Hentikan penjualan produk berasaskan talc – CAP

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Cik Fathima Mohd Idris bersama Dr T. Jayabalan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kepada Kementerian Kesihatan agar menimbang semula keputusannya untuk tidak mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan talc memandangkan kajian terbaharu mendapati talc boleh memudaratkan kesihatan.

 

Dalam satu kajian terkini yang ditugaskan oleh Enviromental Working Group dan diterbitkan di dalam jurnal Environmental Health Insightspenyelidik membidas kaedah yang digunakan oleh industri kosmetik untuk menguji produk berasaskan talc keluarannya dan mencadangkan kaedah tersebut perlu di tukar dengan segera.  

Kajian tersebut mengesan asbestos dalam 15% dari 21 sampel kosmetik berasaskan talc yang dianalisa dengan menggunakan mikroskopi elektron. Penyelidik berkata, kaedah imbasan sukarela industri kosmetik sekarang untuk mengesan karsinogen penyebab kanser itu tidak mencukupi.

Syarikat kosmetik menambah talc ke dalam produk kosmetik seperti pembayang mata, pemerah pipi dan bedak asas bagi mendapatkan tekstur yang licin dan untuk mencairkan warna-warna itu dalam kosmetik berpigmen. Talc secara semula jadi adalah lembut dan mampu menyerap lembapan untuk mengurangkan kulit yang berminyak. Ia juga boleh memudaratkan.

“Menyedut walau sedikit asbestos dalam talc boleh menyebabkan mesothelioma dan penyakit berbahaya lain bertahun-tahun selepas pendedahan kepadanya,” kata Tasha Stoiber, saintis kanan di Environmental Working Group dan penulis bersama kajian itu. “Berapa banyak talc disedut atau berapa kadar yang dicemari asbestos sukar diketahui. Namun satu gentian asbestos yang berkumpul di dalam paru-paru sudah memadai untuk mencetuskan mesothelioma beberapa dekad kemudian.”

Kosmetik dalam bentuk serbuk lebih membimbangkan kerana dalam bentuk ini ia lebih mudah disedut berbanding bedak kompres padat. Apabila disedut, gentian halus talc boleh berkumpul di dalam paru-paru dan menyebabkan fibrosis pulmonari – pembentukan tisu berparut yang menyebabkan sesak nafas.

Asbestos dan mineral talc sering ditemui bersama dalam bumi, yang menimbulkan masalah pencemaran dalam produk kosmetik. Asbestos diketahui boleh menyebabkan kanser yang dikenali sebagai mesothelioma.

Satu kertas kerja oleh Moline, et. al. memberikan bukti mengenai 33 kes mesothelioma yang dikaitkan dengan pemakaian bedak talkum dicemari asbestos.1 Emory, et. al. melaporkan tentang 75 individu tambahan dengan mesothelioma malignan di mana satu-satunya pendedahan yang diketahui ialah kepada talc kosmetik dan ini selanjutnya membuktikan  bahawa talc kosmetik perlu dianggap sebagai punca mesothelioma. 2

Bedak talkum disapukan pada kulit sebagai bahan penyerap yang baik untuk mewangi dan memberikan sentuhan yang lembut. Bahan utama dalam bedak talkum ialah magnesium silicate hydroxide atau talc. Komposisi talc menyamai asbestos dan ia terkandung dalam bedak bayi, pembayang mata, pemerah pipi dan deodoran. Talc telah dikaitkan dengan kanser ovari dan masalah pernafasan.

Sungguhpun penggunaan talc dalam kosmetik begitu meluas di seluruh dunia, kebarangkalian talc yang bebas asbestos bersifat karsinogenik telah mendorong Kesatuan Eropah bertindak mengharamkan kosmetik berasaskan talc sama sekali.

Baru-baru ini syarikat gergasi produk penjagaan kesihatan, Johnson & Johnson, mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan produknya, Bedak Bayi Johnson berasaskan talc, di Amerika Syarikat dan Kanada. Beberapa kumpulan masyarakat telah menggesa syarikat terbabit agar menghentikan amalan berat sebelah ini dan berhenti menjual produk kosmetiknya yang mengandungi talc di seluruh dunia.

Firma terbabit berdepan dengan ribuan saman daripada pengguna yang mendakwa produk talc keluarannya menyebabkan mereka menghidap kanser. Langkah itu berlaku selepas bertahun-tahun menjalani proses pengadilan di mana Johnson & Johnson diarah membayar pampasan bernilai berbilion dolar.

