Hari Hidupan Liar Sedunia: Kerajaan Negeri Mesti Memberikan Perhatian Lebih Kepada Dasar Negara dan Komitmen Antarabangsa

Hari ini adalah Hari Hidupan Liar Sedunia dengan tema yang bertepatan iaitu ‘Hutan dan Mata Pencarian: Memelihara Manusia dan Planet’. Tema tahun ini dipilih untuk menyoroti peranan utama hutan, spesies hutan dan fungsi ekosistem dalam memelihara berjuta-juta manusia di seluruh dunia, bukan hanya untuk komuniti orang asal dan yang bergantung kepada hutan tetapi juga kepada orang ramai.

Ia mengingatkan kita akan tanggungjawab yang semakin kita lupakan terhadap setiap makhluk hidup di atas muka bumi ini. Ia juga mengingatkan kita bahawa lebih daripada setahun telah berlalu sejak hiruk-pikuk tercetus di seluruh dunia akibat pandemik Covid-19. Ekonomi dunia terhenti manakala banyak negara termasuk Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menentang kesan kesihatan yang teruk daripada pandemik tersebut yang dikaitkan dengan virus yang dikatakan muncul daripada haiwan liar.

Lebih banyak penyakit berkaitan dengan zoonotik boleh muncul jika kita terus memusnahkan, menceroboh dan merosakkan habitat semula jadi dan ekosistem kita dan tidak mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19.

Adalah jelas bahawa sesetengah kerajaan negeri tidak mengambil iktibar dan terus membuat keputusan untuk menukarkan ekosistem semula jadi berharga terakhir yang kita masih ada, untuk tujuan lain seperti projek tambak laut, ladang monokultur, pembangunan bandar dan malah untuk tapak pelupusan sisa industri dan radioaktif di hutan simpan dan kawasan alam sekitar sensitif.

Contoh projek yang memusnahkan termasuklah cadangan untuk menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor dan hutan simpan kekal lain di Perak, pembinaan kemudahan pelupusan sisa industri dan radioaktif di hutan tadahan air di Pahang, dan projek tambak laut besar-besaran di Pulau Pinang yang akan memusnahkan sama sekali kawasan perikanan. Tambahan, di negeri seperti Kedah, gesaan supaya mewartakan kompleks hutan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air tidak dipedulikan sejak bertahun.

Kita perlu serius menghentikan arah aliran ini dan mula melindungi hutan dan ekosistem marin kita dan mata pencarian, termasuk habitat hidupan liar semula jadi, daripada penukaran dan pemecahan atau fragmentasi. Usaha pemulihan hidupan liar juga perlu dipertingkatkan serta menghentikan perdagangan hidupan liar.

Walaupun hal ehwal tanah dan perhutanan adalah di bawah bidang kuasa negeri, kerajaan mestilah sedar dan peka kepada pelbagai dasar negara yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan, seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, Dasar Perubahan Iklim Negara dan Rancangan Fizikal Negara. Dasar-dasar ini digubal untuk melaksanakan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah proses seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim. Matlamat Pembangunan Mampan serta Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal adalah penting juga.

Oleh sebab itu, hari ini kami menggesa semua Kerajaan Negeri supaya mematuhi komitmen dan kewajipan antarabangsa ini serta menghentikan segala kegiatan yang memusnahkan dan merosakkan hutan, pantai dan ekosistem marin kita.

Sebagai tambahan, Kerajaan Persekutuan mestilah membantu negeri-negeri dari segi kewangan untuk memastikan bahawa komitmen antarabangsa ini dipenuhi dalam melindungi hutan dan biodiversiti dan tidak terus mengekalkan janji di atas kertas yang tidak bermakna.

Marilah kita melakukan perkara yang betul dalam memastikan kemampanan generasi semasa dan masa depan dan mengutamakan bumi ini lebih daripada keuntungan.

Siaran Akhbar, 3 Mac 2021