Hentikan Penganiayaan Ikan Hiasan

Gambar-gambar menggerunkan ikan laga (betta fish) yang dibiakkan dalam keadaan pembiakan yang tidak dapat diterima di ladang ternakan secara besar-besaran di Thailand mendedahkan sisi gelap industri ikan hiasan atau ikan peliharaan. Mendapat permintaan tinggi disebabkan oleh warnanya yang terang dan siripnya yang cantik, ikan, tidak seperti anjing dan haiwan berbulu lain tidak mengalami tingkah laku membinasakan atau kebimbangan kerana terpisah apabila dibiarkan sendirian; ia senyap, tidak berbunyi.

Mereka yang memelihara ikan sebagai haiwan peliharaan tidak memikirkan mengenai kesejahteraan ikan tersebut dan bersikap acuh tidak acuh terhadap bagaimana ikan itu perlu mengharungi kesakitan dan penderitaan sebelum ia akhirnya dipamerkan. Sering dianggap sebagai bukan-hidupan, ia dijual sebagai komoditi, dipelihara dan ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai, mengalami tekanan dan penderaan fizikal dalam beg plastik, botol atau tangki.

Pendedahan mengenai kehidupan ikan laga dalam kekotoran, penderitaan yang dialami dan pengabaian yang meluas di ladang ternakan ikan di Thailand oleh People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) benar-benar membuka mata. Ikan yang amat sensitif ini mengalami penderitaan yang amat sangat dalam perdagangan haiwan peliharaan di mana ia menderita sejak ia dilahirkan di kolam pembiakan sehinggalah ke destinasi di kedai haiwan peliharaan.

Siasatan PETA terhadap industri ikan peliharaan di Asia Tenggara dan Thailand, salah satu pengeksport utama global, mendedahkan pengabaian ikan laga yang mengejutkan dan penderitaan yang amat sangat. Penyaksian PETA mendapati ikan yang reput dalam tangki pembiakan dan lemas atau luka. Ikan yang mati dilemparkan ke lantai sehingga reput manakala yang cedera dilepaskan ke dalam kolam sisa. Di dalam kilang pembiakan, beribu ikan diasingkan sendirian dan diletakkan ke dalam botol dan dibungkus bersama dengan ketat. Ia akan dilalikan supaya ikan itu tidak memakan ekor mereka sendiri dan diangkut tanpa diberi makanan berhari-hari lamanya. Maklumat dalaman industri mengesahkan sistem ini adalah amalan biasa bagi peruncit.

Ikan diangkut dengan kejam daripada pembekal ke kedai haiwan peliharaan tanpa air yang mencukupi untuk memastikan tubuh tenggelam atau dalam cawan plastik mengandungi beberapa inci air. Alasan bagi pembekal Asia ialah untuk cuba mengurangkan jumlah air dengan haiwan mereka ialah untuk menjimatkan kos perkapalan untuk memenuhi tuntutan pembekal dan pemborong Amerika Syarikat.

Di kebanyakan rumah rakyat Malaysia, ikan sering dipelihara dalam tangki yang kecil, balang dan botol. Ini menjadi masalah kebajikan yang serius. Pertama, air akan mudah cepat menjadi toksik memandangkan oksigen yang ada dengan cepat digunakan dan ammonia daripada sisa ikan akan berkumpul. Tangki dan botol kecil tidak menyediakan ruang yang mencukupi untuk senaman atau rangsangan tingkah laku, yang menjadi asas dalam menyediakan persekitaran yang sihat dan bebas tekanan. Akuarium sering dibiarkan dalam keadaan yang tidak terjaga dengan keadaan ikan menjadi lemas akibat kerosakan pam dan pertambahan alga.

Mereka yang membeli ikan (atau haiwan lain) daripada kedai haiwan peliharaan sebenarnya turut menyokong perniagaan yang melayan haiwan seperti objek mainan atau tidak bernyawa.

Industri akuarium dan haiwan peliharaan mestilah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini dengan segera atau menghentikan jualan makhluk unik ini. Mereka bertanggungjawab untuk mendidik orang ramai berhubung penjagaan ikan dengan sempurna dan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Ini termasuklah menghentikan jualan tangki/menempatkan ikan yang tidak sesuai dan memelihara ikan laga dalam beg plastik dan botol.

 

Surat Kepada Pengarang, 9 Januari 2019