Untuk Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, kebanyakan daripada kita, sepertimana tahun sebelum ini, menyambutnya di rumah akibat pandemik Covid-19. Dalam masa seperti ini, kita amat menghargai dunia luar dan mahu keluar untuk menikmati alam semula jadi yang memberikan kita ketenangan dan kegembiraan.
Bagaimanapun, tidak semua daripada kita bernasib baik untuk menikmati langit biru atau udara bersih kerana apa yang kita hadapi di luar sana ialah bukit-bukau digondolkan, jalan raya kehilangan pokok, hutan konkrit, hutan dimusnahkan, tanah, sungai dan lautan kita terjejas oleh pencemaran dan apa yang dipanggil pembangunan. Senarainya panjang, tetapi apa yang jelas ialah kehilangan biodiversiti, kemerosotan ekosistem dan alam sekitar dijangka berterusan, atau malah lebih cepat berlaku jika lebih banyak tindakan menanganinya tidak dilakukan.
Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) menganggarkan bahawa menjelang 2030, dunia memerlukan 40 peratus lebih banyak air, 50 peratus lebih banyak makanan, 40 peratus lebih banyak tenaga, dan 40 peratus lebih banyak kayu dan serat. Kita akan berdepan dengan lebih banyak kerosakan alam semula jadi dan kesan perubahan iklim diburukkan lagi oleh aktiviti manusia yang didorong oleh perbadanan untuk memenuhi permintaan ini.
UNEP menyatakan hanya satu cara yang boleh kita memenuhi permintaan ini iaitu dengan menguruskan ekosistem kita dengan bijak dan mampan. Gesaan bagi sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia ialah untuk menyertai #GenerasiPemulihan (#GenerationRestoration) bagi memulih dan melindungi ekosistem kita. Kita perlu berhati-hati memandangkan terdapat juga ‘penyelesaian’ palsu didorong badan korporat yang mempromosi ‘penyelesaian berasaskan alam’, ‘pertanian pintar iklim’, ‘intensifikasi mampan’ dan ‘perlombongan mampan’.
Dalam jawapan kepada gesaan pemulihan ekosistem, kita mestilah menggalakkan penyelesaian sebenar dan asli, yang berada di tangan dan pengetahuan orang asal, petani kecil, nelayan dan komuniti tempatan yang menawarkan lebih banyak harapan serta manfaat sebenar untuk golongan miskin dan bumi ini.
Untuk memastikan perkara ini berlaku, kerajaan harus menghormati dan mengakui hak orang asal dan komuniti tempatan terhadap tanah dan sumber mereka, dan kepentingan sistem pengetahuan tradisional dan asal dalam membantu melindungi hutan dan biodiversiti, yang menggalakkan penggunaan sumber secara mampan dan harmoni dengan alam semula jadi.
Sementara komuniti mengambil langkah untuk memulihkan ekosistem dan melindungi alam sekitar daripada kemusnahan dan pencemaran selanjutnya, kerajaan perlu memainkan peranannya dengan tidak membenarkan pelaburan dan meluluskan projek yang boleh memusnahkan, teknologi dan industri kotor, yang mengeksploitasi sumber asli kita dan menjejaskan integriti alam sekitar kita. Pelaburan buruk seperti itu juga mengancam nyawa dan kehidupan mampan serta pergantungan komuniti terhadap sumber asli.
Sejak berdekad, komuniti di Malaysia dipacu oleh pemimpin komuniti, pertubuhan berasaskan komuniti dan NGO telah mengambil langkah untuk melindungi alam sekitar, dengan mengambil inisiatif untuk memulihara dan melindungi biodiversiti dan menggunakan sumber asli dengan mampan.
Kami telah mendokumentasikan amalan seperti penanaman pokok oleh komuniti, pengurusan hutan komuniti, pemulihan hutan bakau, agroekologi, pertanian bandar, dan pergerakan sisa sifar. Generasi muda juga mengambil bahagian dalam inisiatif ini, daripada mengumpulkan barangan kitar semula kepada mewujudkan kebun tanaman makanan. Ini adalah penyelesaian sebenar kepada usaha untuk menangani perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar dan ini juga penyelesaian untuk menjadi daya tahan dalam masa kejutan ekonomi dan kesihatan seperti mana apa yang berlaku sekarang.
Komuniti juga semakin peka dalam melaporkan jenayah dan pencemaran alam sekitar. Kita juga melihat kemunculan banyak kempen yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan untuk mendapatkan sokongan bagi memerangi projek yang mencemar dan memusnahkan; menentang pengambilan dan perampasan tanah; menuntut pengiktirafan wilayah dan hak tanah komuniti; berjuang untuk melindungi dan memulihara tempat pembiakan ikan, bukit dan hutan; menuntut keadilan alam sekitar dan sosial dan lebih banyak lagi kempen untuk memperjuangkan hak mereka.
Daripada rancangan projek tambak laut berskala besar di Pulau Pinang dan Melaka hinggalah kepada menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan hutan simpan lain, gabungan berkepentingan awam telah mengambil pendirian menentang projek pembangunan yang tidak lestari. Komuniti di Kuala Langat, Klang, Sungai Petani dan banyak lagi di tempat lain juga berganding bahu dalam menentang pencemaran dan longgokan sisa plastik.
Kurangnya kepaduan dasar untuk benar-benar memulihara biodiversiti dan melindungi alam sekitar perlu ditangani oleh kerajaan. Contohnya, kenapa kita tidak menghentikan pengimportan sisa yang mencemar alam dan menjejaskan kesihatan awam berikutan kesan berbahaya longgokan dan kitar semula yang tidak terkawal? Kenapa cadangan perlombongan dipertimbangkan di hutan simpan? Kenapa luluskan projek tambak laut di kawasan yang kaya dengan pembiakan ikan, pembangunan di kawasan cerun bukit yang sensitif, fasiliti sisa toksik dan perlombongan di kawasan hutan simpan?
Sementara komuniti melaksanakan penyelesaian mampan, membina daya ketahanan dan menangani pandemik Covid-19, kita memerlukan pembuat keputusan membatalkan projek yang tidak mampan yang akan menyebabkan kemusnahan seterusnya kepada ekosistem dan alam sekitar.
Kerajaan mestilah mengakui bahawa penyelesaian yang didorong oleh komuniti adalah amat bernilai dalam melindungi alam sekitar, membina daya tahan iklim, memulihara biodiversiti dan menyediakan kehidupan lestari yang menjamin makanan dan pendapatan. Ini merupakan jenis penyelesaian yang perlu disokong, ditingkatkan dan digandakan.
Kesimpulannya, kerajaan yang baik perlu mendengar suara rakyat yang berjuang untuk keadilan alam sekitar. Rakyat mesti diutamakan daripada keuntungan dan penjarahan!
Selamat Menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia!
Surat Kepada Pengarang, 4 Jun 2021