Hentikan pencerobohan wilayah tanah adat Rumah Labang

Baru-baru ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah menerima aduan daripada komuniti kaum Iban Rumah Labang di Nanga Seridan, Tinjar, Baram, Sarawak, tentang operasi sebuah projek perladangan sawit yang telah menceroboh ke dalam wilayah hak tanah adat (NCR) mereka.

Pihak komuniti sebenarnya sudah dimaklumkan tentang cadangan projek ini semenjak sebelum tahun 2018 lagi. Sejak awal lagi, mereka telah pun menzahirkan bantahan mereka terhadap projek ini dalam beberapa siri perbincangan bersama wakil pihak pemaju dan pihak berkuasa negeri. Setelah itu, semasa perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan akibat penularan pandemik Covid-19, tiada sebarang pencerobohan telah berlaku.

Namun malangnya, kini kami telah dimaklumkan komuniti bahawa pihak pemaju telah pun memasuki wilayah hak tanah adat Rumah Labang pada awal Februari tahun ini, tanpa sebarang konsultasi dan pengetahuan pihak penduduk kampung terlebih dahulu. Pencerobohan ini melibatkan kerja-kerja membina laluan dan saluran perparitan projek. Sebuah laporan polis telah pun dibuat oleh seorang penduduk berkenaan dengan kejadian ini.

Menurut penduduk, mereka mengalami kerugian yang amat teruk kerana harta benda dan tanaman mereka telah dimusnahkan oleh operasi ini, termasuklah kebun-kebun getah mereka.

Penduduk menyatakan bahawa selama ini, pihak mereka telah menyertai beberapa siri dialog bersama syarikat tersebut, termasuklah yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Beluru di Bakong dengan kehadiran agensi kerajaan negeri yang lain.

Malah, kami difahamkan yang isu ini telah turut dibincangkan semasa dialog bersama wakil penduduk dan pihak pemaju bersama ahli dewan undangan negeri (DUN) Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil, pada 21 Disember 2018 di Miri. Hasil dialog tersebut, Datuk Dr. Penguang sendiri di dalam akaun Facebook beliau pada 17 Mac 2021, ada menyebut bahawa pihak pemaju projek ini telah bersetuju untuk mengeluarkan wilayah NCR Rumah Labang dan Long Sepiling dari kawasan projek.

Selain itu, pada persidangan DUN ke-18 pada November 2018 yang lalu, kerajaan negeri melalui jawapan yang diberikan kepada pertanyaan ahli DUN Kidurong telah menjamin bahawa jika didapati projek ini ada melibatkan hak wilayah NCR yang sahih, kawasan tersebut akan dikecualikan daripada kawasan yang akan dikeluarkan dengan surat hakmilik tetap.

Namun kelihatannya, segala usaha ini tidak memberikan perlindungan yang secukupnya ke atas wilayah NCR Rumah Labang.

Penduduk Rumah Labang telah menetap di wilayah NCR mereka semenjak tahun 1954 lagi. Mereka memiliki pelbagai bukti tentang hak mereka. Ini termasuklah ladang-ladang milik penduduk dan sijil-sijil kebun getah, sijil lahir penduduk seawal tahun 1950an dan tanah perkuburan lama.

Oleh itu, kami tidak faham bagaimana pencerobohan wilayah NCR Rumah Labang ini boleh dilakukan. Pencerobohan ini jelas telah mencabul hak tanah adat mereka, yang diiktiraf oleh Kanun Tanah 1958 di Sarawak. NCR juga merupakan sebuah hak ke atas harta yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

SAM memberikan perhatian berat terhadap perlindungan wilayah NCR Rumah Labang ini. Oleh itu kami menyeru supaya pihak kerajaan negeri Sarawak mengambil tindakan yang telus dan adil untuk memastikan bahawa aktiviti projek perladangan ini tidak lagi menceroboh ke dalam kawasan seluas 275 hektar di dalam Lot 12 Bok Land District yang merupakan sebahagian wilayah NCR Rumah Labang.

Secara khususnya, kami memohon agar pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan Lembaga Perlindungan dan Lindungan Tanah Sarawak (PELITA) supaya memberikan penjelasan lanjut tentang tindakan-tindakan yang akan mereka ambil untuk memastikan bahawa wilayah NCR Rumah Labang tidak akan dicerobohi lagi oleh projek ini di masa hadapan.

 


Meenakshi Raman

Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM)

Kenyataan media, Jun 19, 2023