https://foe-malaysia.org/articles/leading-a-plastic-free-life-through-reuse-economy/
Bulan Julai dikenali sebagai bulan “Julai Bebas Plastik”. Ia adalah pergerakan global di mana penduduk di seluruh dunia mengambil bahagian dalam kempen menolak plastik sekali guna.
Memandangkan jumlah penggunaan plastik dikatakan akan meningkat dua kali ganda menjelang 2040, penyelidikan dan pembangunan berhubung alternatif bagi sekali guna semakin meningkat.[i] Industri plastik terutamanya memperkenalkan penyelesaian palsu dengan menggelarkan alternatif sekali guna berasaskan tumbuhan dan boleh dikitar semula atau menjadi kompos sebagai “mesra-eko”.
Menurut laporan terbaharu Upstream berhubung ekonomi guna semula, alternatif berasaskan tumbuhan ini tidaklah mesra alam sekitar sepertimana yang difikirkan. Ramai pakar menekankan bahawa kita tidak boleh kitar semula atau kompos masalah yang ditimbulkan oleh barangan sekali guna. Laporan itu menekankan bagaimana mengharamkan plastik tidak boleh menyamakan kepada kemenangan alam sekitar jika pilihan sekali guna masih boleh didapati.[ii]
“Pokoknya ialah sebarang produk yang direka untuk digunakan walau sekejap dan kemudiannya dibuang bukanlah pilihan mampan, tidak kiralah sama ada produk itu dibuat daripada plastik, kertas, logam, atau tumbuhan. Musuh sebenar bukan hanya plastik sekali guna – ia adalah “sekali guna” itu sendiri.” – Upstream
Kitar semula dan menjadikan kompos merupakan kaedah yang digunakan oleh syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan industri plastik untuk menjual dan mempromosikan barangan guna sekali kepada pengguna. Bagaimanapun, di seluruh dunia jumlah sisa yang dikitar semula dan dijadikan kompos adalah kurang. Sisa banyak berakhir di tapak pelupusan, insinerasi atau dibuang sewenang-wenangnya.
Pelupusan sampah dan insinerasi plastik memudaratkan kepada alam sekitar dan kesihatan manusia akibat daripada bahan kimia dan bahan penambah di dalam plastik. Tapak pelupusan sampah mengeluarkan gas rumah hijau dan menghasilkan larut lesap yang memasuki ke dalam tanah dan air kita, kemudiannya memasuki sistem makanan kita. Selain itu, plastik juga merosot kepada mikroplastik yang sekali lagi akan berakhir di dalam tubuh kita.
Begitu juga dengan insinerasi yang mengeluarkan gas toksik dan beracun ke dalam atmosfera dan membahayakan kepada komuniti sekitarnya yang seringkali adalah golongan terpinggir dan komuniti berpendapatan rendah. Tambahan pula, kebanyakan plastik seperti HDPE dan PET dikitar semula di peringkat tempatan dan plastik bernilai rendah yang lain berakhir di tapak pelupusan sampah atau dieksport, mewujudkan masalah besar kepada negara penerima dan komuniti. Contohnya, pada 2018, Malaysia menjadi destinasi utama bagi eksport sisa plastik, menimbulkan pencemaran alam sekitar dan masalah kesihatan awam.
Alternatif sekali guna yang dikatakan boleh dikompos juga tidak menyelesaikan krisis kerana kebanyakannya tidak dapat dikomposkan. Kebanyakan kemudahan kompos tidak menerima sebarang jenis plastik yang boleh dikompos akibat kebimbangan pencemaran, kadar penguraian yang perlahan dan tiada nilai pemakanan. Lebih-lebih lagi, plastik yang boleh dikomposkan memerlukan keadaan alam sekitar yang khusus untuk mengurai. Seringkali, plastik yang tidak boleh dikomposkan yang nampak macam boleh dikomposkan juga dihantar ke kemudahan dan ini menimbulkan pencemaran.
Barangan pakai buang berasaskan tumbuhan bukan mesra-eko. Pengeluarannya menggunakan bahan api fosil melalui aktiviti pertanian seperti penggunaan baja, racun perosak, jentera pertanian, dan sebagainya. Tambahan pula, ia menggunakan kawasan tanah luas dan banyak air. Akhirnya, pengeluaran besar-besaran produk ini mungkin membawa kepada hujan asid, eutrofikasi, kemerosotan kualiti tanah, pencemaran air dan sebagainya. Begitu juga alternatif sekali guna lain yang mengakibatkan bencana alam sekitar yang sama. Bagaimanakah kita boleh selesaikan masalah ini? Melalui ekonomi guna dan isi semula!
