Selalunya, Malaysia akan bersedia untuk menghadapi musim banjir di kawasan Pantai Timur disebabkan oleh monsun yang biasanya berlaku pada waktu ini setiap tahun. Tetapi, apa yang tidak begitu dijangka pada kali ini adalah kejadian banjir besar yang telah melanda Lembah Klang, akibat dari fenomena seperti tekanan rendah tropika di rantau ini dan kesan-kesan taufan besar Rai yang telah melanda Filipina.
Memang benar bahawa kadar hujan yang telah turun di beberapa bahagian negara kali ini adalah luar biasa, tetapi apa yang penting sekali adalah kita harus bersedia untuk menghadapi pelbagai peristiwa yang tidak dijangka seperti ini, yang mungkin akan berlaku dengan lebih kerap lagi disebabkan oleh kesan-kesan perubahan iklim.
Di seluruh dunia, peristiwa cuaca melampau yang tidak dijangka ini sedang menjadi lebih kerap, dan kebimbangan telah pun timbul tentang keperluan kita untuk memberi fokus terhadap langkah-langkah adaptasi dan pembinaan daya ketahanan kita terhadap perubahan iklim, serta peningkatan usaha siap siaga kita untuk menghadapi bencana.
Kita tidak boleh lagi menganggap kadar taburan hujan sebegini sebagai kejadian terpencil sahaja. Sebaliknya, kita harus membuat perancangan untuk menghadapi kejadian-kejadian seperti ini dan mengambil segala jenis langkah yang diperlukan untuk mengurangkan kesan-kesan mereka.
Malang sekali, kita sememangnya telah gagal untuk bertindak pantas selama ini, walaupun kita mempunyai perancangan semenjak Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) lagi, untuk mengurangkan risiko bencana melalui adaptasi perubahan iklim dan untuk memperkukuhkan pengurusan risiko bencana negara.
Baru-baru ini, negara kita telah memulakan Pelan Adaptasi Kebangsaan (National Adaptation Plan – NAP) untuk memberikan panduan berkenaan hal-hal perundangan, urus tadbir, perancangan dan penyelarasan kaedah-kaedah adaptasi serta indeks adaptasi untuk mengukur tahap keterdedahan negara terhadap kesan-kesan perubahan iklim. Tetapi usaha ini perlu diambil dengan kadar yang lebih segera lagi, kerana kenyataan sebenar telah pun menunjukkan bahawa negara kita ini masih lagi belum bergerak ke arah yang sepatutnya; dengan pelbagai projek dan rancangan pembangunan yang masih berjalan seperti biasa. Kita masih belum merancang ataupun bersedia dengan secukupnya atau malah, merancang dan bersedia sama sekali, untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim yang sedang atau akan berlaku di masa hadapan.
Banyak persoalan telah pun timbul berkaitan dengan hal ini. Adakah penggubal dan perancang dasar negara kita di semua peringkat kerajaan, termasuklah para arkitek dan jurutera kita, cukup arif berkenaan dengan kesan perubahan iklim semasa dan kesan-kesannya di masa yang akan datang? Adakah kita sedang merancang untuk menghadapi segala bentuk ancaman dan bencana yang bakal kita hadapi di masa hadapan ?
Promosi projek infrastruktur berskala besar seperti pembinaan jalan raya, terowong, penambakan laut dan pembangunan mega masih boleh dilihat di mana-mana; dengan hanya sedikit atau malah tiada kebimbangan langsung terhadap risiko dan kesan-kesan perubahan iklim. Kelihatannya, tidak ada sebarang pertimbangan yang wajar tentang sama ada projek-projek sedemikian rupa akan menyumbang atau malah, menjejaskan lagi daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim.
Kita harus membunyikan loceng amaran dengan lebih kuat lagi, dan cuba untuk menyesuaikan diri (jika boleh) kepada ‘norma baharu’ akibat dari kesan-kesan perubahan iklim ini. Kita juga harus bersedia untuk menghadapi keadaan di mana langkah-langkah adaptasi akan menjadi mustahil untuk dilaksanakan.
Masa untuk melakukan pelaburan di dalam segala perancangan dan langkah adaptasi perubahan iklim dan dalam pembinaan daya ketahanan terhadap perubahan iklim negara sudah lama kita lepasi. Tindak balas segera amat diperlukan sekarang dan kita juga harus belajar dari apa yang sedang dilakukan oleh negara lain.
Terdapat juga dana-dana antarabangsa yang tersedia, seperti Dana Iklim Hijau UNFCCC yang menyediakan sumber kewangan untuk membantu negara-negara seperti negara kita untuk menghadapi cabaran perubahan iklim.
Jelasnya, kita memerlukan sebuah butang reset untuk perlindungan masa hadapan kita, di dalam dunia yang iklimnya sudah berubah. Kita juga harus melihat semula segala perkara yang kita lakukan dari lensa perubahan iklim. Jika tidak, kita akan membuat pelaburan-pelaburan yang salah yang tidak memiliki kelestarian di dalam jangka masa panjang, yang hanya akan menjadi pembaziran besar sumber-sumber awam.
Pelan adaptasi segera yang merangkumi pendekatan berasaskan alam semula jadi diperlukan untuk memastikan bangunan, prasarana dan kawasan persisiran pantai mempunyai daya ketahanan terhadap ribut, peningkatan kadar hujan, kebertahanan banjir, kenaikan paras laut, dan sebagainya. Langkah-langkah pemuliharaan hutan dan tanah, termasuklah perlindungan kawasan tadahan air dan sungai untuk mencegah dan mengurangkan kejadian banjir, menjadikan kawasan bandar kepada sebagai ‘bandar-bandar span’ dan memperkukuhkan persisiran pantai kita melalui perlindungan dan pemulihan hutan paya bakau adalah semua komponen yang penting dalam rancangan tersebut. Langkah-langkah yang lebih menyeluruh juga diperlukan dalam menangani kemarau, gelombang haba, kekurangan air, kesan-kesan ke atas pertanian, kesihatan, corak cuaca yang tidak menentu dan bencana.
Jelas sekali, lebih banyak lagi yang harus dilakukan dengan kadar yang segera. Jika tidak, kita mungkin sama sekali tidak akan bersedia untuk menghadapi bencana yang akan datang pada masa hadapan; akibatnya tentulah amat buruk sekali, seperti yang telah kita lihat dari peristiwa banjir terbaru ini.