Hentikan Pembinaan Lebih Banyak Empangan di Sarawak

SAM amat gusar dengan cadangan untuk meneruskan pembinaan empangan Trusan di Lawas, Sarawak, seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada Julai 21. Empangan yang dicadang mempunyai kapasiti penjanaan 275 MW. Ia merupakan salah satu daripada 12 projek hidroelektrik di Sarawak, yang termasuk empangan Murum, Baram dan Baleh. Empangan Murum telah disiapkan. Pembinaan empangan Baleh dengan perancangan kapasiti penjanaan 1,285 MW, adalah dijangka bermula pada  Oktober 2018 dan disiapkan pada tahun 2025.

Walau bagaimanapun, pembinaan empangan Baram telah dibatalkan oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Mendiang Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, pada Mac 2016, lanjutan daripada sekatan (blockade) dan bantahan oleh komuniti terjejas yang berterusan.  Seperti yang dilaporkan oleh Channel News Asia pada Mei 2016, Adenan menegaskan bahawa pembatalan empangan Baram adalah hasil pemeriksaannya terhadap perkara tersebut.  “Tidak perlu mempunyai empangan besar lagi. Kita boleh mempunyai empangan mini dan sebagainya, tetapi bukan empangan besar terutamanya apabila kita tidak membekalkan (kuasa) ke Semenanjung Malaysia lagi.”

Menurut Suruhanjaya Tenaga di dalam penerbitan tahunan mereka, ‘Performance and Statistical Information on Electricity Supply Industry in Malaysia 2015’, jumlah kapasiti penjanaan terpasang Sarawak Energy Berhad (SEB) pada tahun 2015 adalah 2,241 MW dengan kehendak maksimum tenaga pada tahun yang sama adalah 2,288 MW.   Namun, ini tidak bermakna bahawa margin tenaga simpanan adalah negatif di Sarawak. Dengan mengambil kira kapasiti penjanaan empangan Bakun, kapasiti penjanaan terpasang di Sarawak pada tahun 2015 sebenarnya adalah 4,641 MW, yang mana 66 peratus didapati dari empangan-empangan hidroelektrik. Secara keseluruhannya, pada tahun 2015, Bakun telah menyumbangkan sebanyak 50 peratus dari jumlah unit penjanaan tenaga di Sarawak, atau sebanyak 7,721 GWh dari jumlah keseluruhan 15,486 GWh.

Oleh yang demikian, kami tidak jelas tentang kadar sebenar margin tenaga simpanan di Sarawak pada tahun 2015.  Margin tenaga simpanan adalah jumlah elektrik yang tidak digunakan yang masih dihasilkan untuk memastikan bahawa pembekal tenaga sentiasa bersedia untuk sebarang kenaikan permintaan elektrik secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Dengan itu, kami memohon agar Kerajaan Negeri Sarawak dapat memberikan penerangan yang jelas kepada orang awam tentang margin simpanan tenaga kini dan unjuran sebelum sebarang keputusan terakhir dibuat tentang pembinaan empangan-empangan hidroelektrik baru atau sumber tenaga lain di Sarawak.  Agensi Tenaga Antarabangsa (International Energy Agency – IEA) dilaporkan mengesyorkan bahawa kadar margin tenaga simpanan sepatutnya berada pada kadar 20 sehingga 35 peratus.

Nampaknya dasar pembangunan tenaga di Sarawak didekati dengan cara yang tidak teratur. Keputusan rasional yang dibuat oleh bekas Menteri Besar, dengan mudah boleh dibalikkan hanya setahun kemudian. Pengumuman untuk membina empangan Trusan telah dibuat tanpa rujukan jelas kepada mana-mana kajian baru-baru ini untuk memberi justifikasi pembangunannya. Ia juga telah dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan kumpulan masyarakat madani dan yang paling penting, komuniti yang terjejas. Keputusan untuk membangun satu demi satu empangan hidroelektrik untuk sebuah negeri dengan penduduk hanya 2.5 juta pasti menentang sebarang logik. Ironinya, banyak masyarakat pribumi yang tinggal di kawasan pedalaman negeri ini masih hidup tanpa infrastruktur elektrik yang dibina oleh negeri.

Empangan yang dirancang juga akan membanjiri kawasan-kawasan yang berhutan dan kawasan penanaman masyarakat pribumi di sini. Kerajaan Negeri sebelum ini telah melakukan penempatan semula masyarakat yang terjejas oleh empangan Batang Ai, Bakun dan Murum yang tidak rela dengan cara yang tidak cekap. Masyarakat yang terjejas telah mengalami trauma akibat kehilangan tanah nenek moyang mereka dan kehidupan tradisional terus mengalami penderitaan yang berpanjangan, kesulitan ekonomi, gangguan sosio-budaya dan penurunan kualiti hidup secara keseluruhan di kawasan penempatan semula.

Justeru, kami menggesa Kerajaan Negeri Sarawak untuk membatalkan rancangan untuk membina empangan Trusan dan lain-lain empangan dalam perancangan. Pada masa yang sama, kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk menyediakan sumber tenaga tidak berpusat dan tenaga boleh diperbaharui kepada komuniti luar bandar, contohnya tenaga suria atau empangan mini-hidroelektrik. Di samping itu, kami juga ingin mengetahui kadar semasa dan unjuran margin tenaga simpanan untuk negeri ini. Perancangan tenaga yang tidak serasi dan pembaziran tenaga jelas akan menjejaskan kesejahteraan kewangan negeri, terutama ketika negara sedang menghadapi berbagai cabaran ekonomi.

 

Surat Kepada Pengarang, 8  Ogos  2017