Ekonomi guna dan isi semula adalah caranya
Berdasarkan kajian yang dijalankan dan Penilaian Kitaran Hayat (LCA) yang teliti oleh Upstream dalam laporan mereka baru-baru ini, peralihan perniagaan kepada ekonomi guna semula boleh mengelakkan 841 juta barangan pembungkusan makanan guna buang, bersamaan dengan 7.5 juta tan bahan yang dialihkan setiap tahun. Dalam penelitian LCA, guna semula dikatakan lebih mesra alam sekitar dan pulang modal berbanding guna buang apabila digunakan semula dalam beberapa kali sepanjang kitaran hayatnya. Lebih banyak digunakan semula, lebih banyak guna buang dialihkan. Bagaimanapun, ini bergantung kepada jenis bahan.
Bahan boleh digunakan semula dengan paling kurang jejak alam sekitar ialah kaca diikuti oleh seramik dan keluli tahan karat. Lebih-lebih lagi, bahan boleh digunakan semula adalah lebih selamat berbanding guna buang di mana ia tidak mengandungi sebarang bahan penambah kimia kecuali bagi plastik guna semula (plastik polikarbonat) yang dibuat dengan bisphenol. Bahan penambah ini dikenali sebagai pengganggu endokrin, karsinogenik, neurogenik, dan boleh menyebabkan penyakit dan kecacatan pada manusia walaupun pada paras pendedahan yang rendah.
Banyak perniagaan menyuarakan kebimbangan mengenai kos tambahan bagi buruh dan cucian pinggan mangkuk. Bagaimanapun, perniagaan yang bertukar kepada guna semula menyatakan bahawa kos tambahan buruh dan cucian pinggan mangkuk boleh diabaikan dan dalam kebanyakan kes, tidak wujud. Menurut Upstream, kos alternatif sekali guna yang dibelanjakan di Amerika Syarikat (AS) oleh restoran menelan belanja $21.9 bilion pada 2019 dan menggantikan 20% barangan ini menawarkan peluang bernilai hampir $10 bilion.
Rajah 1: Manfaat ekonomi, sosial, dan alam sekitar ekonomi guna semula (Gordon, 2021).
Sepertimana bukti daripada laporan Upstream, guna semula adalah lebih baik dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar. Banyak restoran dan usahawan menggabungkan dan beralih kepada sistem guna dan isi semula dalam perniagaan mereka. Terdapat pelbagai cara melaksanakan sistem ini dalam perniagaan. Contohnya, melalui perkhidmatan cawan guna semula dan insentif, perkhidmatan bekas guna semula, guna semula dalam pelbagai acara dan sistem layan diri dan pukal.
Model Filipina
Dalam permulaan bulan Julai Bebas Plastik, Unwrapped PH, inisiatif yang dipimpin oleh GAIA Asia Pasifik, telah menganjurkan webinar bertajuk “Keselamatan Makanan dan Pembungkusan: Berani untuk Dedah!” Semasa webinar, isu keselamatan dan kesihatan berkaitan plastik dibincangkan bersama inisiatif sisa sifar di Filipina. Inisiatif sisa sifar oleh salah seorang pembicara iaitu Pengarah Eksekutif Philippine Reef and Rainforest Conservation Foundation Inc. (PRRCF), mengisahkan bagaimana pertubuhan ini menyokong dan membiayai “sari-sari” atau kedai kejiranan supaya mengamalkan sisa sifar menggunakan skim isi dan guna semula.
Kedai sari-sari adalah kedai kecil kejiranan lebih kurang seperti “kedai runcit” kita di Malaysia, di mana penduduk tempatan membeli keperluan harian mereka. Malangnya, produk yang dijual di kedai ini dibungkus dalam sachet yang menyumbang kepada krisis pencemaran plastik. Dengan inspirasi untuk membantu menangani pencemaran plastik dan mengupayakan kedai ini, PRRCF melancarkan kedai sisa sifar pertama mereka di Bacolod City dikenali sebagai “Wala Usik Tiangge + Kapehan”. Wala Usik ialah frasa Hiligaynon yang bermaksud “tiada pembaziran”. Mereka menggabungkan budaya dan ekologi Hiligaynon, di mana tidak ada yang menjadi sisa dan memastikan bahan itu digunakan semula.
Rajah 2: Kedai Sisa Sifar Wala Usik (Tranco, n.d.)
Dengan bantuan pakar dan komuniti tempatan, mereka berjaya mengubah daripada pembelian barangan dalam sachet kepada komuniti mikro isi semula barangan keperluan harian. Pelanggan ke sana dengan bekas mereka sendiri atau menggunakan bekas milik kedai yang kemudiannya dikembalikan. Pada 2019, PRRCF menganjurkan Bengkel Reka Bentuk Kedai Sari-Sari untuk melibatkan pemilik kedai lain dan pemegang taruh utama dalam merancang dan memikirkan semula perniagaan mereka. Hari ini, lapan kedai Sari-Sari mengguna pakai sistem ini dan terletak di Bacolod, Sipalay dan Bayawan dan perbandaran Cauayan, Hinoba-an, Sta Catalina, Basay, dan Siaton.[iii]
Model Malaysia
Terdapat beberapa kedai sifar sisa yang telah ditubuhkan di Malaysia juga, secara dalam talian dan luar talian. Kedai sisa sifar ini menawarkan pelbagai barangan biasa yang terdiri daripada makanan, bahan pencuci isirumah dan produk penjagaan kulit menggunakan sistem pukal dan isi semula. Barangan yang dijual di kedai sisa sifar ini dibekalkan daripada jenama tempatan. Pemilik kedai juga mendidik dan menggalakkan masyarakat untuk hidup bebas plastik dan bergerak ke arah sisa sifar.
