Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera bagi mengawal harga komputer riba dan tablet yang amat diperlukan oleh pelajar untuk pendidikan dalam talian mereka, yang terjejas dengan teruk sejak pertengahan Mac 2020. Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan bahawa tidak terdapat usaha mengaut keuntungan dengan peningkatan permintaan bagi barangan ini di Malaysia.
Kenaikan harga semasa peralatan ini disumbang oleh kekurangan dalam stok dan peningkatan dalam kos logistik dari negara pengeluar. Dilaporkan bahawa tablet termampu berjenama yang berharga RM399 sebelum PKP 2.0 kini berharga RM599, peningkatan 25 peratus!
Alasan yang diberikan tidak dapat diterima. Pengeluar barangan ini, yang merupakan syarikat besar, seharusnya mengurangkan margin keuntungan mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka dalam masa sukar ini. Peruncit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada kekurangan sementara ini untuk menaikkan harga untuk membuat keuntungan yang tidak sepatutnya. Pihak berkuasa sepatutnya sudah dapat menjangkakan masalah ini dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan terdapat bekalan yang mencukupi, kerana ia hampir setahun sejak PKP 1.0 dilaksanakan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada November 2020, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan bahawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan menyumbang RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK untuk menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar daripada 500 sekolah. Peruntukan sejumlah wang ini sahaja tidak dapat menyelesaikan kesukaran yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam men dapatkan pendidikan. Masalah lain yang berkaitan mestilah juga turut ditangani.
Menurut tinjauan Kementerian Pendidikan (MoE) pada Mac 2020, terdapat batasan yang serius berhubung pengajaran dalam talian dan pembelajaran di rumah. Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan 670,000 ibu bapa dan kira-kira 900,000 murid, dan hasilnya amat mengejutkan. Hanya 6 peratus daripada pelajar yang ditinjau mempunyai komputer dan tablet sendiri; 9% mempunyai komputer riba; dan 46% mempunyai telefon pintar manakala 36.9 peratus tidak mempunyai sebarang peranti.
Malah terdapat kira-kira 4.9 juta pelajar di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dan 150,000 komputer riba dan tablet hanya akan mencukupi bagi 3 peratus daripada bilangan pelajar. Ini tidak termasuk mereka yang berada di peringkat pengajian tinggi yang kita tidak boleh anggap kaya untuk mampu membeli perkakasan itu.
Malah jika komputer dan peralatan lain boleh diperolehi, masih terdapat masalah perkhidmatan internet yang buruk. Sering disebut-sebut bahawa Malaysia memiliki internet berkelajuan tinggi tetapi terdapat tempat di mana internet sekejap-sekejap atau perlahan. Kerajaan perlu memastikan penyedia perkhidmatan internet mengambil tindakan dalam memastikan liputan dan kelajuan penghantaran mencapai standard yang diterima.
Harga dan bekalan komputer riba dan tablet perlu dipantau dengan rapi dan dikawal kerana permintaan permintaan dijana oleh sektor pendidikan, dan sektor perniagaan yang beralih kepada transaksi tanpa tunai.
Jika komputer riba dan tablet tidak dapat diperolehi dengan mudah, maka kerajaan seharusnya tidak meneruskan dengan pendidikan dalam talian dan menimbangkan kaedah alternatif . Kelas persekolahan boleh diadakan pada hari bersilih ganti untuk subjek teras dengan kumpulan pelajar yang berkurang. Kanak-kanak yang berada dalam kategori mudah terjejas boleh belajar di rumah. Guru bersara yang masih layak untuk bekerja boleh digerakkan bagi tujuan ini.
Kami menggesa kerajaan untuk menyegerakan pembahagian komputer riba dan tablet memadangkan ramai pelajar telah tidak mendapat pendidikan hampir setahun. Perkhidmatan internet mestilah ditambah baik dan boleh didapati di seluruh negara. Di mana ini tidak mungkin, contohnya di kawasan pedalaman, pengaturan lain mestilah dibuat untuk mendidik kanak-kanak ini.
Kenyataan Akhbar, 10 Februari 2021