Isu Lynas: Kerajaan Mestilah Utamakan Kesihatan Awam dan Alam Sekitar

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat bimbang oleh laporan berita bahawa kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan Lynas meneruskan operasi kilangnya sekurang-kurangnya enam bulan lagi. Walaupun pada hakikatnya syarikat itu tidak melupuskan sisa radioaktif berbahayanya dengan selamat, sama ada dengan mengeksportnya atau dengan  menyimpannya di tapak kemudahan pelupusan kekal yang sesuai.

Lesen pada masa kini yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini kepada Lynas Malaysia untuk beroperasi di negara ini akan tamat pada 2 September 2019. Oleh itu, sebelum tarikh itu, kerajaan sekarang perlu memutuskan sama ada untuk memperbaharui lesen atau membiarkannya berakhir atau untuk memperbaharuinya semula untuk tempoh tertentu dengan bersyarat.

Operasi Lynas Malaysia menghasilkan dua jenis sisa: proses daripada ‘Water Leach Purification’ (WLP) yang mengandungi sisa radioaktif termasuk thorium dan uranium dan ‘Neutralisation Underflow Residue’ (NUF) yang juga berbahaya memandangkan ia mengandungi logam berat. Kedua-dua sisa ini tertakluk kepada peraturan di bawah undang-undang Malaysia.

Pengaturan pada masa kini bagi operasi Lynas termasuklah syarat bahawa syarikat itu perlu menangani dengan masalah sisa yang dihasilkan. Syarat ini termasuklah seperti berikut:

  • Sisa WLP perlu dikitar semula atau
  • WLP dilupuskan dalam kemudahan pelupusan kekal atau ‘permanent disposal facility’ (PDF) atau
  • WLP dieksport ke negara asal (Australia).

Berhubung pilihan pertama, walaupun terdapat penyelidikan dan ujikaji oleh Lynas sejak 2015 untuk kitar semula sisa WLP dan NUF kepada perapi tanah dipanggil ‘Condisoil’ untuk tanaman padi, kelapa sawit, jagung, kelapa dan sebagainya, masih belum ada kelulusan sepenuhnya berhubung rancangan ini.

Kami berpandangan bahawa kitar semula itu tidak seharusnya diluluskan. Jika kitar semula itu dibenarkan, ia boleh memberikan kesan sampingan bukan hanya kepada kesihatan manusia tetapi juga kepada ekonomi Malaysia. Mungkin pengguna asing akan menolak daripada menggunakan produk pertanian negara di mana bahan radioaktif digunakan sebagai baja. Ini termasuklah menyebabkan masalah baharu bagi kelapa sawit Malaysia yang sudah pun berhadapan dengan masalah pemasaran di Eropah. Kemungkinan juga pengguna tempatan yang takut akan risiko pengambilan produk makanan mengandungi bahan radioaktif akan beralih kepada membeli produk import. Ini merupakan risiko sebenar bahaya kesihatan yang boleh dihadapi oleh rakyat Malaysia yang makan produk seperti itu.

Oleh itu, kami membantah dengan sekeras-kerasnya kitar semula sisa untuk kegunaan sebagai perapi tanah.

Berhubung pilihan kedua iaitu kemudahan pelupusan kekal (PDF), masih belum terdapat sebarang tempat pelupusan sisa walaupun banyak tahun sudah berlalu sejak kilang Lynas mula beroperasi. Tapak kekal bagi PDF untuk WLP masih belum dipilih.

Kerajaan dahulu dan sekarang perlu menjelaskan kenapa syarikat itu dibenarkan untuk meneruskan operasinya apabila syarikat itu belum menetapkan PDF. Malah, sisa WLP yang terkumpul disimpan dalam kawasan kilang dan ini adalah tidak selamat.

Setakat ini, menurut laporan, jumlah sisa WLP terkumpul ialah 451,464 metrik tan, manakala sisa NUF berjumlah 1.113 juta metrik tan, terkumpul lebih enam tahun dan sisanya semakin bertambah setiap hari.

Oleh kerana masih belum mendapat tapak kekal sehingga sekarang, Lynas sedang mencari tempat untuk PDF. Terdapat pandangan untuk sisa itu dibuang ke dalam lombong yang tidak lagi digunakan. Kami membantah dengan sekeras-kerasnya langkah itu.

Sisa ini tidak boleh dianggap sebagai bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi atau ‘naturally occuring radioactive material’ (NORM) tetapi sebagai NORM yang ditingkatkan secara teknologi (TENORM), memandangkan bahan radioaktif semula jadi tidak dibiarkan di dalam tanah dalam bentuk semula jadi tetapi menjadi bahaya dengan proses teknologi yang melibatkan pemindahan daripada tanah dan dipekatkan oleh proses bahan kimia dan secara mekanikal. Dakwaan bahawa elemen radioaktif seperti uranium dan thorium dalam WLP boleh dicairkan dan menjadikannya kurang radioaktif tidak boleh diterima dan tidak berasas.

Uranium dan thorium mempunyai jangka hayat yang panjang sehingga berjuta dan berbilion tahun. Oleh itu, menguruskan sisa yang kekal radioaktif ini untuk tempoh masa panjang bukanlah satu tugas yang mudah.

