat sebagai salah satu penyelesaian kepada masalah pencemaran plastik oleh kebanyakan kerajaan dan badan korporat, plastik yang mengandungi bahan kimia toksik tidak harus dikitar semula. Bahan plastik mengandungi pelbagai jenis bahan kimia termasuk yang toksik, dan apabila dikitar semula bahan toksik ini mungkin berakhir dalam mainan dan barangan pengguna yang boleh mengancam kesihatan awam. Sehingga beribu-ribu bahan kimia berbahaya yang digunakan dalam plastik dihapuskan, pengitaran semula akan kekal toksik.
Untuk mengatasi pencemaran plastik, kita memerlukan kerajaan untuk memacu perubahan termasuk menggubal dan melaksanakan dasar untuk menghadkan pengeluaran plastik, memastikan syarikat beralih daripada produk dan pembungkusan plastik kepada alternatif yang selamat. Bagi pengguna, kita perlu mengurangkan penjanaan sisa secara keseluruhan, dan ini boleh bermula dengan mengambil kira apa yang kita gunakan atau beli. Terdapat banyak pilihan untuk sistem penghantaran termasuk sistem pengisian semula dan penggunaan semula.
Jika kita tidak bertindak untuk menangani krisis plastik global, krisis ini akan terus meningkat dan memburukkan lagi ancaman yang dihadapi, termasuk kecemasan iklim, kehilangan biodiversiti yang serius, penularan toksik, dan pencemaran mikroplastik. Kesemua ini mempunyai implikasi yang mendalam kepada kesihatan manusia dan hak asasi manusia.
Bersama-sama kita harus atasi pencemaran plastik.
Meenakshi Raman
Presiden
Sahabat Alam Malaysia
Siaran Media, 4 Jun 2023