Pada 2016, Johnson & Johnson diarah membayar pampasan berjumlah $72 juta kepada keluarga seorang wanita dari Alabama yang meninggal akibat kanser ovari yang didakwa berpunca daripada penggunaan bedak bayi dan produk lain keluaran syarikat itu yang mengandungi talc untuk kebersihan wanita. Pada Oktober 2020, Johnson & Johnson bersetuju untuk menyelesaikan lebih dari 1,000 saman bernilai $100 juta membabitkan bedak talkum.

Reuters melaporkan pada 9 Jun 2020 jenama kosmetik Chanel, Revlon dan L’Oreal telah menghentikan penggunaan talc dalam sebahagian produknya berikutan saman membabitkan kes kanser di AS dan kebimbangan pengguna kian meningkat.Artikel itu turut menyebut bahawa syarikat pengeluar produk dandanan diri lain juga berhenti daripada menjual bedak talkum. Misalnya syarikat Jerman, Beiersdorf AGhad, bertukar kepada kanji jagung dalam bedak bayi Nivea keluarannya pada 2018.

Di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser umum kelima membabitkan wanita, dengan kira-kira 500 pesakit dikesan menghidapnya setiap tahun. Ia menjadi kanser lazim bagi wanita yang berusia 50 tahun ke atas dan kerap melibatkan wanita Melayu, diikuti oleh wanita Cina dan India. Kanser ovari khususnya diketahui amat berbahaya kerana ia berkembang secara senyap dan kerapkali dikesan di tahap terakhir.

Talc diketahui beracun kerana zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru. Zarah talc boleh sampai ke sistem pembiakan dan melekat pada lapisan ovari. Penyelidik telah mengesan zarah talc dalam tumor ovari dan mendapati penghidap kanser ovari menggunakan bedak talkum pada alat sulit mereka lebih kerap berbanding wanita sihat.

Bedak talkum juga berisiko menjejaskan paru-paru kerana zarahnya yang halus mudah masuk ke dalamnya. Bedak putih gebu itu bila mengalami bawaan udara akan disedut oleh bayi dan pengguna lain. Menyedut debu bedak ketika menukar lampin diketahui telah menyebabkan kecederaan malah kematian bayi. Talc juga boleh menyebabkan laluan udara bayi membengkak dan mengakibatkan pneumonia. Selain itu bedak talkum turut dikaitkan dengan serangan asma dalam kanak-kanak.

Statistik menunjukkan setiap tahun ribuan bayi mati atau jatuh sakit selepas tersedut debu bedak talkum bayi. Talc disapukan pada bayi kerana ia mampu menyerap kelembapan yang kurang menyenangkan. Namun ia sebaliknya membahayakan paru-paru mereka. Mendedahkan kanak-kanak kepada bahan berkarsinogen ini adalah tidak perlu dan merbahaya.

Di sebalik berbagai bahaya yang dikaitkan dengan bedak talkum, masih terdapat pelbagai jenama di pasaran dan sebahagian daripadanya mensasarkan bayi.

Berikutan bahaya yang dikaitkan dengan penggunaan bedak talkum dan produk yang mengandungi talc, CAP telah menyerahkan satu memorandum kepada pihak berkuasa pada 20 November 2020. CAP juga mengulangi gesaan kepada Kementerian Kesihatan agar mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan talc.

Sementara itu pengguna dinasihatkan menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras. Para ibu pula dinasihatkan supaya menggunakan minyak sapu (ointment) dan tidak  menggunakan bedak berubat untuk masalah ruam bayi.

 

Kenyataan Akhbar,  23 Disember 2020

 

Rujukan

1Moline J, Bevilacqua K, Alexandri M, Gordon RE. Mesothelioma associated with the use of cosmetic talc. J Occup Environ Med. JOEM. 2020; 62(1):11‐17.

2Emory TS, Maddox JC, Kradin RL. Malignant mesothelioma following repeated exposures to cosmetic talc: A case series of 75 patients. Am J Ind Med. 2020;63(6):484‐489. doi:10.1002/ajim.23106

3 Exclusive: Chanel, Revlon, L’Oreal pivoting away from talc in some products. 9 June 2020.  https://www.reuters.com/article/us-chanel-talc-powder-exclusive/exclusive-chanel-revlon-loreal-pivoting-away-from-talc-in-some-products-idUSKBN23G0GK. Accessed on 10 June 2020.