Tambahan lagi, tiada paras radiasi selamat, sebarang dos mempunyai kesannya sepertimana yang dinyatakan oleh laporan U.S. National Academy of Sciences Biological Effects of Ionising Radiation (BIER), dengan yang terbaharu laporan ketujuh. Hanya kerana kerajaan menetapkan apa yang dikenali sebagai pendedahan kepada “paras yang dibenarkan”, ini tidak bermakna bahawa paras ini selamat, memandangkan ia mengambilkira pertimbangan ekonomi dan lain-lain dalam menetapkan “paras yang dibenarkan”, walaupun terdapat risiko kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

Jika terdapat sebarang tapak berpotensi dipilih untuk PDF tersebut, kami berpandangan bahawa banyak syarat perlu dipenuhi untuk sisa disimpan dengan “selamat”. Pada hakikatnya, tiada kaedah sisa radioaktif boleh disimpan dengan “selamat”. Malah dengan teknologi paling canggih, dan pembinaan kemudahan tapak pembuangan yang diperkuatkan, tiada jaminan bahawa tapak itu boleh menyimpan sisa dengan selamat selama bertahun, berdekad atau seabad.

Pengalaman dengan kilang Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh menunjukkan menangani pembersihan tapak sementara, membina dan menjaga tapak kekal amat mahal. Menurut laporan berita[1], Mitsubishi Chemicals Jepun, pemilik majoriti ARE membelanjakan AS$100 juta hanya untuk membersihkan tapak kilang ARE. Ini tidak termasuk kos menyelenggara tapak pelupusan kekal di Banjaran Kledang di Perak yang ditanggung oleh kerajaan.

Dalam kes Lynas, kos membina dan menjaga tapak kekal perlu ditanggung oleh syarikat. Adakah Lynas bersedia untuk membiayai, membina dan menjaga PDF dalam jangka masa panjang, memandangkan bahaya sisa radiaokatifnya dalam jangka masa panjang?

Dilaporkan juga bahawa Lynas bersetuju untuk memindahkan beberapa operasi nadir bumi ke Australia supaya bahan yang dihantar ke Malaysia pada masa depan tidak lagi mengandungi bahan radioaktif. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai rancangan itu tidak diberikan. Banyak persoalan timbul berhubung perkara ini:

  • Sehingga ke peringkat pengeluaran yang manakah akan dijalankan di Australia?
  • Bagaimana kita tahu tidak terdapat bahan radioaktif dalam apa yang dihantar ke Malaysia?
  • Bilakah operasi ini akan bermula di Australia? Berapa banyak sisa radioaktif akan dihasilkan di Malaysia sehingga saat itu?

Sehingga butiran lanjut diberikan, kita tidak mampu untuk menilai situasi masa depan.

Sementara itu, dalam hal apa pun, adalah tidak wajar sekali untuk Lynas dibenarkan untuk menghasilkan lebih banyak sisa.

Menurut laporan berita, kerajaan memutuskan untuk membenarkan Lynas untuk meneruskan operasinya untuk enam bulan lagi.

Dalam tempoh enam bulan, bolehkah syarikat mencari tapak pelupusan kekal yang “selamat” dan sesuai? Bolehkah ia mendapat kelulusan kerajaan persekutuan dan negeri dan mendapat persetujuan penduduk di kawasan itu di mana terletaknya tapak itu? Bolehkah Penilaian Kesan Alam Sekitar dan Penilaian Kesan Radiologi yang perlu disediakan diluluskan dalam masa itu? Bolehkah Lynas membina kemudahan dan memindahkan sejumlah besar sisa terkumpul dalam tempoh itu?

Inilah persoalan yang orang awam perlukan jawapan. Terdapat keraguan yang munasabah bahawa semua proses boleh dilakukan dalam enam bulan.

Dalam keadaan PDF tidak boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan, apakah yang kerajaan akan lakukan? Ia tidak seharusnya melanjutkan lagi tempoh masa yang diberikan kepada Lynas, yang sehingga kini sudah pun diberikan layanan istimewa seperti pengecualian cukai selama 12 tahun.

Berdasarkan kepada situasi ini, kami meminta seperti berikut:

  1. Kerajaan perlu meminta Lynas menghentikan operasinya apabila lesennya tamat pada 2 September ini.
  2. Kerajaan perlu meminta Lynas untuk mengeksport sisa radioaktif terkumpul ke luar negara.
  3. Memandangkan sumber kewangan yang banyak diperlukan dalam menguruskan sisa, kerajaan perlu menilai berapa banyak kos yang terpaksa dibelanjakan untuk melupuskan atau mengeksport sisa menurut senario yang berbeza.
  4. Penelitian semula perlu dibuat terhadap kecukupan peraturan dan penguatkuasaan berkaitan yang sedia ada.
  5. Kerajaan juga perlu meneliti semula dan menangani pelupusan dan penyimpanan sisa NUF memandangkan ia juga mengandungi bahan berbahaya dan toksik seperti logam berat.
  6. Kerajaan tidak sepatutnya mengalu-alukan kemasukan mana-mana syarikat baharu atau operasi baharu yang berkaitan dengan nadir bumi atau yang menjana radioaktif dan sisa bahaya lain, terutama sekali jika ia tidak dibenarkan daripada beroperasi di negara asal mereka.

Kami ingin mengulangi sekali lagi bahawa Malaysia tidak dilayan sebagai tapak pembuangan bagi sisa berbahaya dan kerajaan mestilah meletakkan kepentingan kesihatan awam dan alam sekitar dalam jangka panjang daripada kepentingan syarikat asing yang beroperasi menjana sisa toksik.

[1] https://www.nytimes.com/2011/03/09/business/energy-environment/09rareside.html

 

Kenyataan Akhbar, 13 Ogos 2019