Terdapat juga kedai yang menawarkan pelbagai produk sisa sifar seperti berus gigi buluh, sabun badan buatan sendiri, syampu, palet ubat gigi, dan sebagainya. Anda juga boleh mencari kedai ini di dalam talian! Jangan bimbang mengenai pembungkusan kerana ia menggunakan kotak lama dan kertas surat khabar untuk membungkus barangan. Kotak dan surat khabar ini kemudiannya boleh dikompos. Apa yang menjadikan kedai ini unik ialah sistem isi semula dalam talian dan e-sisa/pengumpulan minyak.
Jika anda malas untuk pergi mengisi semula bahan pencuci dari kedai, sesetengahnya menyediakan perkhidmatan pengambilan. Anda boleh menghantar mesej kepada mereka dan mereka akan datang ke rumah anda dan mengisi semula botol kosong. Serupa juga, jika anda mempunyai e-sisa dan minyak terpakai di rumah, anda boleh menghubungi mereka, dan mereka akan datang ke rumah anda untuk mengambilnya!
Jika anda sedang mencari kedai atau kemudahan kitar semula berdekatan kawasan anda, tujulah kepada peta sumber sisa sifar di Malaysia yang dihasilkan oleh Sisa Sifar Malaysia (ZWM). Ini merupakan permulaan sempurna bagi perniagaan dan individu untuk meneroka sisa sifar dan memulakan perjalanan bebas sisa mereka.
Rajah 3: Sumber Kedai Sisa Sifar di Malaysia https://zerowastemalaysia.org/map/
Jika anda mendapati produk yang dijual di kedai sisa sifar terlalu mahal, anda boleh memilih dengan membawa beg atau bekas anda sendiri untuk membeli barangan makanan yang dijual secara pukal dari kedai runcit. Mula secara kecilan dengan mencari produk yang kurang pembungkusan, menjana sisa yang kurang dan membeli secara pukal atau dengan mengisi semula.
Memandangkan kedai runcit kecil boleh beralih kepada sisa sifar, perniagaan besar seharusnya mampu untuk bertukar kepada sistem yang mudah ini dan menambah baik prestasi sosial dan alam sekitar mereka.
Sepertimana yang dinyatakan dalam laporan terbaharu Break Free From Plastic mengenai penyelesaian palsu, syarikat FMCG yang mencemarkan alam sekitar dengan plastik mereka seharusya dipertanggungjawabkan dan didesak supaya membiayai penyelesaian sebenar. Amat penting ialah peralihan kepada ekonomi guna semula, isi semula, dan bebas pembungkusan dan mengakhiri penggunaan dan pengeluaran barangan sekali guna.
Marilah kita mulakan perjalanan ini sekarang.
RUJUKAN
Break Free From Plastic. (2021). Missing The Mark, Unveiling corporate false solutions to the plastic pollution crisis. https://www.breakfreefromplastic.org/missing-the-mark-unveiling-corporate-false-solutions-to-the-plastic-crisis/
Gordon, M. (2021), Reuse Wins, The environmental, economic, and business case for transitioning from single-use to reusable food service. Upstream https://upstreamsolutions.org/reuse-wins-report
Tranco, B. (n.d). WALA USIK: Zero Waste Sari-Sari Stores. Diambil daripada GAIA: https://www.no-burn.org/business-unusual-wala-usik/
Velis, C., & Cook, E. (24 Julai 2020). How Earth’s Plastic Pollution Problem Could Look by 2040. Diambil daripada The Conversation: https://theconversation.com/how-earths-plastic-pollution-problem-could-look-by-2040-143220
NOTA AKHIR
[i] Velis, C., & Cook, E. (24 Julai 2020). How Earth’s Plastic Pollution Problem Could Look by 2040. Diambil daripada The Conversation: https://theconversation.com/how-earths-plastic-pollution-problem-could-look-by-2040-143220
[ii] Gordon, M. (2021). Reuse Wins, The Environmental, economic, and business case for transitioning from single-use to reusable food service. Upstream. https://upstreamsolutions.org/reuse-wins-report
[iii] Tranco, B. (n. d.). WALA USIK: Zero Waste Sari-Sari Stores. Diambil daripada GAIA: https://www.no-burn.org/business-unusual-wala-usik/