Tanggal 26 Julai setiap tahun dunia menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa. Sambutan ini telah diisytiharkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut termasuk kawasan pesisiran pantai bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.
Hutan paya laut merujuk kepada kawasan hutan yang terdapat di persisiran laut yang berlumpur bercampur pasir laut yang mengalami air pasang dan surut. Spesies utama hutan paya laut terdiri daripada spesies-spesies pokok bakau yang menjadi dirian atau benteng pertahanan dan sumber perikanan.
Hutan paya laut merupakan sebuah kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti yang tinggi. Hutan bakau ini terdiri daripada pelbagai spesies pokok bakau seperti bakau kurap, bakau minyak, api-api, tumu, nyireh dan sebagainya. Hutan bakau juga menjadi habitat pelbagai spesies fauna seperti monyet, ular, memerang, burung-burung serta menjadi kawasan habitat pelbagai jenis kerang, krustasia dan juga ikan.
Ekosistem semula jadi ini juga mampu mengurangkan kerentanan terhadap bencana alam dan iklim melampau serta menjadi satu sistem pertahanan pantai semulajadi. Pertumbuhan hutan bakau yang lebat dan padat memberi perlindungan daripada kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, iaitu dengan menyerap kelajuan ombak dan meredakan arus ketika berlaku bencana alam. Pokok bakau ini melindungi penempatan pesisir dengan menyerap 70 hingga 90 peratus tenaga ombak bergantung kepada ciri fizikal dan kesihatan ekosistem di sesuatu kawasan.
Pokok-pokok bakau juga merupakan penyimpan karbon yang terbaik. Hasil kajian penilaian karbon mendapati pokok bakau yang berumur 4 hingga 13 tahun mampu menyimpan karbon di antara 7.25 hingga 83.35 tan karbon dengan kadar sekuestrasi karbon adalah antara 1.7 hingga 6.0 tan karbon per hektar setahun. Oleh itu, pokok bakau merupakan dirian semula jadi yang unik di mana spesies ini mampu mengurangkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim dunia.
Hutan bakau juga penting sebagai sumber perikanan dengan menyediakan makanan dan habitat kepada anak-anak ikan dan pelbagai hidupan marin. Akar pokok bakau yang unik berfungsi sebagai nurseri dan menjana sumber makanan serta sebagai tempat untuk anak-anak ikan dan hidupan marin yang lain.
Menurut kajian, hutan paya bakau seluas 400 km2 yang diuruskan di Matang, Perak, menyokong nilai perikanan sebanyak US$100 juta setahun atau US$250,000/km2/tahun (UNEP-WCMC 2006). Ini bererti memelihara dan memulihara hutan bakau sama seperti memelihara sumber makanan laut serta menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan makanan negara.
Selain itu, buah dan daun dari spesies-spesies bakau terpilih boleh diolah dan diberi nilai tambah bagi menyokong ekonomi setempat. Di antara kudapan dan kuih tradisional yang diperbuat daripada buah atau daun bakau adalah onde-onde buah api-api, lepat buah api-api, bubur buah berus, jus dari buah berembang, teh dari daun jeruju dan piai celup tepung. Terdapat kaedah penyediaan yang khusus sebelum buah bakau dan daun bakau boleh digunakan dan dimakan.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) dengan input dari perkumpulan wanita Persatuan Kebajikan Nelayan Pantai Pulau Pinang (PIFWANITA) dan komuniti bakau lain telah mengumpulkan proses dan resipi ini untuk mempopularkan penggunaan sumber dari hutan bakau.
Usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya bakau harus dipergiat. Kawasan hutan bakau yang sedia ada perlulah dikekalkan serta dipelihara dan dipulihara dengan baik. Kawasan-kawasan terosot perlu dilakukan usaha penanaman semula serta rawatan yang berterusan.
SAM bersama komuniti persisir pantai, komuniti setempat dan sukarelawan banyak melakukan aktiviti memelihara dan memulihara kawasan pinggir pantai untuk menambah baik sumber kehidupan dan menghidupkan semula habitat yang hilang serta memulihkan semula fungsi ekosistem dan biodiversiti.
Oleh itu, sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa SAM menyeru semua pihak untuk memberi komitmen penuh bagi mengekalkan kawasan hutan bakau serta kawasan persisiran pantai sebagai kawasan semula jadi. SAM percaya mengekalkan dan menambah baik ekosistem hutan bakau akan memberi nilai tidak terhingga kepada alam, biodiversiti dan sumber makanan negara.
Hutan paya bakau memainkan peranan dan fungi yang pelbagai.
Bakau untuk Biodiversiti,
Bakau untuk Pertahanan Pantai,
Bakau untuk Sumber Perikanan,
Bakau untuk Ekonomi, dan
Bakau untuk Kehidupan.
Selamat menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa daripada warga Sahabat Alam Malaysia.
Surat Kepada Pengarang, 26 Julai 2021